Pelakon tempatan Datuk Aaron Aziz tampil menyuarakan sokongan dan menitipkan doa buat sahabatnya, penyanyi dan selebriti tempatan Sheikh Haikel, yang kini sedang menjalani rawatan selepas disahkan menghidap barah usus tahap empat dan telah menjalani pembedahan.

Menerusi satu hantaran di TikTok pada 6 September, Aaron mengimbas kembali persahabatan mereka termasuk pengalaman menunaikan umrah bersama Sheikh Haikel dan isterinya, Anna Belle Seri Ayu Francis pada 2025.

“Ketika Haikel beritahu saya bahawa beliau mempunyai (penyakit) barah, beliau berkata bahawa beliau mempunyai satu impian.

“Dan impian itu adalah untuk pergi ke umrah, dan apa yang beliau inginkan ialah bersama-sama Anna Belle berdoa di depan Kaabah dan Alhamdulillah kami berjaya melakukannya.

“Ini adalah perjalanan yang paling saya tidak akan lupakan bersama beliau dan sesuatu kenangan yang akan saya sentiasa hargai. Saya juga tidak sabar untuk nantikan perjalanan haji kami bersama,” kata Aaron dalam video itu.

“Saya menyokong anda dan semoga Allah menjaga anda kekal positif dan tetap tabah dan sentiasa tahu bahawa kami semua mengasihi anda,” kata Aaron mengakhiri video satu minit 27 saat itu.

Diyana mengimbas detik Haikel menghubungi Aaron untuk menyampaikan berita mengenai penyakitnya pada 27 Julai 2025, yang menurutnya memperlihatkan sisi persahabatan antara mereka yang sebelum ini tidak pernah benar-benar difahaminya.

“Ketika Haikel menghubungi Aaron dengan berita itu, saya melihat persaudaraan yang tidak pernah benar-benar saya fahami sebelum ini.

“Beliau sentiasa mengingati petang 27 Julai itu dan saya akan sentiasa mengingati kesunyian Aaron pada hari tersebut.

“Dua bulan kemudian, kami pergi menunaikan umrah,” tulis Diyana di Instagram.

Diyana turut menyifatkan hubungan Aaron dan Haikel sebagai lebih daripada sekadar persahabatan, malah seperti hubungan persaudaraan.

“Persahabatan mereka begitu mendalam. Ia melangkaui persahabatan, melangkaui hubungan darah… sekadar persaudaraan,” kata usahawan itu.

Selepas Berita Harian melaporkan mengenai keadaan kesihatan Sheikh Haikel pada 4 September lalu, beliau kemudian mengesahkan sendiri berita itu menerusi satu video yang dikongsikan di Instagram pada hari yang sama.

Hantaran tersebut turut mendapat perhatian beberapa rakan artis yang meninggalkan komen sebagai tanda sokongan dan menitipkan doa buat penyanyi berusia 51 tahun itu.

Antara yang meninggalkan komen ialah pelakon dan selebriti tempatan, Suhaimi Yusof, yang menulis:

Syafakallah bro. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan dan diberkati kesembuhan. Saya akan doakan anda, amin.”

Penyanyi dan ejen hartanah Hady Mirza meninggalkan komen: “Keberanianmu berkongsi perkara ini dengan kami amat mengagumkan. Kami akan sentiasa menyokongmu serta menitipkan kasih sayang dan doa buatmu. Syafakallah, insya-Allah.”

Turut menitipkan sokongan ialah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, yang berkongsi semula hantaran mengenai Haikel menerusi Instagram Story dengan pesanan:

“Semoga sentiasa sihat, menjalani kehidupan yang baik dan diberkati Tuhan.”

Pada hari yang sama pada 6 September, Sheikh Haikel dan Anna Belle telah memuat naikkan satu video di Instagram mengucapkan terima kasih atas semua sokongan, doa serta ucapan baik sejak Sheikh Haikel mengumumkan penyakitknya pada 4 September.

“Terima kasih dari lubuk hati kami. Kasih sayang yang tidak terhingga, mesej-mesej baik dan kunjungan anda ke restoran amat bermakna buat kami, lebih daripada apa yang mampu diungkapkan dengan kata-kata,” tulis mereka.

Sheikh Haikel dan Anna Belle juga merakamkan penghargaan kepada pasukan di restoran mereka, Hai Ge Ji, di Bussorah Street, yang terus bekerja keras bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Sheikh Haikel menghidap penyakit itu sejak 2025 dan menjalani kemoterapi selepas menunaikan umrah pada September 2025.

Beliau juga bakal melancarkan podcast baharu berjudul, Final Applause, yang akan menjadi wadah untuknya berkongsi secara terbuka dan jujur mengenai pengalaman menghadapi penyakit serta menjalani rawatan.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti