Berjalan-jalan di kawasan sekitar Chinatown dan Raffles Place, sambil menggenggam sebuah pengimbas mudah alih atau portable scanner, sekumpulan sahabat dilihat mengimbas alat itu pada permukaan papan tanda, mural, nota di dinding, malah dedaun pada sebatang pohon.
Dengan lebar imbasan seluas kertas bersaiz A4, imej yang terhasil bak foto yang dirakam kamera, dalam mod makro.
Namun, apabila diteliti dengan lebih mendalam, tampak ciri-ciri kecil dan halus pada tekstur imej itu yang sukar dilihat dengan mata kasar.
Baru-baru ini, Cik Iffah Syafiqah Yusof, 26 tahun, bersama rakan-rakannya merakam kegiatan mereka membuat beberapa imbasan dengan hasil menarik selepas menggunakan alat pengimbas mudah alih itu – yang diterimanya sebagai hadiah hari lahirnya.
Antara permukaan yang diimbas termasuk tembok bangunan, papan tanda, dedaun, dan nombor blok.
Inspirasi itu lahir setelah melihat video pertama di TikTok awal tahun ini (2025) antara video-video yang sudah tular di wadah itu di mana pengguna di negara lain seperti Jepun, New York dan Maghribi telah menggunakan teknik yang sama untuk menghasilkan banyak imej unik.
Tujuan Cik Iffah bukan sekadar bereksperimen dengan alat baru itu, malah bagi mengumpul hasil imbasan untuk dijadikan posternya sendiri.
Poster yang dimaksudkan ialah bagi acara kelab perfileman, siri tiga acara senicinema, anjuran kumpulan Senisini.
“Kami mengimbas kira-kira 30 hingga 40 objek keseluruhannya,” ujar Cik Iffah, yang merupakan pengasas Senisini – sebuah platform akar umbi yang menyediakan ruang kreatif untuk belia.
Apabila ditanya Berita Harian tentang perbezaan menggunakan kamera berbanding pengimbas mudah alih untuk merakam imej, Cik Iffah berkongsi:
“Menggunakan pengimbas mudah alih terasa lebih spontan dan memberi ruang untuk meneliti ciri-ciri yang halus dalam imej.
“Gambaran yang dipetik kamera lebih luas, sementara pengimbas portabel mampu merakam apa yang mungkin terlepas daripada pandangan mata kita.”
Teknik rakaman sebegini, jelas Cik Iffah, akan turut dibawa ke projek seterusnya.
Pada hujung November hingga Disember 2025, Senisini bakal menganjurkan satu acara khas di Wisma Geylang Serai, dinamakan senisomethingnew, di mana mereka akan menyusuri sekitaran Geylang Serai, mentafsir semula warisan dan unsur budaya Melayu menjadi sesuatu yang baru serta kontemporari.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg