Niat seorang ibu untuk membawa anak-anaknya menaiki bas bertukar menjadi pengalaman pahit apabila mendakwa keselamatan anaknya diperlekehkan dan dirinya juga dihina dengan kata-kata lucah seorang pemandu bas SBS Transit pada Isnin, 12 Januari, sekitar 10.30 pagi.
Cik Athirah Khairwan, 28 tahun, sedang menaiki bas perkhidmatan 145 menuju ke pusat tukaran bas Toa Payoh apabila pintu bas tiba-tiba tertutup semasa kereta sorong bertingkatnya masih di pintu sedang menaiki bas.
“Anak saya berusia 13 bulan itu terperanjat, tangannya ternaik, mujur tidak nangis ataupun cedera. Penumpang lain juga terperanjat apabila pintu itu tertutup,” kata pencipta kandungan itu kepada Berita Harian (BH).
Beliau menambah, dirinya berasa terkilan kerana pemandu itu tidak meminta maaf atau memeriksa keadaan mereka, malah kemudian bertindak seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Keadaan menjadi lebih tegang apabila ibu dua anak itu berusia dua tahun dan 13 bulan mahu turun daripada bas.
Beliau mendakwa pemandu itu memberhentikan bas jauh daripada susur jalan dan memandangkan kereta sorongnya yang bertingkat itu berat, sukar untuk beliau mengangkatnya sendiri.
Beliau pun berhadapan dengan pemandu bas itu tetapi respons yang diterimanya membuatkan dirinya lebih marah.
“Dia tanya saya balik apa yang dia buat (salah)? Sepatutnya sebagai pemandu bas, dia peka dengan keadaan sekeliling, tapi dia langsung tak beri kerjasama,” tambahnya.
Cik Athirah akur bahawa selepas itu beliau mula meninggikan suara dan memarahi pemandu itu.
Namun, tanpa disangka, pemandu itu telah didakwa menjawab dengan kata-kata yang menghina.
Cik Athirah telah pun membuat laporan polis dan juga sudah membuat aduan kepada SBS Transit.
Menjawab pertanyaan BH, jurucakap SBS Transit, Cik Grace Wu, memohon maaf secara terbuka kepada Cik Athirah atas kesulitan dan tekanan yang dialami.
“Kami telah meneliti insiden ini dan bersimpati dengan Cik Athirah atas kesulitan yang dihadapi dalam situasi tersebut. Pemandu kami sepatutnya bertindak dengan lebih baik.
“Beliau seharusnya lebih bersikap bertimbang rasa dan berhentikan bas lebih dekat dengan susur jalan agar lebih mudah untuk turun dengan kereta sorong.
“Tiada alasan bagi pemilihan kata-kata yang digunakannya dan ini tidak sejajar dengan imej dan peranan seorang pemandu bas.
“Ini juga tidak selaras dengan piawaian perkhidmatan yang kami harapkan daripada kakitangan kami dan kami memohon maaf setulusnya kepada Cik Athirah atas tekanan dan kesulitan yang dialami.
“Kami sedang mengambil tindakan terhadap pemandu bas tersebut bagi mengelakkan kejadian ini berulang.”
Dalam pada itu, SBS Transit turut menasihati penumpang yang membawa kereta sorong supaya memaklumkan pemandu jika ingin menaiki bas daripada pintu belakang bagi mengelakkan pintu tertutup secara tiba-tiba.
Cik Wu juga mengingatkan orang ramai agar melayan kakitangan mereka dengan hormat dan tidak menggunakan kata-kata kesat.
Sejak perkongsiannya tular di TikTok dengan hampir 88 ribu tontonan, ramai warganet lain tampil berkongsi pengalaman serupa.
Seorang pengguna ‘yin’ berkata: “Aduhai, saya juga mengalami pengalaman yang sama! Saya juga telah membuat aduan melalui panggilan telefon dan e-mel. Pastikan anda membuat panggilan telefon kerana mereka lebih cepat memberi maklum balas berbanding e-mel yang agak lambat.”
Seorang lagi pengguna ‘Nurfazlina’ meninggalkan komen: “Terima kasih kerana mewakili dan bersuara bagi pihak ibu dengan dua anak!”
Jika diberi peluang Cik Athirah bercadang untuk menyertai sesi dialog bersama SBS dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) bagi membincangkan isu profesionalisme pemandu bas di masa hadapan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg