Budaya muat naik ‘konten’ makanan di media sosial: Adakah ia ‘mengenyangkan’ jiwa?

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Budaya muat naik ‘konten’ makanan di media sosial: Adakah ia ‘mengenyangkan’ jiwa?

Dalam keterujaan untuk hasilkan kandungan dan labelkan juadah sebagai “mesti try”, “boleh try” atau “tak perlu cuba”; adakah kita kehilangan nikmat menjamu selera yang lebih bermakna?
Feb 15, 2026 | 5:30 AM

Budaya muat naik ‘konten’ makanan di media sosial: Adakah ia ‘mengenyangkan’ jiwa?

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Budaya merakam pengalaman menjamu selera menerusi video, foto dan ulasan di media sosial mungkin seronok tapi adakah ia menjejas pengalaman sebenar menjamu selera?
Budaya merakam pengalaman menjamu selera menerusi video, foto dan ulasan di media sosial mungkin seronok tapi adakah ia menjejas pengalaman sebenar menjamu selera? - Foto ISTOCK

Seorang teman baru-baru ini mengajak saya makan tengah hari.

Baru sahaja saya melabuhkan punggung di kerusi, beliau sudah berikan ‘amaran’.

“Makan kat sini best,” katanya sambil merendahkan suara, “tapi jangan post (muat naik) dulu. Nanti confirm viral (tular), habis susah kita nak makan nanti.”

Selamat datang ke budaya makan moden, di mana setiap pelanggan adalah pengkritik sambilan, arkib bergerak, dan jabatan pemasaran tidak rasmi.

Kita tiba bukan sekadar dengan selera, tetapi dengan hasil kajian.

Kita sudah menonton video TikTok.

Kita sudah membaca reviu makanan di alam maya (saya syorkan anda ke laman mikro Kaki Makan Berita Harian).

Kita tahu gerai mana yang habis dijual menjelang 1 petang, mak cik mana yang garang tapi sebenarnya baik hati, dan sambal mana yang “berbaloi dengan kalorinya”.

Kita juga sudah memperhalusi teknik di mana wap makanan yang dirakam dengan telefon bijak kelihatan seperti kabus sinematik.

Bagi keluarga Melayu, makanan sentiasa lebih daripada sekadar mengisi perut.

Makanan adalah kenangan, warisan, dan wadah pererat silaturahim. Resipi diwarisi turun-temurun bak harta pusaka.

Aroma tertentu mampu membawa kita kembali ke suasana kenduri di kolong blok, kunjungan Hari Raya, makan perata lewat malam selepas tarawih, atau dapur ibu pada pagi hari selepas pulang dari sekolah.

Namun kini, satu lagi dimensi telah memasuki ritual ini: iaitu dokumentasi.

Sebelum suapan pertama, harus ‘bekukan’ diri seketika untuk seseorang mengambil gambar atau video.

Senario ini di meja makan sebuah keluarga sudah biasa kita lihat.

Anak remaja membetulkan kedudukan sudu di meja.

Si bapa menunggu dengan bingung, hairan mengapa mi rebus itu perlu melalui sesi fotografi.

Si nenek pula, yang sudah separuh jalan menghabiskan makanannya, mendongak dan bertanya, “Eh, belum makan lagi?”

Kita ketawa, tetapi ini menandakan satu peralihan.

Kuasa untuk mengisytiharkan apa yang “terbaik” dahulunya milik golongan leluhur kita - yang lebih banyak ‘makan garam’ dari kita, pelanggan tetap, atau mereka yang telah makan di situ berdekad lamanya.

Hari ini, kuasa itu milik sesiapa sahaja yang mempunyai lampu gelang atau ring light iaitu lampu kecil yang digunakan untuk merakam video menggunakan telefon bijak selain keyakinan dan WiFi.

Klip video berdurasi 30 saat boleh merangsang barisan pelanggan lapar untuk beratur panjang dan menunggu lama, lebih daripada penantian yang sanggup dilalui oleh pelanggan setia selama berdekad.

Namun, adakah perkara ini semestinya sesuatu yang positif bagi peniaga makanan?

Saya rasa impaknya bercampur.

Pada hari baik, tular adalah rezeki.

Perniagaan melonjak.

Pelanggan baru menemui mereka. Pelanggan Gen-Z yang mungkin tidak pernah menjejakkan kaki ke kawasan estet perumahan tersebut tiba-tiba muncul dengan ketepatan GPS.

Pada hari yang sukar pula, jangkaan menjadi mustahil.

Pelanggan datang dengan harapan yang terlalu tinggi.

“Saya tengok dalam talian katanya ‘power’ (sedap) sangat”.

Justeru, jika rasanya sekadar sedap dan tidak luar biasa, kekecewaan akan menyusul.

Ulasan boleh menjadi kejam, kadangkala cuai kerana dihasilkan dengan tidak berfikir panjang, dan paling meninggalkan kesan, persepsi dari ulasan sedemikian berupaya untuk kekal.

Namun, kita tidak boleh berpura-pura menjadi pemerhati yang tidak bersalah.

Kita adalah peserta dalam teater ini.

Kita menghantar pautan dalam kumpulan WhatsApp keluarga dan menyimpan koordinat tempat makan yang baru kita temui di media sosial dan mahu diterokai di Google Maps.

Kita merancang ekspedisi hujung minggu seperti penjelajah kulinari.

Sesetengah daripada kita secara rahsia berasa bangga menyatakan, “Aku dah makan kat sini sebelum dia jadi ‘famous’.”

Ada rasa bangga dalam penemuan baru.

Ada status apabila menjadi yang terawal.

Tetapi dalam keterujaan kita untuk melabelkan juadah sebagai “mesti try”, “boleh kalau ada masa” atau “tak perlu cuba” adakah kita kehilangan nikmat menjamu selera yang lebih bermakna?

Makna itu lahir daripada keseronokan terserempak gerai kerana tarikan aroma, kesabaran kembali berkali-kali hingga mak cik gerai cam wajah kita, dan keakraban makanan yang menjadi milik kawasan kejiranan, bukan milik algoritma.

Bagi saya, pusat penjaja bak ruang demokratik yang sejati.

Golongan karyawan, pelajar, pekerja syif, pesara, pasangan muda dengan bajet ketat - semua duduk di bawah kipas yang sama, mengelap meja plastik dengan tisu juga satu amalan yang sama, dan mengembalikan pinggan, mangkuk ke tempat yang sama.

Tidak dinafikan, keadaan tular boleh memberi tenaga kepada ekosistem ini.

Bagaimanapun, ia juga boleh merosakkannya.

Ini terjadi apabila setiap karya bersaing hebat untuk mendapat perhatian, lantas keunikan yang kurang menyerlah tidak berpeluang tampil.

Ringkasnya, yang paling “lantang” akan menang.

Mungkin persoalan yang lebih besar adalah: adakah kita masih merasa enaknya juadah dengan mulut dan lidah, atau lebih kepada algoritma media sosial?

Kerana apabila kita utamakan merakam berbanding mengalami, kita kadangkala terlupa bahawa inti pati menikmati makanan adalah tentang menghadirkan diri.

Ini kerana keenakannya juga terletak pada perbualan antara suapan, reaksi tulen kepada lidah yang merasa, dan tentang kisah yang diceritakan meskipun tiada sesiapa yang menonton di dalam talian.

Ironinya, jika difikirkan, banyak kenangan makanan kita yang paling berharga tidak pernah dinilai.

Tiada bintang, tiada kapsyen, tiada muzik latar yang dramatik. Hanya kehangatan teman bicara dan kepuasan kerana kenyang - dari segi emosi mahupun fizikal.

Mungkin penyelesaiannya bukanlah dengan meninggalkan ulasan atau media sosial.

Ia adalah sebahagian daripada kehidupan sekarang, dan benar-benar dapat membantu perniagaan kecil.

Tetapi sekali-sekala, mungkin kita boleh memilih untuk tidak menyiarkannya.

Makanlah perlahan-lahan. Biarkan sesebuah tempat itu kekal menjadi milik kita, biarpun untuk sepetang saja.

Dan jika makanannya benar-benar sedap?

Beritahu ibu, bapa dan keluarga anda.

Beritahu rakan-rakan anda.

Ajak mereka kembali.

Lampu gelang tidak diperlukan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg