Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khairul Aming anggap 2025 tahun paling mencabar namun berjaya

Jan 2, 2026 | 3:36 PM
Khairul Aming, Tahun Baru, cabaran
Usahawan dan pempengaruh popular Malaysia, Encik Khairul Aming, berkongsi rangkuman kejayaannya pada 2025 dalam satu video di media sosial. - Foto INSTAGRAM KHAIRUL AMING

Usahawan berjaya dan pempengaruh terkenal Malaysia, Encik Khairul Aming, menganggap 2025 sebagai tahun paling penting dalam kerjayanya, apabila beliau berjaya mencatat pelbagai pencapaian besar, sambil menekankan kepentingan keluar daripada zon selesa untuk merealisasikan impian.

“Sepanjang 2025, saya belajar bahawa kejayaan datang apabila kita berani buat benda yang kita tidak selesa. Penat? Ya, sebab kita buat benda yang kita tidak biasa buat.

“Tapi itu yang diperlukan untuk capai kejayaan baru dalam hidup. Jangan takut untuk mulakan,” katanya dalam satu video rangkuman kegiatannya sepanjang 2025 – tahun yang dianggapnya paling sibuk dan mencabar sepanjang 10 tahun dalam perniagaan makanan dan dunia digital. 

Menurutnya, pembinaan restoran Rembayung miliknya yang diumumkan pada Disember lalu sebagai pencapaian terbesar bukan saja pada 2025, bahkan dalam sejarah kerjayanya.

Walaupun pengumuman itu menerima sambutan hangat, Rembayung turut menerima pelbagai kritikan meskipun belum beroperasi.

Bagaimanapun, Encik Khairul Aming mempertahankan pembukaan restoran tersebut merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran buatnya setelah bertahun-tahun bekerja keras membina kejayaan.

“Sambutannya memang luar biasa. Tetapi dalam ramai yang menyokong, ada juga yang memberi kritikan, penilaian satu bintang walaupun restoran itu belum dibuka, serta tanggapan bahawa usaha saya ini akan gagal,” katanya. 

Namun, pemilik nama sebenar, Khairul Amin Kamarulzaman, itu berkata kritikan sedemikian bukan sesuatu yang asing baginya selepas melalui perjalanan hidup dan kerjaya yang penuh cabaran.

“Saya sudah biasa dengan kritikan yang menjatuhkan.

“Saya tidak berada dalam kedudukan untuk membuktikan siapa betul atau salah, sebaliknya saya melakukan sesuatu kerana mahu belajar,” katanya.

Encik Khairul Aming menambah, kegagalan bukan sesuatu yang ditakutinya kerana setiap pengalaman dianggap sebagai proses pembelajaran yang membentuk kematangan diri.

“Saya tidak kisah jika gagal atau malu. Yang penting saya belajar, dan itulah yang membuatkan saya berkembang dari tahun ke tahun hingga ke hari ini,” ujarnya.

Beliau turut berkongsi, Rembayung, yang dibina di Kampung Baru, Kuala Lumpur, dengan kos RM4 juta ($1.27 juta) menandakan permulaan fasa baru dalam perancangannya untuk dekad akan datang, apabila usianya mencecah 34 tahun pada 2026.

Siswazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Vanderbilt di Amerika Syarikat, itu turut berkongsi kejayaannya mencatat jualan RM1 juta dalam masa terpantas 19 saat untuk produk baru keluaran syarikatnya, Rendang Nyet Berapi.

“Saya berjaya mencatat rekod terpantas baru mengatasi pencapaian 2024 dan sekali lagi meletakkan nama Khairul Aming ke dalam Malaysia Book of Records,” katanya yang melabur jutaan ringgit untuk penyelidikan dan pengembangan (R&D) produk.

Beliau turut berkongsi kejayaan video masakannya sepanjang Ramadan 2025, yang mencatat lebih setengah bilion tontonan dan menyumbang kepada pertambahan dua juta pengikut baru, menjadikan jumlah keseluruhan pengikutnya melebihi 15.3 juta di pelbagai wadah media sosial.

Malah, 2025 juga amat istimewa bagi Encik Khairul Aming apabila beliau turut menerima Anugerah Maulidur Rasul (Usahawan/Teknokrat Berjaya) Peringkat Kebangsaan; dijemput sebagai penceramah antarabangsa di Dubai, dan menjadi mentor kepada ratusan menti usahawan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg