Ahli politik Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah menjemput Menteri Kesihatan Singapura, Encik Ong Ye Kung ke majlis perkahwinannya dengan penyanyi dan pelakon Bella Astillah yang dijadualkan berlangsung pada 10 Oktober.

Dalam satu hantaran di media sosial pada 9 September, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkongsi bahawa beliau sempat bertemu dan berbual mesra dengan Encik Ong.

Gambar yang disertakan menunjukkan mereka berdua, dengan Encik Ong memegang kad jemputan yang memaparkan gambar pasangan bakal pengantin tersebut.

“Malaysia dan Singapura tidak dapat dipisahkan seperti sebuah keluarga.

“Jadi, dalam semangat membina hubungan kekeluargaan, saya secara rasmi menaik taraf hubungan dua hala ini kepada status jemputan perkahwinan.

“Jumpa bulan depan, Tuan!” tulis Syed Saddiq dalam kapsyen hantarannya.

Sehari kemudian, Encik Ong membalas di ruangan komen hantaran tersebut:

“Tahniah sekali lagi!”

Warga Singapura turut mengambil kesempatan di ruangan komen untuk bergurau sambil meminta Encik Ong membawa mereka bersama ke majlis perkahwinan yang dinanti-nantikan itu.

Pelawak Singapura Fadzri Rashid, yang lebih dikenali dengan nama pentas Fakkah Fuzz, memberikan komen: “Yo @ongyekung, bawa saya sekali.”

Seorang lagi pengguna media sosial dengan nama pengguna ‘kin_munch_kin’ yang memperkenalkan dirinya sebagai penduduk GRC Sembawang, iaitu kawasan yang diwakili Encik Ong, turut mencuba nasib untuk mendapatkan jemputan tersebut.

“Saya janji akan berkelakuan baik, bawa hadiah perkahwinan dan mewakili Canberra dengan baik. Jangan tinggalkan penduduk anda!” katanya.

Kededua ahli politik itu telah berkongsi beberapa interaksi mesra sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ketika melakukan lawatan kerja ke Kuala Lumpur pada 2022, Encik Ong telah dijemput oleh Syed Saddiq untuk menikmati hidangan masakan rumah, termasuk asam pedas, mee bandung Muar dan otak-otak Muar.

Syed Saddiq, yang ketika itu sudah mempunyai jumlah pengikut yang ramai di media sosial, turut berjaya meyakinkan Encik Ong untuk membuka akaun di platform media sosial TikTok.

Syed Saddiq, 33 tahun telah bertunang dengan Bella, 32 tahun, pada 28 Mac.

Mereka dijadualkan melangsungkan perkahwinan pada 10 Oktober di Menara Merdeka Maybank, Kuala Lumpur.

Pasangan itu juga merancang untuk mengadakan sambutan di kampung halaman mereka di Muar dan Sabah, bagi membolehkan lebih ramai ahli keluarga, rakan-rakan serta orang awam menyertai majlis tersebut.

Bella, yang nama sebenarnya ialah Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, mempunyai dua anak berusia enam dan sembilan tahun.

Beliau sebelum ini berkahwin dengan pelakon Singapura, Aliff Aziz, dan mereka bercerai pada 2024.