Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

SEMPADAN DARAT M'SIA-SG DIBUKA SEMULA

Alu-alu M'sia sasar 2j pelancong, tapi perlu disiplin patuh SOP

Apr 01, 2022 | 05:30 AM



MULAI hari ini, sempadan Malaysia dibuka semula kepada warganegara asing, selepas ditutup lebih dua tahun akibat pendemik Covid-19.



Bagi memenuhi kehendak ekonomi, kerajaan Malaysia membuka semula seluas-luasnya pintu masuk negara ini kepada pelancong luar yang selama ini menyumbang pendapatan ketiga tertinggi kepada negara, sambil mengimbanginya dengan keperluan menjaga kepentingan kesihatan awam.



Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pihaknya menyasarkan kedatangan dua juta pelancong tahun ini, dengan pendapatan melebihi RM6.8 bilion ($2.19 bilion).



Bagi mencapai sasaran itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) telah merangka pelbagai strategi, termasuk memberi fokus pada penganjuran mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (Mice).



Bagi penggiat industri pelancongan, yang agak tenat sepanjang dua tahun lepas, pembukaan sempadan yang ditunggu-tunggu selama ini umpama menyambut kedatangan Aidilfitri, apabila pintu rumah dibuka luas menerima tetamu.



Menurut presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC), Encik Uzaidi Udanis, penggiat industri berasa inilah masanya kerajaan sangat serius dalam membuka sempadan negara dengan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi demi menerima pelancong dunia, sekali gus memantapkan industri pelancongan.



Encik Uzaidi berkata sasaran Motac adalah satu jumlah realistik kerana negara jiran Thailand menarik kira-kira 480,000 pelancong dunia dalam enam bulan dan tahun ini menyasarkan 10 juta pelancong.



"Kita sendiri melalui program pelancongan Gelembung Langkawi dan percutian terpilih berjaya menarik lebih 80,000 pelancong, jadi angka dua juta amat realistik.



"Bagi kami dalam industri pelancongan, dua juta, iaitu 160,000 pelacong sebulan atau 5,000 pelancong sehari, memang tidak cukup kalau diikutkan. Kita mahu lebih daripada itu kerana kita ada 5,000 ejen pelancongan, 6,000 bas serta kemudahan pelancongan lain," katanya.



Profesor Madya Dr Shamsul Bahari Shamsuddin, seorang pakar pengurusan risiko kesihatan persekitaran dan pekerjaan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), berkata Malaysia sebenarnya belum memasuki fasa endemik Covid-19. Ia dalam proses peralihan ke fasa itu mulai esok.



Beliau berkata dua entiti penting perlu diberi perhatian.



"Pertama, disiplin dalam pematuhan SOP. Ini kita perlu tingkatkan lagi. Disiplin dalam pematuhan SOP perlu ditingkatkan lagi dari masa ke masa, tidak kiralah baik dalam fasa pandemik mahupun endemik.



"Kedua, setiap individu perlu melengkapi diri mereka dengan imuniti diri melalui vaksinasi lengkap, iaitu dua dos vaksin dan dos penggalak.



"Jadi apabila kita patuh SOP meningkatkan imuniti diri dengan melengkapkan vaksinasi, ia menjadi pelengkap kepada setiap individu untuk memasuki peralihan praendemik ini," kata beliau.



Bagaimanapun, mengimbangi isu kesihatan dengan isu ekonomi bukan satu perkara mudah, terutama apabila sempadan dibuka semula dengan membenarkan orang luar masuk dan rakyat bebas keluar sempadan.



Encik Uzaidi berkata model perniagaan industri pelancongan adalah berkaitan pergerakan manusia. Apabila pandemik berlaku, manusia tidak boleh bergerak dari titik A ke titik B. Ini secara semula jadi menjadi masalah besar kepada industri itu.



Sebagai 20 destinasi pelancong popular dunia, Malaysia, katanya, perlu mengambil langkah holistik untuk mengimbangi keperluan menjaga kepentingan kesihatan dan membantu syarikat kecil dan rakyatnya meneruskan kehidupan semasa fasa peralihan.



"Kita tahu virus Covid-19 amat dinamik, sentiasa berubah-ubah dan tidak akan lupus di dunia bagi jangka masa lama. Oleh itu, kita kena hidup bersama virus ini.



"Maka kita tidak boleh terlalu ekstrem hingga satu pihak tak akan dapat manfat. Kita kena seimbang. Jadi bila sempadan dibuka semula, masing-masing harus jaga diri dan jangan lupa jaga SOP. Jangan teruja apabila nak keluar negara dan kita lalai patuh SOP yang telah ditetapkan. Iii semua memerlukan masa panjang untuk kita hadapi," kata Encik Uzaidi.



Profesor Shamsul Bahari berkata rakyat tidak harus terlalu bergantung pada SOP kerajaan, kerana apabila fasa peralihan bermula, semua pihak perlu dengan sendiri meningkatkan disiplin dalam menjalani aktiviti sosial dan ekonomi harian, yang akan menjadi perkara biasa.



"Semua aktiviti sosial dan ekonomi perlu ada perancangan dan dibuat dengan penuh ketelitian, terutama memberi keutamaan pada aspek kesihatan awam. Semasa ini tumpuan pada pemakaian pelitup, mencuci tangan dan penjarakan fizikal masih boleh diteruskan kerana kita belum dalam tempoh penamat, masih peralihan," ujarnya.



Profesor Shamsul Bahari menambah bahawa dengan kelonggaran SOP mulai hari ini, semua pihak tidak perlu terburu-buru menganjurkan pelbagai majlis. Sekiranya sesuatu majlis itu penting diadakan, ia perlu dilaksana dengan perancangan baik dan penuh berdisiplin.



Begitu juga, penyeragaman SOP perlu diselaras di semua pintu masuk negara semasa fasa peralihan bagi mengelakkan kekeliruan atau kekecohan dalam kalangan tetamu yang ingin masuk ke Malaysia, ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >