Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenghakiman 810 halaman dedah skala penyaluran wang 1MDB terbesar dunia
Penghakiman 810 halaman dedah skala penyaluran wang 1MDB terbesar dunia
Hakim Mahkamah Persekutuan sifatkan kes RM2.3b Najib sebagai perbicaraan paling kompleks dalam sejarah M’sia
Penghakiman 810 halaman dedah skala penyaluran wang 1MDB terbesar dunia
KUALA LUMPUR: Skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang membabitkan bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, begitu besar sehingga menjadikan ‘Attila the Hun’ – yang terkenal dengan kekejaman dan kemusnahan – kelihatan seperti budak koir jika dibandingkan dengannya.
Demikian menurut Hakim Mahkamah Tinggi (ketika kes 1MDB) – kini Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah – yang membuat pemerhatian itu dalam penghakiman bertulis setebal 810 muka surat yang dikeluarkan pada 16 Jun.
Beliau menyifatkan skandal kewangan yang membawa kepada pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri itu sebagai antara episod kleptokrasi yang terbesar di dunia, sebagaimana yang disifatkan media tempatan dan antarabangsa.
Kleptokrasi adalah satu istilah politik bagi menggambarkan sesebuah kerajaan, yang pemimpinnya menggunakan kuasa, kedudukan, dan jentera kerajaan secara rasuah untuk merompak kekayaan negara demi kepentingan peribadi atau kroni mereka.
“Skala penjarahan yang berlaku (dari sudut kewangan, sudah tentu) menjadikan ‘Attila the Hun’ kelihatan seperti budak koir jika dibandingkan dengannya,” katanya, mengikut laporan di laman web Malaysiakini.
‘Attila the Hun’ ialah pemerintah yang digeruni dalam Empayar Hun pada abad kelima dan terkenal kerana mengetuai kempen ketenteraan yang memusnahkan pelbagai wilayah di Eropah.
Beliau dikenali kerana sifat kejam, kemusnahan yang ditinggalkan serta kegiatan merampas harta, sehingga digelar ‘The Scourge of God’ (Bala Tuhan).
Kempen ketenteraannya mencetuskan ketakutan meluas dan menyebabkan kemusnahan besar terhadap bandar serta wilayah di bawah pemerintahan Rom.
Pada 26 Disember 2025, Hakim Sequerah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda keseluruhan RM11.4 bilion ($3.59 bilion) terhadap Encik Najib, 72 tahun.
Ini selepas Encik Najib didapati bersalah atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan dana berjumlah RM2.3 bilion yang dikaitkan dengan 1MDB.
Hampir enam bulan kemudian, dalam alasan penghakiman penuh yang dinanti-nantikan, hakim itu berkata perbicaraan yang bermula pada Ogos 2019, mengambil masa kira-kira enam tahun untuk diselesaikan dan berkemungkinan melepasi tempoh mana-mana perbicaraan lain dalam sejarah mahkamah di Malaysia.
Beliau menyifatkan perkara itu sebagai rekod tidak diingini oleh mana-mana mahkamah.
Hakim itu turut menyatakan tempoh perbicaraan panjang mencerminkan kerumitan kes berkenaan, yang melibatkan sejumlah besar dokumen, ramai saksi serta pelbagai dakwaan saling berkaitan dalam skandal kewangan terbesar negara.
Hakim Sequerah berkata Encik Najib adalah dalang di sebalik penyelewengan dana RM2.3 bilion melalui tipu daya dan penipuan yang dilakukan proksinya, iaitu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.
Beliau berkata Encik Najib berganding bahu dengan Jho Low secara berhati-hati dengan membentuk satu rangkaian penipuan yang kompleks dan terancang, membabitkan pelbagai urus niaga kewangan.
Menurutnya, rangkaian itu akhirnya membawa kepada pengaliran dana 1MDB dan melalui beberapa lapisan transaksi, wang berkenaan berakhir dalam akaun bank peribadi tertuduh.
“Bukti jelas menunjukkan ini bukan kebetulan, sebaliknya menggambarkan hubungan di mana Jho Low bertindak sebagai proksi atau ejen kepada tertuduh dalam pengurusan hal ehwal 1MDB.
“Percubaan tertuduh untuk menjauhkan diri daripada Jho Low adalah tidak berasas apabila mengambil kira bukti kukuh yang dikemukakan saksi pendakwaan,” katanya.
