Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 8,000 pekerja platform pilih caruman CPF lebih tinggi sebelum akta berkuat kuasa

MOM, NTUC galak pekerja tambah sumbangan walau undang-undang baru hanya wajibkan mulai 1 Jan 2025
Dec 17, 2024 | 1:42 PM
Akta Pekerja Platform baru yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2025 akan memastikan pekerja platform mendapat perlindungan dan perwakilan sewajarnya sebagaimana yang dinikmati pekerja biasa hari ini.
Akta Pekerja Platform baru yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2025 akan memastikan pekerja platform mendapat perlindungan dan perwakilan sewajarnya sebagaimana yang dinikmati pekerja biasa hari ini. - Foto ZAOBAO

Lebih 8,000 pekerja platform memilih membuat caruman tambahan ke dalam Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka hingga Disember 2024, sebelum Akta Pekerja Platform baru berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025.

Undang-undang itu akan memastikan pekerja platform mendapat perlindungan dan perwakilan sewajarnya, sebagaimana yang dinikmati pekerja biasa sekarang.

Ia memastikan pekerja platform mempunyai simpanan mencukupi bagi perumahan dan persaraan melalui caruman CPF dan mendapat pampasan kewangan sekiranya mengalami kecederaan semasa bekerja.

Selain itu, ia membolehkan Persatuan Pekerja Platform (PWA) dibentuk untuk mewakili mereka dalam rundingan bersama syarikat platform.

Di bawah undang-undang itu, caruman CPF mandatori bagi pekerja platform lahir pada atau selepas 1 Januari 1995.

Namun, mereka yang lebih berusia boleh memilih untuk membuat sumbangan secara sukarela.

Caruman CPF itu akan dilakukan secara bertahap-tahap dari 2025 hingga 2029.

Sepanjang lima tahun itu, kadar caruman untuk pekerja platform akan meningkat hingga 2.5 mata peratusan daripada pendapatan bersih pekerja setahun, manakala kadar bagi syarikat platform akan meningkat hingga 3.5 mata peratusan setahun.

Ini akan membolehkan caruman mereka akhirnya sejajar dengan apa yang disumbang oleh pekerja dan majikan hari ini.

Pada masa ini, pekerja platform dikehendaki membuat sumbangan 8 hingga 10.5 peratus pendapatan mereka kepada akaun MediSave.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam satu kenyataan pada 17 Disember berkata pihaknya bekerja rapat dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) demi menggalak pekerja platform membuat pilihan awal untuk menyumbang kepada CPF.

Ini supaya mereka mempunyai landasan lebih lama untuk mendapat manfaat daripada faedah kompaun dan merangsang simpanan CPF mereka, yang boleh digunakan untuk keperluan perumahan dan persaraan.

Tiada tarikh akhir bagi pekerja memilih membuat caruman CPF, namun keputusan untuk ikut serta tidak boleh ditarik balik.

Pekerja platform bergaji rendah yang memilih membuat caruman tambahan kepada CPF boleh menerima bantuan di bawah Skim Sokongan Peralihan CPF Pekerja Platform (PCTS) dipertingkat.

Skim itu akan membiayai 100 peratus kenaikan kadar caruman CPF bagi Akaun Biasa dan Akaun Khas dalam tahun pertama langkah itu dilaksanakan pada 2025.

“Pekerja platform lebih berusia yang tidak memilih untuk membuat caruman tambahan akan terus perlu membuat sumbangan MediSave CPF, dan tidak akan menerima bahagian caruman CPF oleh syarikat platform.

“Syarikat platform akan memotong caruman CPF daripada pendapatan pekerja platform dan memberikannya kepada Lembaga CPF setiap bulan bagi semua pekerja platform, termasuk sumbangan MediSave bagi mereka yang tidak ikut serta,” kata MOM.

Syarikat platform juga harus menyediakan insurans pampasan kecederaan di tempat kerja pada tahap perlindungan yang sama seperti pekerja biasa di bawah Akta Pampasan Kecederaan di Tempat Kerja (Wica).

Pekerja platform yang mengalami kecederaan semasa melakukan tugas mengambil atau menghantar barangan boleh memaklumkan kejadian itu kepada syarikat platform mereka untuk membuat tuntutan.

MOM berkata mereka dan Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH) sedang bekerjasama dengan industri bagi memperkenalkan Tata Amalan Diluluskan (ACOP) bagi Khidmat Platform.

ACOP akan memberikan bimbingan praktikal kepada syarikat dan pekerja platform untuk memenuhi tanggungjawab mereka di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja.

“ACOP akan mengambil kira ciri-ciri unik kerja platform untuk menangani risiko yang dihadapi pekerja penghantaran dan pemandu platform, seperti pengurusan keletihan dan beban berlebihan,” kata MOM.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg