Pelawat ke Gardens by the Bay boleh membawa pulang sekuntum bunga, atau lebih daripada itu, apabila mereka mengunjungi pameran Flower Market, yang bertemakan suasana pasar bunga.

Pameran interaktif penggiat seni Australia, CJ Hendry, yang menampilkan bunga di dalam baldi, membuat penampilan sulungnya di Asia Tenggara menerusi pameran di Singapura, dari 10 hingga 14 Jun.

Bunga tersebut merupakan versi ‘plush’ (bunga kain lembut) bagi lebih 30 jenis bunga yang direka oleh Hendry, termasuk lapan jenis yang disiapkan khas untuk edisi Singapura, yang diadakan di ruang galeri Teater IMBA.

Antara bunga khas yang dihasilkan bagi pameran di Singapura ialah Periuk Kera Raffles (Raffles’ Pitcher Plant), Bunga Gincu Singapura (Singapore Lipstick Flower) dan sejenis anggerik, Papilionanthe Miss Joaquim atau Vanda Miss Joaquim, bunga kebangsaan Singapura.

Hendry, yang berpangkalan di New York, terkenal kerana keupayaannya mengubah barangan harian menjadi pameran besar yang meneroka budaya pengguna, nostalgia, kewujudan fizikal dan tanggapan manusia.

Flower Market dilancarkan di New York pada September 2024 dan telah menjelajah ke bandar seperti Abu Dhabi, Sydney dan Hong Kong.

Tiada bayaran dikenakan. Walaupun pendaftaran awal untuk pameran tersebut penuh terisi, pengunjung tanpa tempahan awal masih dialu-alukan, tertakluk kepada tampungan lokasi pada hari tertentu.

Setiap pengunjung akan menerima sekuntum bunga ‘plush’ percuma. Sebatang bunga tambahan berharga $7 setiap satu. Produk lain oleh Hendry, seperti beg jinjing, topi dan kemeja-T, turut dijual.

Perancang acara, Cik Chong Pei En, 26 tahun, telah mengikuti karya Hendry dalam talian sejak 2014.

“Bunga sangat biasa dan dekat dengan kehidupan kita, tetapi Hendry menjadikannya begitu istimewa dengan sentuhan ceria dan keanak-anakan,” katanya semasa meninjau sesi pratonton pameran itu.

Selain Flower Market, Hendry bakal mempersembahkan JuJu World di Teater IMBA dari 20 Jun hingga 18 Julai. Ia merupakan pengalaman berada dalam ruang gelembung atau ‘inflatable’ pertama di dunia, berasaskan JuJu, siri mainan koleksi beliau.

JuJu ialah patung gebu menyerupai arnab dengan bunga pada mata kirinya, yang ditampilkan dalam warna kuning di Singapura buat kali pertama.

JuJu bersaiz besar setinggi 30.5 sentimeter akan dihasilkan khas untuk Singapura dan tidak akan dijual di tempat lain selepas acara berbayar itu.

Dalam satu kenyataan media, Hendry berkata beliau amat teruja mempersembahkan karyanya di Asia Tenggara bersama IMBA.

Beliau menambah pameran tersebut “mewakili emosi dan pengalaman sejagat kita, daripada rasa ingin tahu kepada zaman remaja dan nostalgia”.