Golden Bao tekad jaga mutu, tak anggap peniaga produk serupa sebagai pesaing
Golden Bao tekad jaga mutu, tak anggap peniaga produk serupa sebagai pesaing
Encik Nazareen Muslim tidak pernah membayangkan dirinya akan menjadi sebahagian daripada dunia bazar.
Malah, sebelum memulakan perniagaan, beliau mengakui bukan seorang yang gemar mengunjungi bazar, apatah lagi berdepan dengan orang ramai.
Namun sebagai pemilik bersama Golden Bao, pengalaman pertama mengendalikan gerai bazar pada 2025 mengubah perspektif beliau sepenuhnya terhadap industri tersebut.
Bagi Encik Nazareen, berniaga di bazar bukan sekadar tentang menghasilkan produk makanan yang sedap atau menarik perhatian pelanggan, tetapi lebih kepada memahami angka dan realiti operasi harian.
“Sebagai perniagaan, kita tak letakkan jangkaan yang terlalu tinggi sampai kita tak boleh capai.
“Berdasarkan pengalaman kami menyertai bazar tahun lalu, kita tetapkan jangkaan tersebut dulu dan lihat,” katanya.
Menurut beliau, pasukan Golden Bao menetapkan sasaran jualan harian dan mingguan berdasarkan purata jualan sebenar.
Pendekatan ini membantu mereka merancang aliran tunai, menampung kos sewa, gaji pekerja serta memastikan perniagaan kekal stabil sepanjang tempoh bazar.
Beliau menjelaskan bahawa realiti bazar menunjukkan jualan tidak konsisten setiap hari.
Hari bekerja selalunya tidak begitu sibuk berbanding hujung minggu, namun lonjakan jualan hujung minggu biasanya mampu menampung kekurangan tersebut.
“Tapi kalau pada hari kerja kita tidak capai jangkaan, selalunya hujung minggu kita mungkin dapat lebih daripada jangkaan.
“Jadi dari sana, kita boleh menampung kos,” katanya.
Golden Bao memperkenalkan hidangan snek jalanan dari Sichuan, China, yang tular, diinspirasikan daripada roti Shaobing – roti bulat diisi dengan daging lembu atau ayam cencang, daun bawang dan bawang merah, kemudian digoreng hingga warna keemasan.
Tahun ini, Golden Bao akan berada di kawasan Kampong Gelam di Muscat Street dan Geylang Serai.
Pada masa yang sama, mereka telah sediakan menu baru iaitu kek beras bercili (chili rice cake).
Jenama ini turut disokong oleh rakan kongsi Encik Nazareen; Encik Rashid Rahim, Encik Suhari Mustaffa, Encik Hamizan Shah, Cik Hanisa Kosno, Cik Nina Zazali, serta selebriti dan pelawak Malaysia, Shuk Sahar.
Menurut Encik Nazareen, dengan sedia adanya bazar di serata Singapura, ia sebenarnya telah memberi peluang untuk ramai jadi usahawan.
“Ada kelebihan dan kekurangan.
“Memang jika terdapat lebih banyak bazar kita akan ada lebih banyak saingan.
“Tetapi jika kita lihat aspek positif, ini memberi peluang bagi ramai dalam masyarakat kita untuk jadi lebih kreatif untuk jual produk mereka tersendiri,” ujarnya.
Apabila ditanya tentang produk serupa yang dijual di bawah jenama yang lain, Encik Nazareen berkata kehadiran vendor lain yang menjual produk serupa pula bukan satu ancaman.
“Saya tidak boleh kata makanan saya paling terbaik untuk semua orang.
“Tetapi bagi saya ia cukup lazat,” katanya sambil tersenyum.
Fokus utama Golden Bao adalah memastikan produk konsisten dan pengalaman pelanggan sentiasa baik.

