Nahas di Chinatown: Ibu mangsa masih dirawat di SGH, Kedutaan Indonesia bantu keluarga
Nahas di Chinatown: Ibu mangsa masih dirawat di SGH, Kedutaan Indonesia bantu keluarga
Ibu kepada kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang maut dalam kemalangan di kawasan Chinatown pada 6 Februari kini ditempatkan di unit rawatan separa rapi (HDU) di Hospital Besar Singapura (SGH), kata jurucakap Kedutaan Indonesia.
Meskipun Cik Raisha Anindra Pascasiswi, 31 tahun, masih dirawat di HDU, pihak Kedutaan Indonesia memberitahu Berita Harian (BH) pada 10 Februari bahawa mereka sedang mendampingi keluarga tersebut bagi memastikan Cik Raisha mendapat rawatan yang diperlukan.
“Pihak Kedutaan berharap dapat melihat keadaannya bertambah baik, namun kami faham bahawa ia mungkin mengambil masa untuk melihat perkembangan positif.
“Kedutaan Indonesia akan terus mendampingi dan membantu keluarga serta memastikan ibu tersebut mendapat penjagaan yang diperlukan sepanjang masanya di Singapura,” kata jurucakap itu, menjawab pertanyaan BH.
“Pihak Kedutaan dalam hubungan rapat bersama ahli keluarga mangsa dan telah bertemu mereka secara bersemuka bagi memastikan kesihatan serta kebajikan mereka terjaga sepanjang mereka menemani mangsa yang masih dirawat di HDU,” tambah jurucakap itu.
Anggota keluarga memaklumkan keadaan Cik Raisha stabil, meskipun beliau mengalami pendarahan dalaman serta patah tulang rusuk dan pinggul.
Jurucakap itu juga berkata mereka sedang bekerja rapat dengan Pasukan Polis Singapura (SPF) bagi memantau perkembangan siasatan kemalangan tersebut.
“Pihak Kedutaan akan membantu menguruskan bantuan guaman sekiranya pihak keluarga memerlukannya.
“Pihak Kedutaan sentiasa akur dan menghormati segala proses perundangan yang berkuat kuasa di Singapura,” ujarnya.
Mengenai beban kos perubatan di hospital dan urusan logistik keluarga di sini, pihak Kedutaan menjelaskan bahawa perbincangan lanjut masih dijalankan bersama keluarga mangsa.
Ini termasuk meneliti bentuk bantuan kewangan, tuntutan insurans, serta bantuan praktikal buat suami mangsa, Encik Ashar Ardianto, seperti urusan tempat tinggal dan pelanjutan visa bagi membolehkan beliau terus berada di sisi isterinya sepanjang tempoh rawatan di Singapura.
Kemalangan maut itu berlaku pada pagi, 6 Februari, di South Bridge Road, berhampiran Kuil Buddha Tooth Relic, kata SPF.
Menurut polis, mereka menerima panggilan kecemasan sekitar 11.50 pagi melibatkan sebuah kereta dan dua pejalan kaki – seorang wanita berusia 31 tahun dan anak perempuannya yang berusia enam tahun.
Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH) dalam keadaan sedar, kata Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Namun, kanak-kanak tersebut kemudian disahkan meninggal dunia akibat cedera parah, manakala ibunya mengalami kecederaan serius.

