Cuaca dingin, banjir kilat, penerbangan tertunda dan perniagaan perlahan – semua ini berlaku selama tiga hari bermula 10 Januari dek fenomena lonjakan monsun yang mengakibatkan hujan lebat berserta angin kencang ke seluruh pulau.
Suhu pada pagi 11 Januari jatuh serendah 21.6 darjah Celsius, hampir menyamai suhu terendah 21.4 Celsius yang dicatatkan pada 2024.
Sebahagian Jalan Seaview di Mountbatten turut dilanda banjir kilat pada malam 10 Januari, lapor The Straits Times.
Singapura sedang berada dalam fasa hujan monsun timur laut, yang biasanya berlangsung dari Disember hingga Januari
Lonjakan monsun yang mengakibatkan hujan berterusan adalah fenomena biasa pada musim ini.
Rencana ini bakal menjelaskan faktor-faktor yang menyumbang kepada hujan lebat yang berlarutan ini.
Ketika monsun timur laut, angin biasanya bertiup dari arah timur laut ke barat daya.
Lonjakan monsun merujuk kepada tiupan angin sejuk yang datang dari Asia Tengah.
Apabila kawasan di utara seperti Siberia mengalami cuaca sejuk melampau pada musim sejuk, udara sejuk tersebut kadangkala akan bergerak ke arah selatan menuju ke Laut China Selatan dan meniup ke kawasan tropika.
Udara tersebut kemudian menjadi lebih panas dan menyerap kelembapan, menyebabkan pembentukan awan hujan tebal.
Ini membawa kepada peningkatan hujan di kawasan berhampiran Khatulistiwa.
Hujan sederhana hingga lebat berserta ribut petir mungkin berlaku di kawasan seperti Singapura, Malaysia dan Vietnam.
Hujan boleh berterusan – seperti yang berlaku di Singapura sejak 10 Januari – dari dua hingga beberapa hari.
Menurut agensi air negara, PUB, lonjakan monsun yang bermula sejak 10 Januari dijangka berterusan hingga 13 Januari.
Kadar hujan yang turun pada 10 dan 11 Januari telah melebihi purata hujan bulanan Singapura bagi Januari.
Changi mencatatkan kadar hujan tertinggi iaitu 255.2 milimeter dalam tempoh dua hari tersebut, melebihi purata jumlah hujan bulanan Singapura sebanyak 222.4 milimeter pada Januari.
Secara purata, Singapura mengalami dua hingga empat lonjakan monsun setiap tahun, menurut laman web Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS), dan setiap fasa boleh berterusan antara satu dengan lima hari.
Lonjakan monsun berlaku lebih kerap semasa fasa monsun timur laut dan memuncak antara November dengan Januari.
Selain monsun timur laut, pola peredaran cuaca berskala besar dan tempatan juga mempengaruhi hujan di sini.
Salah satu penyumbang utama adalah fenomena iklim La Nina, yang membawa keadaan lebih lembap dan dingin ke rantau ini.
Pada 2 Januari, MSS berkata mereka sedang memantau keadaan La Nina di Singapura, yang dijangka kembali dalam masa terdekat hingga Mac.
“Jika fenomena La Nina berlaku, Februari dan Mac – yang biasanya lebih kering – mungkin akan mengalami peningkatan dan kemungkinan tempoh hujan yang lebih lama,” kata Profesor Matthias Roth, pakar kaji iklim bandar di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Profesor Roth menambah bahawa tempoh La Nina kali ini dijangka lebih singkat, berakhir antara Mac dengan Mei.
Sebelum ini, La Nina telah berlangsung selama tiga tahun, antara 2020 dengan 2023, dan menyumbang kepada catatan hujan rekod di Singapura – termasuk kadar hujan paling tinggi dalam tempoh empat dekad pada Oktober 2022.
Pola cuaca tempatan seperti badai Sumatera juga menyumbang kepada penurunan hujan.
Garis ribut petir ini terbentuk pada waktu malam di Sumatera atau Selat Melaka, yang kemudiannya bergerak ke arah timur untuk membawa hujan lebat dan angin kencang ke Singapura dan Semenanjung Malaysia.
Sebab sukar ramal cuaca di kawasan tropika
Ramalan cuaca di kawasan tropika, termasuk Singapura, adalah sangat mencabar.
Ini kerana proses perubahan cuaca, contohnya ribut petir, biasanya berlaku dengan cepat dan reda dalam hanya satu atau dua jam.
Perubahan cuaca dalam tempoh singkat ini, ditambah dengan beberapa faktor lain, menyebabkan model ramalan yang mensimulasikan keadaan atmosfera di kawasan tropika ini menjadi kurang tepat, berbanding ramalan yang dilakukan di kawasan dengan iklim sederhana.
Tiupan angin di kawasan tropika juga membuat proses mengesan dan meramal pergerakan ribut lebih sukar.
Namun, PUB telah mengeluarkan amaran awal pada 9 Januari bahawa banjir kilat mungkin berlaku akibat hujan berpanjangan sepanjang hujung minggu.
PUB turut menasihati orang ramai agar merancang perjalanan mereka dan mengelak kawasan yang mudah dilanda banjir.
Apakah yang perlu dilakukan ketika banjir?
Untuk mengelak daripada terperangkap dalam banjir dan hujan lebat yang turun secara tiba-tiba, orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui aplikasi mudah alih, myENV, dan saluran Telegram Amaran Banjir PUB (PUB Flood Alerts).
Sebagai langkah berjaga-jaga, elakkan berada di kawasan banjir.
Bagi kenderaan yang terkandas dalam banjir, elakkan menekan brek untuk memastikan kelajuan enjin kekal tinggi dan stabil.
Pejalan kaki harus bergerak ke tempat yang lebih tinggi kerana air banjir mungkin naik dengan cepat.
Jika terdapat risiko banjir, rumah dan perniagaan di kawasan yang mudah dilanda banjir disarankan memasang penghadang banjir yang disediakan oleh pihak berkuasa.
Penduduk dan pemilik perniagaan perlu mengalihkan barang-barang penting ke tempat yang lebih tinggi dan mengelakkan daripada menyentuh suis elektrik atau peralatan jika mereka terperangkap dalam air.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg