Tiga pasangan, satu pelamin, satu majlis persandingan.

Itulah cara tiga beradik, Encik Muhammad Faris Mohd Fauzi, 27 tahun, Encik Muhammad Faiz Mohd Fauzi, 24 tahun, dan Cik Nur Falisha Mohd Fauzi, 22 tahun, meraikan perkahwinan masing-masing pada 31 Oktober.

Sekitar 600 tetamu menghadiri majlis di The Acacia @ Geneo, 1 Science Park Drive, dengan setiap pasangan mempunyai sesi persandingan sendiri sebelum ketiga-tiganya berkumpul untuk memotong kek bersama pada sekitar 4 petang.

“Pada awalnya, memang terdapat sedikit bantahan (kerana) masing-masing mengimpikan hari istimewa yang tersendiri.

“Tetapi setelah berbincang dan memikirkan perkara ini dengan lebih mendalam, kami mula melihatnya dari sudut pandangan ibu bapa kerana mereka mengerah lebih banyak tenaga, masa dan komitmen untuk memastikan setiap majlis berjalan dengan lancar,” kata Encik Faris, seorang juruteknik audio visual, ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Antara pertimbangan utama mereka ialah penjimatan kos serta kemudahan menghimpunkan saudara-mara dan rakan dalam satu majlis, berbanding mengadakan tiga majlis berasingan.

Encik Mohd Fauzi Sinin (kiri) dan isterinya, Cik Zawiah Hassan (kanan), bersama tiga anak mereka serta pasangan masing-masing selepas majlis persandingan bersama di The Acacia @ Geneo pada 31 Oktober.
Encik Mohd Fauzi Sinin (kiri) dan isterinya, Cik Zawiah Hassan (kanan), bersama tiga anak mereka serta pasangan masing-masing selepas majlis persandingan bersama di The Acacia @ Geneo pada 31 Oktober. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Menurut Encik Faris, setiap pasangan dapat menjimatkan lebih $15,000 dengan berkongsi kos tempat, hiasan dan perkhidmatan yang diperlukan untuk majlis persandingan.

Namun, menggabungkan tiga majlis juga bermakna mereka perlu mengambil kira cita rasa dan keinginan setiap pasangan.

Anak kedua daripada tiga beradik itu, Encik Faiz, berkata pemilihan tempat dan hiasan mengambil masa paling lama kerana setiap pasangan mempunyai pilihan tersendiri.

Memandangkan majlis itu turut menyaksikan pernikahan Encik Faris pada sebelah pagi, beliau sebagai anak sulung diberi kepercayaan untuk membuat keputusan utama, termasuk pemilihan tempat dan konsep hiasan.

“Walaupun begitu, kami masih diberi ruang untuk menyuarakan pendapat dan memberi cadangan.

“Sekiranya terdapat perbezaan pendapat, kami akan berbincang dan mencari jalan tengah sehingga mencapai persetujuan bersama,” ujar Encik Faiz, pelajar tahun keempat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM).

Menurut Encik Faris, Encik Faiz telah bernikah pada Disember 2025 tetapi tidak mengadakan majlis persandingan ketika itu, manakala Cik Falisha pula bernikah pada 24 Oktober lalu.

Cik Falisha berkata mereka berusaha menghormati cita rasa dan keinginan setiap pasangan sepanjang persiapan majlis.

Ketiga-tiga pasangan pengantin diiringi paluan kompang ketika memasuki dewan sebelum acara memotong kek bersama.
Ketiga-tiga pasangan pengantin diiringi paluan kompang ketika memasuki dewan sebelum acara memotong kek bersama. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

“Bagi kami, komunikasi yang baik dan sikap bertolak ansur merupakan kunci utama dalam memastikan proses perancangan berjalan dengan lancar.

“Kami juga sentiasa mengingati tujuan utama majlis ini adalah untuk meraikan kebahagiaan bersama keluarga,” kata pelajar tahun pertama di Universiti Murdoch itu.

Bagi Cik Falisha, berkongsi hari istimewa itu dengan kedua-dua abangnya merupakan pengalaman yang bermakna.

“Bukan semua orang berpeluang untuk meraikan hari persandingan bersama adik-beradik pada tarikh yang sama.

“Oleh itu, kami menganggap peluang ini sebagai satu rezeki dan kenangan yang sangat istimewa buat kami sekeluarga,” tambah anak bongsu itu.

Bagi ibu bapa mereka, Encik Mohd Fauzi Sinin, 54 tahun, dan Cik Zawiah Hassan, 51 tahun, memastikan setiap pasangan berpeluang menyuarakan keinginan masing-masing merupakan antara keutamaan sepanjang persiapan majlis.

“Persiapan terbesar ialah memastikan suara dan impian setiap anak kami didengari.

“Walaupun kami yang menapis, memilih dan melantik Glamz Gallery sebagai syarikat perancang perkahwinan, proses perancangan selebihnya diserahkan sepenuhnya kepada anak-anak,” kata Encik Fauzi.

Ketiga-tiga pasangan berkongsi satu pelamin dengan hiasan yang sama, namun nama setiap pasangan dipaparkan secara bergilir pada skrin LED mengikut sesi persandingan masing-masing.

Setiap pasangan diperuntukkan sekitar dua jam untuk menyambut dan meraikan tetamu masing-masing.

Perancang perkahwinan, Cik Nurshila Zainal, berkata cabaran utama ialah memastikan setiap sesi berjalan mengikut jadual supaya tidak menjejaskan giliran pasangan seterusnya.

“Pengurusan masa sangat penting. Kami perlu sentiasa berkomunikasi dengan jurugambar dan juruvideo supaya setiap sesi tidak berlarutan,” kongsinya.