Tak dapat puasa atas sebab kesihatan, wanita anggap beri makan orang puasa satu ibadah
Tak dapat puasa atas sebab kesihatan, wanita anggap beri makan orang puasa satu ibadah
Bergantung kepada rawatan sepanjang hayat selepas pankreas dan limpa dibuang akibat barah
Pernah dinobatkan sebagai juara pertandingan ‘Raja Kulinari 2022’ musim pertama yang ditayangkan Mediacorp Suria, nama Cik Zakiyah Jaleel sinonim dengan masakan lazat dan kreatif.
Namun, di sebalik wajah cerianya, beliau berkongsi kepedihan tidak dapat menjalani ibadah berpuasa seperti masyarakat Islam lain akibat penyakit yang dialaminya.
Cik Zakiyah, 41 tahun, berkongsi di Instagram melalui satu hantaran video bahawa beliau pernah menghidap barah neuroendokrin (NET), iaitu sejenis barah yang jarang ditemui dan lazimnya tumbuh perlahan, berpunca daripada sel khusus di seluruh badan yang mempunyai gabungan ciri saraf dan kelenjar.
“Pada awalnya, barah itu tidak dapat dikeluarkan kerana ia berada di salur darah utama, tetapi akhirnya selepas rawatan, doktor menyarankan agar pankreas dan limpa dikeluarkan,” kata Cik Zakiyah ketika dihubungi Berita Harian.
Ketiadaan pankreas menyebabkan badan tidak dapat menghasilkan insulin dan enzim pencernaan, lalu paras gula dalam darah sukar dikawal dan makanan tidak dihadam dengan baik.
Setiap kali makan, pesakit biasanya memerlukan suntikan insulin serta pengambilan enzim pencernaan sepanjang hayat.
“Saya pernah cuba berpuasa sejurus selepas menjalani rawatan tetapi saya meletakkan diri dalam bahaya kerana saya akan jatuh sakit dan tidak sedarkan diri,” terang Cik Zakiyah, ibu kepada seorang anak angkat perempuan berusia lapan tahun.
Menurutnya, beliau didiagnosis dengan penyakit barah setelah berkahwin dengan suaminya, Mohamed Ali Jinna Varusai Mohamed, 41 tahun.
“Ini antara cabaran kami, tetapi kami menerima hakikat ini dan terbuka untuk mengambil anak angkat,” katanya.
Kini, setiap hari Cik Zakiyah bergantung kepada rawatan sepanjang hayat.
“Saya menyuntik insulin setiap hari dan mengambil ubat pencernaan setiap kali makan,” ujarnya.
Walaupun tidak dapat menjalani ibadah berpuasa, beliau reda dengan ketentuan Allah dan pasrah menghadapi ujian.
“Memang sedih sebab tak dapat puasa, tapi saya beri fokus untuk memberi makan orang berpuasa, itu juga satu cara beribadah.
“Saya dapat menyediakan makanan yang sedap untuk keluarga saya,” tambahnya.
Beliau turut membantu di kedai makanan suaminya, Hydeen’s Kitchen, yang terletak di Woodlands Rise jika diperlukan.
Pada Ramadan ini, Cik Zakiyah masih ligat menyediakan makanan kegemarannya, ‘sabsuka’ atau digelar ‘Kiyahsuka’ di kedai tersebut selain mengambil tempahan masak dari rumah.

