Seorang wanita yang menjadi sasaran spekulasi tular di media sosial telah tampil menafikan dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan isu peletakan jawatan mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Menerusi satu hantaran Facebook pada 27 Julai, wanita berkenaan, Cik Rasidah Caudal, menegaskan bahawa beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang terus menyebarkan fitnah dan tuduhan palsu berhubung perkara itu.

Cik Rasidah mengeluarkan hantaran itu selepas penularan satu video di wadah TikTok oleh pengguna ‘Nasz Rafz’ yang memaparkan gambar serta akaun media sosial beliau, yang mendakwanya sebagai individu yang terlibat dalam isu berkenaan.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini.

“Satu-satunya interaksi saya dengan beliau (Dr Faishal) adalah semasa dua acara kecergasan di Kelab Masyarakat (CC) Kampung Ubi yang dianjurkan oleh WEC (Jawatankuasa Eksekutif Wanita) CC Kembangan,” jelas beliau dalam hantarannya.

Pada 27 Julai, Cik Rasidah Caudal memuat naik hantaran di Facebook dan Instagram bagi menafikan dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan peletakan jawatan Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Pada 27 Julai, Cik Rasidah Caudal memuat naik hantaran di Facebook dan Instagram bagi menafikan dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan peletakan jawatan Dr Muhammad Faishal Ibrahim. - Foto INSTAGRAM RASIDAH CAUDAL

Bercakap kepada Berita Harian (BH), Cik Rasidah berkata beliau kini berada di Perancis bersama keluarganya untuk menguruskan perpindahan anak perempuannya yang bakal melanjutkan pengajian di negara itu.

“Saya rasa sangat sedih apabila melihat tuduhan yang telah dilemparkan terhadap saya,” katanya kepada BH.

Dalam hantarannya itu, Cik Rasidah turut menggesa warganet agar menghentikan penyebaran yang tidak berasas, serta mencabar pihak yang membuat tuduhan supaya mengemukakan bukti yang sahih.

“Saya memohon agar mereka yang membuat hantaran atau meninggalkan komen berhubung tuduhan palsu ini menghentikan perbuatan tersebut, atau mengemukakan bukti yang nyata bagi menyokong dakwaan kononnya saya mempunyai kaitan dengan Dr Faishal.

“Bukti yang benar dan sahih, bukannya yang direka-reka. Sekurang-kurangnya, mereka yang menyebarkan khabar angin tanpa asas ini perlu mempunyai keberanian untuk mengemukakan bukti,” tulis beliau dalam hantarannya.

Selain itu, Cik Rasidah mengingatkan orang ramai bahawa penyebaran maklumat palsu adalah satu kesalahan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma) dan beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa yang menyebarkan tuduhan palsu itu.

“Menggunakan nama samaran ketika meninggalkan komen atau memuat naik kandungan tidak menjadikan anda tidak dapat dikesan, dan juga tidak melindungi anda daripada tindakan undang-undang,” ujarnya lagi.

Beliau menambah bahawa penyebaran khabar angin dan tuduhan palsu mempunyai kesan sebenar terhadap kehidupan seseorang dan menyifatkan perbuatan sedemikian “amat tidak bertanggungjawab.”

Sebelum ini, kenyataan rasmi berhubung peletakan jawatan Dr Faishal menyatakan bahawa Pejabat Perdana Menteri (PMO) telah menerima e-mel daripada seorang wanita mengenai interaksinya dengan mantan menteri tersebut.

Walau bagaimanapun, pihak berkuasa tidak pernah mendedahkan atau mengesahkan sebarang identiti individu yang terlibat.

Menyusuli penafian Cik Rasidah itu, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, menggesa orang ramai supaya berhenti menyebarkan dakwaan yang tidak disahkan di media sosial.

Dalam hantaran Facebooknya pada 27 Julai, Encik Zaqy berkata Cik Rasidah telah dikenal pasti secara salah apabila gambar dan identitinya disebarkan di media sosial, sekali gus mendedahkannya kepada tuduhan palsu serta komen kesat.

Mantan Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Encik Amrin Amin, berkata spekulasi di media sosial hanya akan mengakibatkan lebih ramai individu tidak bersalah menjadi mangsa.

Dalam hantaran Facebook beliau pada 27 Julai, Encik Amrin berkata “spekulasi mempunyai cara tersendiri untuk mewujudkan mangsa baharu.”

“Fakta yang diperlukan untuk memastikan kebertanggungjawapan kepada orang ramai sudah pun diketahui.

“Apa yang masih belum diketahui pula sebahagian besarnya hanyalah perkara yang memenuhi rasa ingin tahu peribadi,” ujarnya.

Menurut beliau, kehidupan sebagai tokoh awam sememangnya tidak mudah dan keadaan itu tidak seharusnya diburukkan lagi dengan mengheret lebih ramai individu ke dalam isu berkenaan.

“Barangkali tindakan yang paling wajar ketika ini adalah memberi ruang kepada semua pihak yang terbabit untuk melalui proses pemulihan,” tambahnya.