Berita Netizen
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wali ‘paling cool’ main gitar elektrik semasa pengantin berarak

Nov 17, 2025 | 1:46 PM
Bapa pengantin perempuan, Shaik Abdul Halim (belakang) memainkan lagu instrumental Young and Beautiful di elektrik gitarnya, permintaan mempelai Cik Diyana Mas Ayu Shaik Abdul Halim (kanan) dan Encik Muhammad Tarmizi Mahat (kiri) semasa majlis perkahwinan mereka pada 1 November di Hotel Furama Riverfront.
Bapa pengantin perempuan, Shaik Abdul Halim (belakang) memainkan lagu instrumental Young and Beautiful di elektrik gitarnya, permintaan mempelai Cik Diyana Mas Ayu Shaik Abdul Halim (kanan) dan Encik Muhammad Tarmizi Mahat (kiri) semasa majlis perkahwinan mereka pada 1 November di Hotel Furama Riverfront. - Foto AIRISU

Lupakan muzik ambien atau paluan kompang yang sudah biasa didengar mengapit pengantin.

Semasa majlis perkahwinan Cik Diyana Mas Ayu Shaik Abdul Halim di Furama Riverfront pada 1 November lalu, bunyi yang membuatkan tetamu terpaku adalah petikan gitar elektrik yang pantas dan berat di bahagian solo yang dimainkan semasa mempelai membuat kemunculan ketiga menemui tetamu.

Melodi adalah lagu nyanyian artis Ero

Namun, persembahan itu lebih istimewa kerana ia dipersembahkan oleh bapa pengantin perempuan, yang hanya ingin dikenali sebagai Shaik Abdul Halim.

View post on TikTok

Melodinya sarat dengan emosi dan membuat ramai terpegun terutama pada bahagian solo di mana beliau memanjangkan nada nota itu yang menghasilkan kesan gema, bunyi yang tergantung di udara, lalu menusuk ke jiwa.

Bercakap dengan wartawan Berita Harian (BH), Cik Diyana, 26 tahun, menceritakan bahawa beliau serta suaminya, Encik Muhammad Tarmizi Mahat, 28 tahun, sudah berhasrat untuk meminta bapanya membuat persembahan pada hari istimewa mereka.

“Majlis mempelai lain menempah selebriti menyanyi atau mainkan muzik. Tetapi saya terfikir, kenapa tidak saya ajak ayah mainkan gitar pada majlis istimewa saya ini,” ujar anak kedua tiga adik beradik itu.

Persembahan gitar elektrik solo Encik Halim berlangsung sekitar tiga minit, sebagai  iringan bagi perarakan masuk ketiga dan juga acara memotong kek.
Persembahan gitar elektrik solo Encik Halim berlangsung sekitar tiga minit, sebagai iringan bagi perarakan masuk ketiga dan juga acara memotong kek. - Foto AIRISU

Menurutnya, ayahnya seorang peminat tegar muzik rok yang belajar bermain gitar sendiri ketika remaja dengan hanya memutar pita kaset berulang kali.

Apabila ditanya mengapa lagu Young and Beautiful oleh artis Eropah Lana Del Rey menjadi pilihan, beliau menjawab ia suatu lagu yang klasik, mempunyai vibe megah dan beliau sudah menyukai lagu itu sekian lama.

Apabila Cik Diyana membuat permintaan itu pada Januari 2025, ayahnya, tidak kelihatan minat dengan lagu pilihannya.

“Dia dengar lagu tu lepas tu cakap, lagu tu macam nak tidur,” seloroh pendidik prasekolah itu.

Lagu itu kemudian diubah suai susunannya kepada gaya Encik Halim tersendiri.

“Ayah bagi saya dua versi solo. Bila saya dengar versi kedua, bulu roma saya terus meremang. Versi itu sangat unik dan saya tak pernah dengar versi itu di mana-mana pun. Itulah detik saya tahu bahawa saya inginkan versi kedua itu dimainkan di majlis perkahwinan saya,” ujar Cik Diyana.

Pengantin turut terharu dan berbesar hati apabila ayah pengantin perempuan memainkan lagu itu dengan penuh perasaan.
Pengantin turut terharu dan berbesar hati apabila ayah pengantin perempuan memainkan lagu itu dengan penuh perasaan. - Foto AIRISU

Encik Halim, seorang pekerja perkhidmatan awam dalam lingkungan usia 50-an, digambarkan sebagai seorang yang tegas dan tidak banyak bercakap.

“Saya seorang yang tidak banyak berkata. Muzik adalah satu-satunya wadah saya luahkan perasaan terutamanya kasih sayang. Dan persembahan itu tepat bagi saya mencurahkan perasaan dengan memadukan sentuhan peribadi serta jiwa seni, ke dalam sebuah solo khas yang istimewa,” jelas Encik Halim, ayah kepada tiga anak perempuan.

“Saya tak buat ucapan hari itu, tapi muzik adalah penggantinya,” tambah wali itu yang bersyukur kekal tenang semasa menyempurnakan akad nikah anaknya.

Bagi Encik Halim, detik-detik lantang dan berat dalam solo itu tidak dirancang dan ia adalah secara spontan, berdasarkan apa yang beliau rasakan pada masa itu.

Encik Halim dan anak bongsunya, Cik Arinah Mas Ayu Shaik Abdul Halim, mempersembahkan silat bersama dalam segmen awal majlis tersebut.
Encik Halim dan anak bongsunya, Cik Arinah Mas Ayu Shaik Abdul Halim, mempersembahkan silat bersama dalam segmen awal majlis tersebut. - Foto AIRISU

“Saya sebenar seorang yang sangat emosi. Jujur, hari itu saya banyak menangis. Orang pandang di luar sebagai seorang yang tegas dan mempunyai penampilan yang lasak, tapi dalam hati, ada taman,” cerita Encik Halim yang telah mengelak daripada memandang Cik Diyana semasa beliau berarak masuk ke dewan.

Beliau menggambarkan emosi melepaskan anak kedua perempuannya itu lalu berkata: “ Cuba bayangkan satu hari, kita tahu kita sakit. Pergi ke hospital dan terpaksa potong sebahagian anggota badan, itulah yang dirasakan seorang ayah apabila tiba saat untuk melepaskan anak perempuannya. Detik yang penuh kebanggaan, namun juga penuh sebak.”

Persembahan itu, telah dirakam oleh seorang jurusolek majlis tersebut, Cik Nur Syazana H, dan telah dimuat naikkan ke TikTok pada 2 November dan kini telah meraih lebih 70,000 tontonan.

Seorang pengguna TikTok ‘User999’ berkata: Ini memang terlalu cool! Detik yang menakjubkan, solo yang hebat. Ayah paling best dan walk-in paling gempak sekali. Pengalaman seperti ini tak boleh dibeli dengan duit.”

Seorang lagi pengguna, ‘Pixieee’ komen: “Pak cik nampak begitu hebat! Cara dia bermain gitar memang menghiburkan. Sampai saya rasa nak sorak bagi semangat, lupa pula itu majlis kahwin!”

Satu lagi keistimewaan majlis itu ialah apabila Encik Halim dan anak bongsunya, Cik Arinah Mas Ayu Shaik Abdul Halim, mempersembahkan silat bersama dalam segmen awal majlis tersebut.

Ayah dan anak itu membuka langkah silat bersama sebelum bertarung secara berpasangan dalam persembahan yang penuh makna di hadapan para tetamu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg