KUALA LUMPUR: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) memperoleh perintah mahkamah untuk melucut hak sebuah apartmen mewah di New York, yang didakwa dibeli menggunakan dana yang diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam kenyataan pada 28 Mei, DOJ berkata tindakan berkenaan menyelesaikan kes pelucuthakan sivil yang difailkan di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat bagi Daerah Tengah California untuk mendapatkan semula aset bernilai lebih AS$6 juta ($7.67 juta), yang dikaitkan dengan dana pelaburan strategik Malaysia.

Menurut DOJ, kondominium mewah berkenaan dibeli untuk manfaat Catherine Tan May Ling, pembantu peribadi kepada Low Taek Jho atau Jho Low.

DOJ berkata Tan turut memperoleh keuntungan daripada aset itu menerusi hasil sewaan yang diterima.

“Mengikut perintah pelucuthakan dalam kes ini, kondominium dan hasil sewaan yang dipegang Tan akan dilucut hak kepada kerajaan Amerika,” jelas DOJ, lapor Berita Harian Malaysia.

Awal Mei ini, The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan Jho Low memohon pengampunan daripada Presiden Amerika, Encik Donald Trump.

Laporan itu menyebut, jika permohonan berkenaan diluluskan, ia akan menggugurkan pertuduhan jenayah di Amerika terhadap Jho Low.

WSJ memetik seorang pegawai Rumah Putih sebagai berkata permohonan Jho Low itu, ketika ini, bukan dalam perhatian pihak pentadbiran.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kerajaan tidak mempertimbangkan sebarang kemungkinan untuk memberikan pengampunan kepada Jho Low.

Menurut Datuk Anwar, sebarang permohonan pengampunan melibatkan Jho Low tidak akan dilayan, memandangkan penglibatan ahli perniagaan itu dalam dakwaan salah laku dan kerugian kewangan yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Sebelum ini pada 26 Disember 2025, mantan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, Encik Najib Tun Razak, dikenakan hukuman penjara 15 tahun dan didenda RM11.38 bilion oleh Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Persekutuan yang bertindak selaku Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah, menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati bekas Presiden Umno itu, bersalah terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Encik Najib, 73 tahun, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB melalui cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014.