Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PUB: Hujan berterusan 10,11 Jan lebihi purata bulanan S’pura

Hujan berpanjangan dijangka hingga 13 Jan
Jan 12, 2025 | 11:56 AM
Pasukan Respons Pantas PUB dikerahkan ke Jalan Seaview pada 10 Januari untuk membantu penduduk.
Pasukan Respons Pantas PUB dikerahkan ke Jalan Seaview pada 10 Januari untuk membantu penduduk. - Foto FACEBOOK PUB

Kadar hujan yang turun di negara ini dalam tempoh dua hari – 10 dan 11 Januari – telah melebihi purata hujan bulanan bagi Januari.

Changi telah mencatat kadar hujan tertinggi sebanyak 255.2 milimeter (mm) dalam dua hari tersebut, melebihi purata hujan bulanan Singapura iaitu 222.4 mm pada Januari, menurut kenyataan agensi air negara PUB pada 12 Januari.

Dengan hujan tanpa henti itu, rancangan hujung minggu ramai terjejas – termasuk rancangan perjalanan.

Lebih 50 penerbangan Singapore Airlines (SIA) sepanjang dua hari itu telah ditangguhkan atau waktu penerbangannya ditukar akibat cuaca buruk itu, kata jurucakap syarikat penerbangan nasional itu.

Dalam lamannya, Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) mengeluarkan nasihat yang dikemas kini pada 9 pagi 12 Januari bahawa Singapura sedang mengalami cuaca dingin dan hujan akibat lonjakan monsun.

“Hujan meluas yang berterusan, kadangkala lebat dan berserta guruh, dijangka berlangsung hingga 13 Januari.

“Suhu minimum harian boleh jatuh serendah 22 darjah Celsius di beberapa tempat semasa tempoh ini,” kata MSS.

Lonjakan monsun – peningkatan mendadak kelajuan angin yang menyebabkan udara sejuk bergerak ke selatan di Laut China Selatan – akan turut menyebabkan banjir kilat berlaku secara tiba-tiba dan tertumpu di beberapa kawasan.

Hujan pada 10 dan 11 Januari menyebabkan PUB mengeluarkan amaran risiko banjir di kawasan seperti Jalan Seaview, berhampiran pantai East Coast; persimpangan Mountbatten Road dan Tanjong Katong Road South; serta Jalan Pokok Serunai, di kawasan Bedok.

Hujan lebat di kawasan itu menyebabkan paras air tinggi di dalam longkang dan longkang besar seperti yang berlaku di Jalan Seaview, lapor The Straits Times (ST).

Hujan lebat yang berlaku serentak dengan air pasang setinggi 2.8 meter menyebabkan air melimpah buat sementara waktu di longkang besar dan longkang di kawasan sekitar Jalan Seaview, seterusnya mengakibatkan banjir di sepanjang jalan itu pada malam 10 Januari.

Mengulas perkara tersebut, PUB berkata: 

“Pasukan Respons Pantas PUB telah dikerahkan ke lokasi berisiko banjir, termasuk ke Jalan Seaview, untuk membantu penduduk. 

“Mereka bantu mengepam air dari jalan raya yang dinaiki air dan mengagihkan alat perlindungan banjir kepada penduduk.”

Agensi tersebut menambah mereka menyedari terdapat beberapa video yang tersebar dalam talian yang menunjukkan kejadian banjir pada November dan Disember 2024.

“Kami menggesa orang awam agar tidak berkongsi atau memuat naik video ini kerana ia boleh menyebabkan kekeliruan atau kerisauan yang tidak diingini,” ujar PUB.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini tentang cuaca dan banjir kilat melalui saluran rasmi seperti aplikasi mudah alih myENV dan saluran Telegram Amaran Banjir PUB (PUB Flood Alerts).

Panduan keselamatan banjir juga boleh didapati di laman web PUB.

Dek cuaca hujan tidak henti pada hujung minggu itu, ramai yang terpaksa membatalkan rancangan mereka mengadakan kegiatan di luar dan beralih ke aktiviti lain di dalam bangunan.

Antara mereka ialah keluarga Encik Jamalludin Adnan, 33 tahun, yang “tak jadi” pergi tepi pantai bersama isteri dan anaknya.

“Memang rancangannya nak ke tepi pantai kerana anak kami dah sebut nak buat ‘sandcastle’. Jadi kita rancang untuk ke pantai East Coast, tetapi memandangkan ramalan cuaca hujan berterusan, tak jadilah. Kita ke taman permainan dalam bangunan saja,” kata beliau yang bekerja di makmal ujian makanan.

Sementara itu, Pusat Sukan Laut Aloha di Taman East Coast – tempat bagi penggemar sukan air melakukan kegiatan seperti dayung berdiri (stand-up paddle) dan luncur angin – telah menyaksikan 10 pembatalan tempahan pada kedua-dua 11 dan 12 Januari, kata pengurus besar, Encik Loh Fock Jin.

“Kami tiada perniagaan sama sekali. Ia musim yang sangat luar biasa – monsun timur laut sepatutnya memasuki musim kering sekitar masa ini dan kita sepatutnya mendapat angin pasat yang kuat.

“Keadaan semakin sukar diramalkan,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg