Bagi kebanyakan orang, aplikasi Google Street View hanya alat navigasi.

Namun bagi Cik Nur Natasha Imran, 24 tahun, aplikasi itu menjadi mesin kembara masa atau ‘time machine’ yang membawanya kembali ke sisi arwah neneknya, Allahyarhamha Hajjah Asmah Sheik Hassan Ally.

Segalanya bermula secara kebetulan sewaktu Cik Natasha sedang melakukan tugas penghantaran bersama suaminya. 

Sedang beliau mencari arah melalui poskod yang diberikan, Cik Natasha menyedari bahawa lokasi tersebut adalah blok arwah neneknya di Bedok.

Didorong rasa rindu, beliau membuka fungsi Street View untuk melihat semula kawasan tersebut dan menyedari beliau boleh ‘mengundur masa’ dengan menukar tarikh.

“Saya tak sangka itu blok nenek. Bila saya tekan Street View untuk tengok kawasan tu dan sedar saya boleh tukar tarikh, saya rasa satu ketenangan yang pelik. Macam takdir gitu,” kata Cik Natasha yang mula melakukan ‘ziarah digital’ ini sejak Ogos 2022, hanya dua bulan selepas neneknya meninggal dunia pada sekitar 84 tahun.

“Bila nampak baju semua tergantung, rasa sedih dan gembira bercampur-baur. 

“Rasa seperti masa terhenti, seolah-olah nenek masih menunggu saya di rumah dan saya masih kecil lagi,” kongsi Cik Natasha lagi kepada Berita Harian (BH).

Baginya, pemandangan tingkap yang terbuka dan jemuran baju bukan sekadar rutin harian, tetapi simbol kasih sayang. 

“Kadangkala, saya berharap agar boleh ‘zoom’ atau membesarkan imej tersebut untuk mengintai ke dalam tingkap dapur atau bilik tidurnya. Saya rindu hendak melihat nenek kembali— ketika beliau masih aktif dan belum menggunakan kerusi roda; versi nenek yang saya kenali sewaktu saya masih kecil dahulu,” imbau Cik Natasha, yang dijaga Allahyarhama Hajjah Asmah sejak tiga hingga 12 tahun.

Membesar dalam keluarga yang berantakan, Cik Natasha sering mencari perlindungan di rumah neneknya setiap kali berasa sedih.

“Melihat tingkap bilik itu terbuka mengingatkan saya bagaimana saya selalu duduk di tepi katilnya, menolong nenek memasukkan benang ke dalam jarum untuk beliau menjahit,” ceritanya. 

Mengimbau kenangan bersama arwah neneknya, Cik Natasha menceritakan bahawa neneknya seorang yang aktif dan peramah.

Beliau suka keluar dan tidak pernah lekang menegur sesiapa sahaja yang ditemui di luar.

Tanpa mengira usia, jantina mahupun bangsa, arwah pasti akan menyapa dan memberi salam— satu sifat yang sangat dikagumi Cik Natasha.

Mengongsi perasaannya di TikTok, beliau memuat naik hantaran dengan tangkap layar tingkap blok arwah neneknya pada 20 Mei dengan kapsyen:

“Rasa kehilangan itu sesuatu yang aneh. Saya akan mencari blok arwah nenek di Google Maps dan menukar tarikh ke tahun-tahun sebelum dia pergi, supaya saya dapat melihat gambar-gambar ketika baju-baju masih tersidai di luar dan tingkap biliknya masih terbuka; agar saya dapat merasakan seolah-olah beliau masih ada di sana dan tiada apa yang berubah.”

Hantaran Cik Natasha di TikTok menyentuh hati ramai netizen dengan lebih 250,000 tontonan dan hampir 40,000 tanda ‘suka’.

Seorang pengguna TikTok ‘fish’ berkata: “Kesedihan itu ibarat ‘glitter’. Pada mulanya, ia ada di mana-mana... anda cuba membersihkannya, tapi suatu hari nanti, apabila anda mengalih sofa atau membuka laci lama, ia muncul kembali. Kilauan kecil yang mengingatkan anda tentang apa yang telah hilang.

“Lama-kelamaan, ia tidak lagi menyakitkan tetapi bertukar menjadi sebuah kenangan yang mendamaikan jiwa. Itulah kebenaran tentang kehilangan. Ia kekal bersama anda, tapi ia berubah rupa. Ia menjadi sebahagian daripada kisah hidup, gema lembut cinta yang tidak pernah benar-benar pergi.”

Seorang lagi pengguna, ‘Boohoo’ mengongsi pengalaman hiba melawat rumah fizikal arwah neneknya:

“Saya pun sama. Minggu lepas saya pergi ke rumah lama arwah nenek yang kini sudah kosong bersama keluarga. Kami ambil gambar di depan pintu rumahnya... memang terasa seolah-olah arwah ada bersama kami ketika itu.”

Walaupun Google Maps memberikan rasa selesa dan tenang, ia juga satu peringatan yang pahit.

Apabila Cik Natasha menukar kembali ke tarikh terkini, realiti mula menghimpit — tingkap itu kini milik orang lain.

Cik Natasha mengakui kesilapan terbesarnya adalah tidak menyimpan banyak gambar atau video kenangan bersama.

“Saya ingat jelas jenama beg dan minyak angin kegemarannya, tapi saya mula lupa bunyi suaranya, dan betapa hangat pelukannya. Saya hanya ingat ‘perasaan’ itu sahaja,” katanya yang kini menasihati orang ramai agar tidak lokek merakam memori bersama orang tua.

Melalui hantaran tersebut, Cik Natasha ingin menyampaikan pesanan bahawa setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk menangani kesedihan.

“Jangan rasa pelik kalau cara kita berduka tidak sama seperti dalam filem. Ada hari saya menangis, ada hari saya ketawa dan bekerja seperti biasa. Anda tidak bersendirian,” katanya.