Pelawak, pelakon dan penyampai radio Power 98, Suhaimi Yusof, mengakui beliau masih diselubungi rasa teruja selepas bergelar datuk buat kali pertama apabila cucu sulungnya, Akiff Muaz Amirul, dilahirkan baru-baru ini pada 21 Julai.

Malah, keterujaan itu begitu sukar digambarkan sehingga beliau mengambil cuti selama tiga hari kerana tidak dapat memberi tumpuan kepada kerja.

“Perasaan jadi datuk ni macam tembus langit sampai ke bulan, lepas tu patah balik. Dia punya feeling (perasaan) gembira tidak boleh dikatakan.

“Letak $1 bilion depan mata pun saya rasa tidak perlulah. Saya rasa setiap orang yang apabila dapat menjadi seorang datuk atau nenek, dia akan faham.

“Perasaan gembira itu lain macam,” kata selebriti itu kepada Berita Harian (BH) mengenai orang baharu yang dikurniakan kepada anak sulungnya dan isteri.

Suhaimi, 56 tahun, sebelum ini berkongsi berita gembira itu menerusi hantaran di Instagram pada 22 Julai yang memaparkan beliau bersama isterinya, Siti Yuhana Sulaiman, bergambar dengan cucu sulungnya.

Dalam hantaran tersebut, beliau menulis:

“Masya-Allah dan alhamdulillah. Allah izinkan sisa usia saya ini untuk melihat wajah cucu yang pertama.”

Beliau turut berkongsi sepotong hadis mengenai doa perlindungan yang dibacakan Rasulullah saw untuk cucu Baginda, Hasan dan Husain.

Menurut Suhaimi, keterujaan itu sudah mula dirasainya pada malam sebelum cucunya dilahirkan.

“Malam sebelum bersalin saya langsung tidak boleh tidur. Kerja semua saya tolak ke tepi.

“Saya bangun malam, sembahyang, doa dan termenung. Asyik terfikir macam mana rupa cucu nanti.

“Apabila sampai hospital keesokan hari, saya rasa macam sudah tidak berada di bumi.

“Sampai sekarang pun saya rasa belum boleh get over (melupakan) lagi,” seloroh bapa tiga anak itu dan kini bergelar datuk.

Anak sulung Suhaimi, Amirul dan isterinya, Marliyanah Syahidah Samsi, kini meniti fasa baharu sebagai ibu bapa selepas menyambut kelahiran cahaya mata sulung mereka, Akiff Muaz Amirul, pada 21 Julai.
Anak sulung Suhaimi, Amirul dan isterinya, Marliyanah Syahidah Samsi, kini meniti fasa baharu sebagai ibu bapa selepas menyambut kelahiran cahaya mata sulung mereka, Akiff Muaz Amirul, pada 21 Julai. - Foto SUHAIMI YUSOF

Menurut Suhaimi, beliau mengunjungi cucunya di hospital setiap hari selepas menantunya, Marliyanah Syahidah Samsi, 29 tahun, melahirkan bayi tersebut secara pembedahan Caesarean.

“Hari-hari saya kunjunginya. Kejap lagi pun saya hendak pergi hospital lagi.

“Lebih baik daripada melancong. Rasa seperti hari-hari pergi bercuti.

“Sebab itu saya ambil cuti tiga hari. Kerja memang tidak boleh hendak fokus,” selorohnya yang juga dikenali dengan watak Jojo Joget dalam siri satira, The Noose (2007-2016), dan watak Sarjan Dollah dalam sitkom, Police & Thief (2004-2010).

Menurut Suhaimi, detik pertama mendukung cucunya juga menjadi kenangan yang sukar dilupakan.

“Perkataan pertama yang keluar daripada mulut saya ialah ‘alhamdulillah’.

“Selepas itu saya baca selawat syifa, dan kemudian saya berkata, ‘Welcome to the world, Akiff Muaz’ (Selamat datang ke dunia ini Akiff Muaz),” kongsinya.

Pengalaman melihat anak sulungnya bergelar bapa turut memberi makna yang tersendiri.

“Apabila seseorang itu ada anak, saya nampak dia terus jadi lebih matang.

“Cara buat keputusan, keutamaan dan rasa tanggungjawab semua berubah,” ujar Suhaimi yang telah menerima anugerah Persembahan Komedi Terbaik di Anugerah Televisyen Asia 2011.

Suhaimi, yang pernah mengalami angin ahmar pada 2024, berkata beliau bersyukur kerana masih dikurniakan kesihatan dan tenaga untuk melalui fasa baharu sebagai seorang datuk.

“Saya bersyukur sebab pada usia sekarang saya masih ada tenaga.

“Kalau umur dah 70 atau 80 tahun mungkin lain. Sekarang saya masih kuat, masih boleh melayan cucu,” ujar beliau.

Malah, beliau berseloroh rumahnya kini sudah lengkap dengan pelbagai persiapan untuk menyambut kepulangan cucu sulungnya.

Amirul dan Marliyanah masih menetap bersama Suhaimi sehingga akhir 2026, sambil menantikan kunci bagi flat Bina Ikut Tempahan (BTO) mereka.

“Kompang dengan bunga api sahaja tiada. Yang lain semua sudah siap.

“Nenek dia sudah beli baju sejak empat atau lima bulan dulu.

“Datuk pula dah standby mainan, siap dah ada senarai ikut umur,” kata Suhaimi.

Walaupun mengakui cucu sulungnya pasti akan dimanjakan, Suhaimi berkata perkara paling utama yang ingin diterapkan ialah nilai agama, pendidikan dan hubungan kekeluargaan.

“Yang penting bukan manjakan dengan mainan saja, tetapi dengan pendidikan.

“Setiap minggu keluarga kami memang ada sesi berkumpul dan tazkirah.

“Insya-Allah tradisi itu akan diteruskan dengan cucu pula.

“Saya berharap mudah-mudahan Akiff Muaz membesar menjadi anak yang taat kepada Allah, street smart (bijak mengharungi kehidupan) dan juga book smart (cemerlang dalam pelajaran),” kongsi Suhaimi yang telah meraih ijazah sarjana muda dalam usia mencecah 52 tahun.

Beliau turut berseloroh mengucapkan tahniah kepada Amirul atas kelahiran anak sulungnya.

“Saya cakap kepada dia, ‘Syabas, Amirul! Kamu sudah menyumbang kepada pertumbuhan penduduk Singapura. Kamu sudah menjalankan ‘National Service’ (Perkhidmatan Negara) kamu dengan baik’,” gurau beliau.

Walaupun pernah melalui pelbagai detik manis sepanjang kerjayanya dalam industri hiburan tempatan, Suhaimi berkata pengalaman bergelar datuk mengatasi segala-galanya.

“Sebelum usia saya 60 tahun, saya sudah dapat cucu.

“Bagi saya, ini lebih hebat daripada sebarang anugerah. Trofi ini hidup, bergerak-gerak,” katanya sambil tersenyum.

Beliau akur kehadiran cucunya itu merupakan nikmat yang paling disyukuri.

“Yang penting bukan manjakan dengan mainan saja, tetapi dengan pendidikan. Setiap minggu keluarga kami memang ada sesi berkumpul dan tazkirah. Insya-Allah tradisi itu akan diteruskan dengan cucu pula. Saya berharap mudah-mudahan Akiff Muaz membesar menjadi anak yang taat kepada Allah, ‘street smart’ (bijak mengharungi kehidupan) dan juga ‘book smart’ (cemerlang dalam pelajaran).”
Suhaimi Yusof.