Cara ibu bapa menggunakan Kredit LifeSG Anak menjadi topik hangat di wadah Threads sejak 14 Julai apabila dua perkongsian mengemukakan pandangan berbeza.

Kredit LifeSG Anak bernilai $500, yang telah diagihkan pada 14 Julai kepada keluarga yang mempunyai anak warga Singapura berusia 12 tahun dan ke bawah, bertujuan membantu keluarga menampung perbelanjaan isi rumah.

Perbincangan tersebut bermula apabila seorang pengguna Threads ‘mypussykatt’ berpendapat cara penggunaan kredit berkenaan bergantung kepada keperluan dan keadaan setiap keluarga, termasuk jika ia digunakan bagi perbelanjaan isi rumah yang akhirnya turut memberi manfaat kepada anak.

Hantaran itu mengundang lebih 100 komen dan lebih 200 tanda suka.

Di samping itu, satu lagi hantaran yang dimuat naik kemudian mengundang pandangan berbeza.

Pengguna ‘iamidayishun’ berpendapat kredit tersebut seharusnya dimanfaatkan khusus untuk anak atau disimpan bagi kegunaan mereka pada masa depan, dan bukannya dibelanjakan untuk kegunaan ibu bapa.

Hantaran itu pula menerima lebih 200 tanda suka dan 20 komen.

Beberapa ibu bapa dihubungi Berita Harian (BH) turut berkongsi pandangan masing-masing mengenai isu tersebut.

Bagi Cik Nur Hafizah Roslan, 31 tahun, setiap keluarga mempunyai keadaan kewangan yang berbeza, justeru beliau berpendapat ibu bapa tidak wajar dihakimi berdasarkan cara mereka menggunakan kredit berkenaan.

“Kalau kredit itu digunakan untuk keperluan anak, walaupun melalui pembelian barang dapur atau keperluan rumah, saya rasa ia tidak menjadi masalah kerana akhirnya anak juga mendapat manfaat.

“Namun, saya tidak bersetuju jika ia digunakan untuk kemewahan atau perbelanjaan peribadi yang langsung tidak memberi manfaat kepada anak,” kata pekerja pentadbiran itu.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, beliau lazimnya akan memasukkan sebahagian besar kredit berkenaan ke dalam akaun bank anak-anak sebagai simpanan, manakala sebahagian lagi digunakan untuk membolehkan mereka memilih permainan atau menikmati kegiatan keluarga seperti menonton wayang atau mengunjungi tempat tarikan.

Beliau berkata perdebatan itu juga mencerminkan hakikat kos membesarkan anak yang semakin meningkat.

“Setiap ibu bapa cuba memanfaatkan setiap dolar sebaik mungkin untuk memberikan yang terbaik kepada anak-anak.

“Apa yang sesuai untuk keluarga saya mungkin tidak sesuai untuk keluarga lain, jadi saya rasa kita perlu lebih memahami keadaan masing-masing,” ujar Cik Hafizah.

Encik Muhammad Naufal Adib Abdul Rahim, 32 tahun, pula berpandangan kredit berkenaan sepatutnya dimanfaatkan khusus untuk anak.

“Kalau $500 itu digunakan ibu bapa untuk keperluan anak, saya rasa tidak mengapa.

“Kalau bukan untuk keperluan mereka, saya rasa ia sepatutnya dikhususkan untuk anak sahaja,” kata eksekutif kemudahan itu.

Beliau berkata beliau bercadang memindahkan keseluruhan kredit tersebut ke dalam akaun bank anak-anak memandangkan keluarganya masih mampu menampung perbelanjaan harian tanpa bergantung kepada bantuan itu.

“Selama ini kami dapat menguruskan kewangan keluarga tanpa kredit tersebut.

“Jadi saya lihat ia sebagai satu peluang untuk menambah simpanan anak-anak,” kata bapa kepada dua anak itu.

Bagi Cik Nur Syakirah Mohammed Iqbal, 30 tahun, tidak semua keluarga berada dalam kedudukan kewangan yang sama.

Menurut penganalisis itu, beliau dan suaminya memilih memindahkan kredit tersebut ke dalam Akaun Pembangunan Anak (CDA) supaya ia boleh digunakan untuk perbelanjaan seperti persekolahan dan rawatan perubatan.

“Kalau ibu bapa mampu menanggung perbelanjaan keluarga, saya rasa wang itu sepatutnya digunakan untuk anak.

“Tetapi jika sesebuah keluarga benar-benar memerlukan wang itu untuk membeli barang dapur atau keperluan rumah yang turut dinikmati anak, saya rasa ia juga tidak salah,” kata ibu kepada tiga anak itu.

Seorang lagi ibu, Cik Farrah Roz Azman, 35 tahun, berpendapat perdebatan itu tidak seharusnya menjadi ruang untuk orang ramai menghakimi keputusan ibu bapa lain.

“Saya rasa setiap keluarga mempunyai pendapatan, komitmen dan cabaran yang berbeza.

“Kita tidak tahu keadaan sebenar seseorang, jadi tidak perlulah menghakimi bagaimana mereka memilih untuk menggunakan kredit itu.

“Dalam dunia hari ini, mungkin lebih baik kita bersangka baik terhadap orang lain kerana kita sendiri tidak tahu apa yang mungkin berlaku kepada kita pada masa hadapan,” kata ibu kepada tiga anak itu.