Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Ibu titipan’ lindungi, hampir 250 kucing sejak 2017

Jul 27, 2025 | 5:30 AM
kucing, pengasuh, haiwan peliharaan, Nur Farizah Mat Arsat
Sejak menjadi ‘ibu titipan’ bagi kucing pada 2017, Cik Nur Farizah Mat Arsat, kini telah menjaga 246 kucing dengan penuh kasih sayang sebelum menyerahkan kucing itu kepada keluarga bertanggungjawab yang bersedia memberikan perlindungan sewajarnya. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Setiap pagi, Cik Nur Farizah Mat Arsat, memulakan harinya seperti kebanyakan ibu lain, menyiapkan dua anak kecilnya untuk ke sekolah dan kemudian menggalas tanggungjawab sebagai seorang guru prasekolah.

Namun, sebaik sahaja pulang dari kerja pada waktu malam, beliau menyambung pula peranannya sebagai ibu kepada ‘anak-anak’ titipannya – anak kucing dibuang yang berada di bawah jagaannya buat sementara menanti rumah kekal.

Sejak mula bergiat aktif melaksanakan tanggungjawab itu pada 2017, ibu kepada anak berusia sembilan dan lima tahun itu telah menjaga 246 ekor kucing setakat ini, semuanya dicatat dan direkod dalam buku notanya sebagai kenangan.

Cik Farizah, 37 tahun, memberikan perlindungan dan rawatan kepada kucing-kucing itu di flat maisonette eksekutifnya di Teck Whye demi memastikan mereka dalam keadaan sihat sebelum diambil keluarga yang penyayang pada masa depan.

“Rutin harian termasuk memberi makan dan susu kepada kucing untuk pastikan mereka membesar dengan sihat.

“Bagi memastikan mereka membesar dengan betul, saya akan guna penimbang berat badan untuk mengukur dan mendokumentasikan berat badan mereka setiap hari.

“Setakat ini, saya mengasuh kira-kira tiga kucing lebih kurang setiap dua minggu.

“Sebelum saya asuh kucing baru, saya pastikan kucing (yang berada) di rumah saya sudah diambil orang lain,” jelasnya.

Selain memberi makanan dan susu kepada kucing yang dijaganya buat sementara itu, Cik Farizah juga mengukur berat badan mereka setiap hari bagi memastikan mereka membesar dengan betul.
Selain memberi makanan dan susu kepada kucing yang dijaganya buat sementara itu, Cik Farizah juga mengukur berat badan mereka setiap hari bagi memastikan mereka membesar dengan betul. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Cik Farizah mula menjadi ‘ibu titipan’ buat kucing lapan tahun lalu semasa menjadi suri rumah selepas melahirkan anak sulungnya.

Menurutnya, rasa bosan dan keinginan untuk berbakti mendorongnya berbuat demikian.

Akaun di Instagram seperti @kittenxlady dan @myfosterkittens yang diikutinya turut memberinya inspirasi untuk mula menjaga kucing yang dibuang.

Kucing yang Cik Farizah jaga kebanyakannya adalah anak kucing dibuang yang diselamatkan oleh kenalan penyelamat kucing dari tapak pembinaan, kawasan perindustrian atau dormitori pekerja asing.

Kucing tersebut kemudian dihantar ke rumah Cik Farizah untuk dijaga.

Dengan bantuan pembantu rumah dan suaminya, Cik Farizah menguruskan jadual penyusuan dan penjagaan dengan penuh teliti, termasuk bangun malam beberapa kali sekitar 1 dan 4 pagi untuk menyusukan anak kucing tersebut.

Mengulas tentang proses pengambilan kucing, Cik Farizah berkata ia bukan semudah seperti menyerahkan mereka kepada sesiapa yang berminat.

Sebaik sahaja anak kucing sihat dan cukup umur, beliau akan kongsikan di media sosial di bawah akaun ‘Fosterkitties SG’ untuk menarik minat pengikutnya yang ingin mengambil kucing tersebut.

Kucing-kucing dibuang yang Cik Farizah jaga biasanya anak kucing yang ditemui di tapak pembinaan, kawasan perindustrian atau dormitori pekerja asing.
Kucing-kucing dibuang yang Cik Farizah jaga biasanya anak kucing yang ditemui di tapak pembinaan, kawasan perindustrian atau dormitori pekerja asing. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

“Saya prihatin dalam memilih individu atau keluarga yang minat.

“Mereka perlu tunjukkan bukti yang rumah mereka telah dipasang jaring keselamatan dan benar-benar bersedia dari segi kewangan, serta komitmen jangka panjang.

“Saya akan membuat panggilan video bersama mereka atau meminta mereka kirimkan gambar rumah sebelum saya buat keputusan.

“Saya tidak akan teragak-agak untuk menolak mana-mana calon jika saya tidak puas hati dengan keadaan rumah mereka,” kata Cik Farizah.

Baginya, kucing bukan mainan atau hiasan, tetapi nyawa yang memerlukan kasih sayang, penjagaan dan perlindungan, sama seperti anak manusia.

Namun, Cik Farizah mengakui menjadi ‘ibu titipan’ kucing bukan tanpa cabarannya.

Sepanjang pengalamannya, Cik Farizah telah beberapa kali berdepan dengan kematian anak kucing yang telah ditinggalkan atau tidak diterima ibu mereka.

“Peluang mereka untuk hidup sangat tipis kerana mereka tidak dapat susu pertama atau kolostrum daripada ibu mereka.

“Seperti bayi manusia, kolostrum penting kerana mengandungi antibodi yang bantu sistem imun,” kongsinya.

Beliau juga pernah berhenti buat seketika daripada menjadi ‘ibu titipan’ bagi kucing pada 2024 apabila mengalami tekanan emosi mendalam setelah tiga daripada lima anak kucingnya mati dalam tempoh singkat.

“Itulah kali pertama lebih separuh daripada anak kucing dalam satu kumpulan mati.

“Saya betul-betul murung. Saya asyik tertanya-tanya apa silap saya, dan apa lagi saya boleh lakukan untuk selamatkan mereka,” dedah Cik Farizah.

Setiap bulan, Cik Farizah akan membelanjakan kira-kira $300 sebulan untuk membeli makanan, susu, selimut dan mainan untuk kucing di bawah jagaannya.
Setiap bulan, Cik Farizah akan membelanjakan kira-kira $300 sebulan untuk membeli makanan, susu, selimut dan mainan untuk kucing di bawah jagaannya. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Dari segi kewangan, beliau membelanjakan sekitar $300 sebulan untuk membeli keperluan kucing, termasuk makanan, susu, selimut, mainan, serta rawatan perubatan jika perlu.

Menurutnya, antara jangkitan atau penyakit yang dialami kucing yang dijaga termasuk jangkitan saluran kencing (UTI), jangkitan pernafasan, selesema dan cirit-birit.

“Pernah ada satu kucing dimasukkan ke hospital haiwan selama dua malam. Ia menelan kos sebanyak $5,300, jadi saya terpaksa kumpul dana dan bayar kira-kira $800 dari kocek saya sendiri,” akui Cik Farizah.

Untuk meringankan beban kewangannya, Cik Farizah mengenakan bayaran pengambilan $50 bagi setiap kucing, yang akan digunakan untuk menampung kos menjaga kucing lain.

Meskipun proses menjadi ‘ibu titipan’ kucing memerlukan banyak masa dan tenaga, Cik Farizah tidak pernah menyesal kerana ia umpama ‘makanan jiwa’ yang memberinya kepuasan tidak ternilai.

“Ia beri saya kepuasan, lebih-lebih lagi apabila saya asuh kucing yang baru lahir.

“Hati saya tersentuh melihat proses mereka membesar, daripada mata mereka masih tertutup, sehinggalah mata mereka terbuka dan mampu makan sendiri.

“Tiada apa yang lebih menggembirakan daripada melihat mereka membesar dengan sihat dan bahagia di bawah pengasuhan saya,” ungkapnya.

“Ia beri saya kepuasan, lebih-lebih lagi apabila saya asuh kucing yang baru lahir. Hati saya tersentuh melihat proses mereka membesar, daripada mata mereka masih tertutup, sehinggalah mata mereka terbuka dan mampu makan sendiri. Tiada apa yang lebih menggembirakan daripada melihat mereka membesar dengan sihat dan bahagia di bawah pengasuhan saya.”
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg