Topik diikuti
Pergi ke BHkuCorak kotak-kotak raih perhatian penggemar fesyen pelbagai usia
Kekal sebagai corak malar segar, disesuaikan dengan rekaan masa kini
Jika anda sering mencari inspirasi bagi trend fesyen terkini di media sosial, pasti video atau gambar mengenai pakaian dengan corak kotak-kotak akan muncul di paparan ‘For You Page (FYP) atau halaman anda.
Pelbagai jenama antarabangsa dan tempatan tampil dengan koleksi masing-masing yang mengetengahkan corak kotak-kotak dalam rekaan mereka pada 2026.
Daripada blaus ke beg tangan, corak malar segar itu seakan diberi nafas baru dalam dunia fesyen sehingga menarik perhatian penggemar daripada pelbagai lapisan usia.
Pensyarah Fesyen, Maktab Seni Lasalle, Encik Rohaizatul Azhar, 41 tahun, memberitahu Berita Harian (BH), corak kotak-kotak merupakan antara motif yang kerap digunakan oleh pereka fesyen hingga kini kerana ia dianggap tidak lapuk dek zaman.
“Bagi saya, kemunculan pelbagai jenama menggunakan corak kotak-kotak dalam rekaan mereka bukan trend yang membuat kemunculan semula.
“Ia lebih kepada bagaimana pereka mentafsirkan dan memperkenalkan semula corak malar segar itu kepada dunia fesyen menerusi rekaan baharu mereka,” ujarnya.
Sebagai contoh, jenama mewah terkenal seperti Louis Vuitton dan Burberry mempelbagaikan corak ikonik mereka dengan suntikan kelainan.
Menurut Encik Rohaizatul, meskipun corak kotak-kotak telah wujud berkurun lama dalam dunia fesyen, ia tetap dianggap relevan.
Corak tersebut boleh digayakan oleh semua lapisan umur dan dapat disesuaikan bagi fesyen kontemporari dengan pembaharuan.
“Bagi saya, anak muda kini tertarik untuk memakai corak kotak-kotak bukan kerana ia membawa nostalgia tetapi kerana ia dianggap moden.
“Kelebihan corak itu adalah ia mempunyai pelbagai variasi dan tersedia dalam saiz yang berbeza,” jelasnya.
Antara jenis corak kotak-kotak popular termasuk gingham (gabungan kotak putih dan warna); tartan (jalur warna bersilang membentuk petak berulang); dan glen plaid (fabrik tenun berjalur gelap dan cerah).
Encik Rohaizatul turut menambah, pemilihan corak penting bagi mengikut personaliti atau gaya yang diinginkan.
Pemilihan corak yang penting turut diakui oleh pemilik jenama pakaian wanita tempatan, Shop With The Sisters, Cik Nawa Norazman, 31 tahun, dan Cik Aqai Norazman, 35 tahun.
Apabila memulakan perniagaan itu pada 2021, pasangan adik-beradik itu telah bereksperimen dengan pelbagai motif dan rekaan berbeza, sebelum memilih corak kotak-kotak sebagai antara ciri yang sinonim dengan jenama itu.
“Pada mulanya, kami bermain dengan pelbagai warna terang dan corak ceria.
“Lama-kelamaan, kami tertarik dengan corak kotak-kotak khususnya plaid dan madras kerana ia versatil dan mula menghasilkan rekaan menggunakan corak itu.
“Ia menjadi sangat popular dan mendapat tempat di hati para pelanggan kami, dan bukan sesuatu yang dirancang kerana popularitinya berkembang secara semula jadi,” jelas mereka.
Bagi pemilik jenama pakaian wanita tempatan, Se7en Flowers, Cik Nor Hazirah Ishak, 39 tahun, menghasilkan koleksi dengan corak kotak-kotak merupakan peluang untuk mempelbagaikan rekaan pakaiannya.
“Walaupun kami dikenali kerana menghasilkan pakaian dengan motif bunga yang berwarna-warni, kami tidak sangka akan menerima sambutan memberangsangkan semasa melancarkan koleksi corak kotak-kotak pada 2025.
“Justeru, kami mula mengembangkan koleksi itu pada awal 2026 dengan lebih banyak rekaan berbeza,” kongsinya yang menawarkan blaus, skirt dan set sedondon yang menggunakan corak itu dan dijual antara $35 dengan $65.
Menurut Cik Nor Hazirah, pemilihan corak kotak-kotak yang kecil atau sederhana bagi koleksinya membuat pakaian itu mudah digayakan untuk pelbagai acara.
Beliau turut memastikan warna pakaian itu memberi rasa ceria bagi si pemakai sambil memilih kain yang ringan dan tidak perlu digosok.
“Koleksi corak kotak-kotak kami turut sesuai dipakai ibu yang sedang menyusu.
“Ia juga mempunyai lengan kembang dan potongan longgar agar sesuai bagi kaum Muslimah.
“Justeru ia boleh digayakan oleh wanita daripada semua lapisan usia,” ceritanya.
Bagi jenama Shop With The Sisters, rekaan pakaian dengan corak kotak-kotak itu turut memberi para pelanggan kebebasan menggayakannya dengan pakaian harian lain.
“Rekaan kami merupakan pakaian harian yang mudah digayakan dan dikhususkan bagi kaum wanita yang mempunyai personaliti tersendiri,” jelas Cik Nawa dan Cik Aqai yang menjual koleksi itu antara $39.90 dengan $75.90.
Dengan pelbagai rekaan corak kotak-kotak yang terdapat di pasaran, Encik Rohaizatul menggalakkan penggemar fesyen agar terlebih dahulu memilih potongan pakaian yang sesuai dengan bentuk tubuh mereka.
“Corak kotak-kotak sangat versatil dan sesuai dipakai untuk pelbagai acara.
“Yang penting, kita perlu lihat pada potongan pakaian dan jenis fabrik yang digunakan.
“Kemeja linen dengan corak kotak-kotak boleh memberikan gaya yang santai dan sesuai untuk dipakai pada hujung minggu, manakala sut lekap menggunakan corak serupa dengan potongan yang rapi sesuai bagi menghadiri acara formal,” jelasnya.
Bagi yang ingin menggayakan pakaian dengan corak kotak-kotak, Encik Rohaizatul berpendapat ia boleh dipadankan dengan pakaian lain yang tidak bercorak atau polos.
Ini bagi memastikan corak tersebut menjadi tumpuan utama dalam keseluruhan penampilan individu berkenaan.
Sebagai contoh, blazer dengan corak kotak-kotak boleh dipadankan dengan kemeja-T putih serta seluar berpotongan santai.
Turut bersetuju dengan pendapat itu, Cik Nor Hazirah, menggalakkan mereka yang ingin mencuba pakaian corak kotak-kotak buat kali pertama untuk memadankan baju bermotif dengan seluar atau skirt polos.
“Mereka boleh bermula dengan corak kotak-kotak yang lembut dengan rona warna tanah,” tambahnya.
“
“Bagi saya, kemunculan pelbagai jenama menggunakan corak kotak-kotak dalam rekaan mereka bukan trend yang membuat kemunculan semula. Ia lebih kepada bagaimana pereka mentafsirkan dan memperkenalkan semula corak malar segar itu kepada dunia fesyen menerusi rekaan baharu mereka.”