Bunyi percikan elektrik dari bilik air sekitar 4 pagi mencetuskan detik cemas buat sebuah keluarga enam beranak di Punggol yang baru sahaja pulang dari Johor Bahru.

Keempat-empat anak pasangan itu, termasuk bayi berusia tujuh bulan, sedang nyenyak tidur ketika kebakaran tercetus di flat BTO mereka.

Pemilik rumah, pempengaruh tempatan Encik Ahmad Aljuffri Ahmad Alui, yang lebih dikenali sebagai Juffri Alui, berkata isterinya terdengar bunyi seperti litar pintas berhampiran kawasan pemanas air sebelum menyedari asap mula keluar dari panel siling bilik air.

Menceritakan detik cemas itu, Encik Aljuffri, 34 tahun, berkata:

“Apabila isteri saya sedang menggunakan bilik air, tiba-tiba beliau terdengar bunyi percikan elektrik dari kawasan pemanas air.

“Bunyinya memang seperti berlaku litar pintas.”

Menurutnya, isterinya kemudian mematikan pemanas air sebelum terhidu bau asap.

“Pada mulanya, saya tidak menyedari apa-apa, tetapi tidak lama kemdian, asap mula keluar dari panel siling tandas.

“Asap pula semakin tebal sebelum saya sedar ada api kecil di dalam panel berkenaan, dan ia mula mencair,” kata bapa kepada empat orang anak yang berusia lapan, tujuh dan dua tahun, serta seorang bayi berusia tujuh bulan itu.

Menyedari keadaan semakin serius, Encik Aljuffri segera mengejutkan anak-anaknya yang sedang tidur dan membawa mereka keluar dari rumah bagi mengelakkan mereka daripada terhidu asap.

“Sebelum ini saya mengambil mudah perkara berkaitan elektrik. Bagi saya, kemungkinan sebuah rumah terbakar memang rendah,” katanya.

Encik Aljuffri kemudian menghubungi Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

“Dalam hati saya ketika itu, saya terfikir, ‘Bagaimana kalau SCDF datang tetapi sebenarnya tiada kebakaran?’

“Nasib baik bila mereka sampai, memang betul ada kebakaran,” katanya sambil berseloroh.

Sementara menunggu ketibaan SCDF, beliau merakam keadaan api yang semakin merebak di bilik air.

Rakaman itu dimuat naik di akaun Instagram beliau dengan ramai warganet turut memberikan kata-kata semangat.

“Ramai yang turut mendoakan kami. Alhamdulillah, ada juga yang menghantar mesej untuk bertanya khabar serta menawarkan bantuan,” kongsinya.

Encik Aljuffri berkata beliau turut cuba mengurangkan asap sebelum menunggu ketibaan anggota SCDF, yang tiba kira-kira lapan hingga 10 minit kemudian.

Menurutnya, mereka mengesahkan masih terdapat api sebelum berjaya memadamkannya menggunakan hos.

Dalam responsnya kepada BH, SCDF berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu sekitar 4.40 pagi pada 4 Oktober.

“Kebakaran melibatkan sebuah tandas di dalam sebuah unit di tingkat lima bangunan berkenaan. Tiada kecederaan dilaporkan,” ujar SCDF.

Menurut SCDF, siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada masalah elektrik di dalam tandas berkenaan.

Malah, Encik Aljuffri mengakui pernah berdepan kejadian hampir serupa di bilik air utama beberapa bulan lalu, apabila berlaku masalah elektrik dan asap.

Menurutnya, masalah berkenaan telah dibaiki, namun pemanas air di bilik tersebut tidak digantikan.

Sejak itu, beliau berkata keluarganya tidak lagi menggunakan bilik air tersebut dan hanya menggunakan tandas umum.

Namun, beliau menambah bahawa pemeriksaan awal oleh juruelektrik yang dilantik keluarganya menunjukkan masalah itu mungkin berpunca daripada kerja-kerja elektrik yang kurang sempurna yang dilakukan kontraktor terdahulu.

Menurut Encik Aljuffri, terdapat kemungkinan wayar yang longgar atau tidak disambungkan dengan sempurna telah mencetuskan percikan elektrik dan menyebabkan kebakaran.

Beliau berkata kebakaran kali ini menyebabkan kerosakan terutamanya pada bilik air berkenaan, termasuk bahagian panel siling dan dinding di sekitarnya yang menjadi hitam akibat asap.

Baginya, kejadian itu bukan sesuatu yang mahu disembunyikan atau dijadikan bahan untuk meraih perhatian.

Sebaliknya, beliau berkongsi pengalaman tersebut di media sosial sebagai peringatan kepada orang ramai supaya tidak memandang ringan sebarang masalah berkaitan elektrik atau pemanas air.

Katanya, bunyi percikan elektrik, bau hangit, asap atau tanda-tanda luar biasa daripada peralatan elektrik tidak seharusnya diabaikan kerana keadaan boleh menjadi serius dalam masa yang singkat.

Beliau turut menggesa pemilik rumah supaya mendapatkan khidmat tenaga profesional yang berkelayakan bagi kerja-kerja pemasangan atau pembaikan elektrik, walaupun ia mungkin melibatkan kos yang lebih tinggi.

“Kalau ada masalah elektrik, jangan tunggu sampai jadi sesuatu yang lebih serius. Lebih baik panggil orang yang betul untuk periksa.

“Kalau nampak api, walaupun kecil, jangan tunggu. Hubungi SCDF,” nasihatnya.

Di samping itu, SCDF mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko kebakaran berpunca daripada masalah elektrik.

Antara saranan yang diberikan ialah:

  1. Jangan membebankan soket elektrik dengan terlalu banyak peralatan pada satu-satu masa.
  2. Sentiasa matikan peralatan elektrik apabila tidak digunakan.
  3. Periksa keadaan wayar elektrik secara berkala. Wayar yang terkopek, rosak atau kord yang retak hendaklah diganti atau dibaiki segera.
  4. Jangan meletakkan wayar di bawah permaidani atau alas lantai, dan jauhkan wayar daripada permukaan panas.
  5. Gunakan hanya peralatan elektrik dan palam yang mempunyai tanda ‘Safety Mark’. Kategori peralatan elektrik terkawal boleh didapati di www.consumerproductsafety.gov.sg
  6. Jangan biarkan bateri atau peranti dicas tanpa pengawasan untuk tempoh yang lama atau dicas sepanjang malam.