Tatkala Kapten (CPT) Ahmad Hafizuddin Abdul Hamid mengimbau pengalaman mengharungi Kursus Renjer pada 2022, beliau tidak dapat melupakan situasi kurang tidur dan rintangan ekstrem yang menguji daya kekuatan fizikal serta mentalnya.

Manakan tidak, kursus sepanjang 65 hari itu menuntut pelatih untuk berdepan latihan kepimpinan tempur yang cukup mencabar lagi intensif.

Namun, bagi pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) itu, segala jerih payah yang dirasakan sebenarnya bukanlah puncak cabaran tertinggi dalam kerjayanya.

Sebaliknya, satu ujian yang jauh lebih besar kini menanti beliau dan dialu-alukannya dengan rasa rendah hati.

CPT Hafizuddin, 30 tahun, baru sahaja dilantik sebagai Adikung Kehormat (HADC) oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam, pada 25 Mei.

Beliau sedar peranan terbarunya itu bakal menguji dirinya ke satu tahap yang lebih tinggi terutama sekali apabila beliau juga perlu mengimbangi peranannya sebagai Pegawai Pemerintah (CO) 1 Unit Pengawal Singapura atau Singapore Guards.

Apabila ditanya Berita Harian (BH) sama ada peranan sebagai adikung merupakan yang paling sukar, beliau menjawab:

“Bagi saya, menjadi seorang HADC adalah salah satu peranan yang paling sukar.

“Ini kerana, kami membawa harapan tinggi yang perlu digalas demi mencerminkan institusi tertinggi di Singapura, iaitu Pejabat Presiden.

“Penting untuk kami – malah saya sendiri – menjaga imej dengan baik, sekali gus mewakili institusi ini dengan penuh wibawa.”

Kapten (CPT) Ahmad Hafizuddin Abdul Hamid.
Kapten (CPT) Ahmad Hafizuddin Abdul Hamid. - Foto BH oleh KHALID BABA

HADC berperanan membantu untuk merancang, menyelaras dan melaksanakan acara yang dihadiri oleh Presiden, sama ada di dalam mahupun di luar negara.

Mereka berkhidmat dalam peranan itu di samping menjalankan tugas utama atau pekerjaan awam masing-masing.

Pada 25 Mei, CPT Hafizuddin merupakan salah seorang daripada 18 HADC yang baru dilantik ke jawatan tersebut oleh Tuan Presiden dalam satu upacara yang diadakan di ibu pejabat Kementerian Pertahanan (Mindef) di Bukit Gombak.

Mereka adalah sebahagian daripada 113 HADC secara keseluruhan yang dilantik pada hari itu.

Berperanan sebagai CO 1 Unit Pengawal sejak 2025, CPT Hafizuddin perlu memimpin lebih 100 anggota unit itu, dengan memastikan mereka berlatih mengikut piawaian, menjaga kebajikan serta keselamatan mereka.

Anak bongsu empat beradik itu merupakan satu-satunya di dalam keluarganya yang dipilih sebagai Adikung Presiden.

Beliau berkongsi inspirasi bagi memikul tanggungjawab terbaru itu ialah ayahnya, Encik Abdul Hamid Abdullah, 71 tahun.

Mantan pengarah audit di Pejabat Juruaudit Negara (AGO) Singapura itu pernah menerajui transformasi Casa Raudha pada 2018, memainkan peranan penting dalam menyemak sistem pendidikan Madrasah Wak Tanjong berikutan pengenalan Akta Pendidikan Wajib (CE), yang dilaksanakan sejak 2003 serta penubuhan AMP Singapura pada 1991.

Atas usahanya yang luas, Encik Abdul Hamid diberikan Anugerah Jasa Cemerlang Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 2025.

CPT Hafizuddin menyifatkan ayahnya, yang aktif dalam khidmat masyarakat sebagai inspirasi utama, dan beliau bertekad mengikut jejak langkah tersebut dengan menabur bakti di luar skop tugasannya.

“Maka, apabila peluang ini datang dan saya dicalonkan, saya tidak teragak-agak untuk bangkit menyahut cabaran ini,” ujarnya.

Encik Abdul Hamid Abdullah diberikan Anugerah Jasa Cemerlang Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 2025.
Encik Abdul Hamid Abdullah diberikan Anugerah Jasa Cemerlang Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 2025. - Foto fail

Berkongsi perasaannya atas pelantikan itu, CPT Hafizuddin berasa amat rendah hati dan menambah, ia tidak dapat dicapai tanpa sokongan keluarga.

Berkongsi reaksi keluarganya apabila kali pertama beliau berkongsi mengenai peranan sebagai HADC, CPT Hafizuddin berkata:

“Mereka sangat teruja untuk saya, namun mereka juga risau tentang masa yang saya ada untuk mereka selepas ini.

“Pada saya, perkara paling utama apabila kita memilih untuk memikul pelbagai tanggungjawab, adalah untuk mendapat sokongan daripada orang yang kita sayang.

“Komitmen sebagai pegawai tentera ini sangat berat... maka, saya sangat bersyukur dan menghargai sokongan mereka terhadap apa yang saya mahu lakukan di sini.”

Beliau menambah, jika diberi peluang menjadi HADC sepenuh masa satu hari nanti, beliau amat berbesar hati untuk mempertimbangkan pilihan tersebut dan menerimanya.

Sementara itu, berucap pada upacara pelantikan itu, Tuan Presiden menggariskan kisah CPT Ahmad Hafizuddin sebagai contoh kepelbagaian latar belakang dan pengalaman yang kaya dalam kalangan mereka yang dilantik pada 2026.

Beliau berkata: “CPT Ahmad Hafizuddin daripada tentera Singapura menampilkan ciri disiplin serta daya tahan seorang Pegawai Pengawal, hasil kejayaannya menamatkan Kursus Renjer yang menuntut komitmen tinggi, dan kini menerajui barisan anggota sebagai Komander Kompeni di Batalion Pertama Pengawal Singapura.”

Tuan Presiden turut mengumumkan buat julung-julung kalinya, pegawai Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) juga dipilih sebagai HADC.

Sebelum ini, HADC hanya terdiri daripada SAF, Pasukan Polis Singapura (SPF), dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Tuan Presiden menyifatkan SPS memainkan peranan penting dalam pasukan Home Team serta masyarakat.

Ia bukan sahaja menjaga aspek keselamatan dan disiplin, malah turut merangkumi usaha pemulihan, penyepaduan semula, serta kepercayaan bahawa setiap insan berhak menjalani kehidupan yang bermaruah dan diberi peluang kedua, katanya.

“Ia merupakan satu tugas yang sukar dan sering kali tidak diiktiraf masyarakat meluas.

“Namun, tugas ini menzahirkan sesuatu yang amat penting dalam etos nasional kita: bahawa keadilan mestilah tegas, tetapi pada masa yang sama, masyarakat juga perlu mengekalkan ruang bagi sinar harapan dan penebusan diri,” ujar beliau.

Tuan Presiden turut mengambil peluang merakam penghargaan kepada HADC yang bersara selepas menabur bakti dalam tanggungjawab ini selama lebih daripada satu dekad.