Sajian knafeh atau lebih dikenali di sini sebagai kunafa ialah sejenis pencuci mulut Timur Tengah yang dipercayai wujud sejak berabad yang lalu di Nablus, sebuah bandar di Palestin.
Ia dihasilkan menggunakan keju tempatan yang bernama Nabulsi.
Malah, bandar Nablus pernah memegang Rekod Dunia Guinness kerana menghasilkan kunafa terbesar sepanjang 74 meter dan selebar 1.05 meter.
Bagaimanapun beberapa bahan rujukan pula menyatakan bahawa sajian itu boleh didapati sejak Dinasti Umayyah sebagai hidangan sahur yang mengenyangkan di bandar Damsyik, Syria, manakala ada sebahagian yang lain mengatakan ia berasal dari Mesir sejak abad ke-15.
Sejak berkurun lamanya, kunafa juga terdapat di Lebanon, Turkey, Greece dan sejauh negara-negara Balkan di tenggara Eropah yang turut menikmati manisan istimewa ini.
Walaupun pendapat berbeza tentang asal-usulnya, apa yang jelas ialah kunafa merupakan pencuci mulut yang enak dimakan dan sering disajikan di pelbagai majlis keramaian sebagai meraikan acara penting seperti hari lahir, majlis perkahwinan dan sebagainya.
Menurut pakar, terdapat dua jenis kunafa – kunafa na’meh yang lembut dan kunafa khish’neh atau lebih kasar dan cara membuatnya juga berbeza mengikut wilayah dan peredaran zaman.
Cef Ammar Al-Ali, 55 tahun, duta restoran Tarboush bertempat di Village Hotel yang berasal dari Nablus, Palestin, dan kini bermastautin di Malaysia, mengatakan kunafa adalah hidangan turun-temurun yang menjadi kebanggaan masyarakat di sana.
Menurutnya, kunafa yang dihasilkan daripada helaian doh yang halus dipanggil kataifi, diwarnakan dengan safron dan disalut minyak sapi sebelum dibakar di atas loyang.
Lemak daripada minyak sapi mengimbangi rasa masin daripada sejenis keju yang telah dicuci beberapa kali sebelum dijadikan inti.
Setelah dibakar hingga rangup, kunafa itu disira pula dengan air gula yang telah diharumkan dengan air mawar atau esen oren, sebelum kacang pistasio ditabur di atasnya.
“Kunafa diturunkan dari satu generasi ke satu generasi yang lain, daripada seorang bapa kepada anaknya. Dan begitulah keasliannya dikekalkan sejak beratus tahun dulu,” kata Cef Ammar, pakar dalam makanan Timur Tengah.
Beliau antara mereka yang berusaha mengekalkan kunafa dalam rupa bentuk dan rasa aslinya supaya budaya dan tradisi tidak tercemar dan dapat diteruskan ke generasi akan datang.
“Saya faham ada permintaan pasaran untuk jenis kunafa yang bermacam perisa, saya tidak marah. Cuma saya rasa kecewa dan berharap kita dapat kekalkan kunafa yang asli dan memelihara keasliannya,” katanya melalui panggilan jauh dengan Berita Minggu (BM).
Cik Shahirah Abdul Rahim, 35 tahun, seorang peniaga dari rumah @MakanFix yang menjual kunafa asli sejak 2021, berkata kunafa asli akan tetap mendapat sambutan walaupun sudah ada banyak pembaharuan.
“Ada yang cadangkan agar menyalut kunafa jualan saya dengan coklat atau sebagainya tetapi saya fikir itu bukan produk asal... kunafa asli mempunyai rasa yang sangat berlainan.
“Kita tidak boleh memuaskan selera setiap orang tetapi saya percaya kunafa asli tetap ada pelanggannya,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg