Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

CERPEN

Belum Tiba Masanya

Jun 11, 2023 | 05:30 AM



Cuaca petang yang panas terbawa-bawa sampai ke 10 malam. Bahangnya masih terasa dan membuat dirinya lesu dan rimas. Tapi kelesuan dan keadaan yang merimaskan, walaupun terpasang kipas angin siling, digagahkan dan disenangkan pula dengan kegemarannya, lebih tepat ketagihannya, setiap malam begitu.

Tapi sayang sekali, kegemaran Ismail itu bagaikan singkat usianya. Baru sebentar tadi, di ruang tamu flat tiga biliknya, dia didatangi suatu lembaga berkepala botak dan lut sinar seperti tanduk lembu. Lembaga serba hitam itu datang dari arah dinding berhampiran pintu masuk rumahnya. Dua biji mata lembaga itu merah dan bersinar-sinar seperti mata harimau yang terlihat semacam api yang mencerlang. Apabila ia menyeringai, terserlah taring.

Anehnya, ekornya bukan berupa harimau tapi tegang macam ekor serigala pula. Lidahnya pula terkelir-jelir seperti ular senduk berbisa. Ismail cuba memberanikan diri untuk melawan lembaga itu. Tapi jelas, dia yang berbadan agak sasa bukan lawannya. Seluruh tubuhnya kaku dan dan tidak dapat bergerak sedikit pun. Seperti tergam sana sini. Dia tercegat kebodoh-bodohan. Kebodoh-bodohan berulit ketakutan bercambah apabila dia melihat telinga lembaga asing itu dicapangkan.

Dengus nafasnya keras. Ekornya pula terkodek-kodek, tegang dan tercacak. Sekali gus, semuanya termasuk matanya yang mencelang garang dan bagaikan mahu makan layaknya, serta bulu-bulu tubuh yang lebat macam beruang tegak berdiri, memperlihatkan semacam kegarangan yang memuncak.

Dengan terburu-buru, lembaga busuk itu bersuara garau, “Jangan kamu membuang masa dengan mengajukan banyak persoalan tentang aku, Ismail, dan apa gerangan aku di sini. Itu tak lagi penting. Aku adalah jelmaan hidup kamu yang bobrok ketika kamu masih hidup sebelum ini. Tentu sekali, aku akan sentiasa menemani kamu dalam perjalanan kamu ke Negeri Abadi!”

Ismail tertanya-tanya adakah dia sebenarnya sudah menjadi arwah. Terbaring kaku menyayat kalbu. Terlihat kulit-kulit kacang bersepah di atas meja tepi sofa, tempat jasadnya terbujur layu. Tergolek beberapa biji botol minuman keras dan tertumpah sisa-sisa air berbuih yang masam. Masih menitis-nitis satu-satu dari muncung botol.

Di lantai, sebiji gelas pecah dek terhempas tadi ketika dadanya tiba-tiba meminta untuk didemah-demah menahan kesakitan yang amat sangat. Matanya terus terbeliak memandang siling dan mulutnya yang berbuih masih terisi kacang yang belum sempat dikunyah lumat. Banyak darah mengalir dari dahi luasnya. Akibat terhantuk bucu meja kaca ketika terjatuh tadi.

Ismail tertanya-tanya lagi adakah nyawa dia dalam usia yang begitu muda – 40 tahun, benar-benar terpadam di situ dan tidak sempat diselamatkan? Ke mana adiknya, Murad, yang lima tahun lebih muda daripada dia? Adakah Murad begitu asyik dengan temanitanya di luar, sampai tak ingat langsung hendak pulang.

Sedangkan dia mengerang kesakitan dan botol-botol jatuh tergolek ke lantai, bagaikan menyindirnya betapa berakhir sudah sebuah kegemaran atau ketagihan itu, tidak dipedulikan. Sampai tidak dapat memberikan bantuan secepat mungkin? Sampai dia didatangi makhluk asing lagi hodoh yang akan menemaninya ke satu destinasi bernama Negeri Abadi bagaikan tidak dipedulikan?

Ismail terasa dirinya sedang bertarung hebat untuk terus kekal menarik nafas dan jangan sampai terlepas tarikan itu. Itu saja yang dialaminya saat demi saat. Itu saja yang diharapkannya. Harap agar janganlah dia benar-benar dan muktamad menjadi arwah.

Dalam kekalutan itu, dia terasa tangannya bagaikan dipiuh, dipaksa mengikut perintah mahkluk asing yang menjengkelkan hatinya. Kali ini dia merasakan tubuhnya dapat digerakkan walaupun sakit dipiuh kasar. Takut-takut tapi berani-berani pula dia bersuara dengan nada bergetar, “Ke mana kau hendak bawa aku, ha?”

“Ikut saja.”

“Ke mana?”

“Bukankah sudah aku katakan yang aku akan sentiasa menemanimu sampai ke Negeri Abadi?”

“Tentu teramat panas?”

Sambil mentertawakan Ismail berbalas, “Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula.”

“Adakah kawasan yang dingin pula di Negeri Abadi?”

“Pasti ada, tapi yang dingin lagi menyamankan bukan untuk orang kojol jahat macam kamu.”

Pada tahap ini, Ismail terasa yang panas itu sudah tentulah satu bentuk hukuman yang mencerminkan hidupnya yang busuk dan kotor. Kerana makhluk itu ada menekankan tadi bahawa ia adalah jelmaan hidupnya. Oh, tidak! Penyesalan itu membuat lidahnya tergeliat. Mulutnya herot. Dan otaknya genjot. Tapi sempat pula ditegakkan dengan harapan yang nafasnya bertarung untuk tidak terus dilepaskan tarikan nafasnya.

Ismail dapat merasakan mereka berdua membelah malam yang gelap dan hitam macam arang. Rambut keriting agak lebat belah tengahnya mengersol ditiup angin. Angin yang berhembus dengan nadanya yang serak dan sendu, menggeliat dalam kesuraman malam yang membahang hangat lagi meresahkan. Aneh.

Lagi satu keanehan, dia rasa ringan macam kapas dan seperti terbang lagaknya. Penerbangan itu tidak sukar kerana di tengah-tengah kesuraman, ada semacam jalur cahaya yang memudahkan mereka ke suatu tempat yang dituju makhluk itu. “Adakah semua yang bernama arwah mengalami kejadian yang semuanya menjadi tidak betul?” Kekalutannya menebal.

Udara lembap malam itu pula membuntingi bau hanyir. Pastilah bau itu keluar dari tubuh makhluk asing lagi hodoh itu. “Dan juga diriku sendiri,” fikir Ismail sekalut-kalutnya. Dia bagaikan hendak muntah. Loya sekali dibuatnya.

Kebodoh-bodohnya bercambah apabila makhluk itu mengiringinya hingga sampai di sebuah stesen kereta api yang terpasang lampu. Suasana tetap terasa panas walaupun ada angin berkesiul yang tidak mengilhamkan. Siulan itu bagaikan bernada sinis, “Rasakan! Rasakan! Sampai di sana nanti, baru kau tahu padahnya menjadi orang yang menjijikkan.”

Sebuah kereta api bergerabak enam, seperti kereta api MRT, sedang menanti. Terdapat satu barisan panjang. Penumpang kelihatan memasuki kereta api itu, satu per satu. Kebodoh-bodohan Ismail terus bercambah tidak terkata apabila terlihat setiap penumpang diiringi makhluk pengiring masing-masing sama seperti dirinya sendiri. Manakan tidak, kerana makhluk itu semuanya nampak sama. Seiras betul. Dari hujung rambut sampai ke hujung kaki!

Stesen itu ternyata berbau busuk dan hanyir satu macam. Bahang panas pula memburukkan lagi keadaan. Angin yang menerpa galak tidak mampu mengusir kebusukan yang melata. Dia berbisik sendirian, “Kalau angin itu bagaikan resah, begitu juga diriku sendiri.”

Mereka semua tidak berani mengadu, kerana mereka sedar bahawa setiap mereka adalah punca kebusukan itu. Sudahnya, tiba giliran Ismail dengan pengiringnya memasuki kereta api itu. Tangkai hati Ismail bagaikan hendak terputus. ‘Adakah sah dan muktamad aku akan ke sana juga dengan nama arwah Ismail? Tapi aku masih terasa menarik nafas panjang-panjang dan tidak pula terlepas tarikan itu.’ Fikiran Ismail semakin berserabut.

Apabila semua penumpang sudah mengisi tempat duduk masing-masing (di sebelah mereka lembaga pengiring peribadi), seperti dalam kereta api MRT, lampu yang samar-samar tetap terpasang, tapi cukup terang untuk semua penumpang dan pengiring peribadi melihat antara satu sama lain. Tapi semua mereka tidak memandang lama-lama, tapi hanya menekur lantai, seolah-olah melayani diri sendiri yang terus kebodoh-bodohan dan berulit ketakutan yang memuncak.

Kereta api mula bergerak. Agak laju dan mengusik kalbu. Di tengah-tengah kekalutan fikiran, Ismail baru perasan bahawa semua penumpang berkain putih tak berjahit yang membungkusi tubuh mereka. Hanya dia seorang sahaja yang masih berpakaian biasa di rumah – berseluar panjang gelap dan berbaju-T biru muda!

‘Hei, keanehan apa ini semua?’ suara dalam dirinya bergema, bersahut-sahutan dari satu relung ke satu relung dalam hatinya. Lembaga pengiring di sebelahnya hanya menyeringaikan giginya yang panjang lagi tajam penuh sinis, seolah-olah tahu apa yang berbuku di dalam hati Ismail.

Meskipun masih dirantai ketakutan dan keadaan yang tidak menentu penuh ketidaksenangan, terdengar dalam dirinya semacam tarikan keras terus menghela-hela nafas. Nafas yang tak boleh dinoktahi. Dinoktahi samalah seperti ucapan ‘selamat tinggal’ yang muktamad. Berat amat dirasakannya saat demi saat yang sarat kalut. Dia benar-benar kehilangan punca. Mengelirukan dan meragukan.

Kekeliruan dan keraguan itu diusik pula dengan semacam suara parau yang mengimbau ke semua gerabak kereta api. Semua yang terpaksa memasang telinga mendengar semacam kumpulan kata-kata yang panjang macam kereta api itu juga. Antara kata-kata yang sebenarnya benar tapi terasa pahit dan memedihkan Ismail, dan yang amat kena tepat serta tak dapat menafikan terkesanannya adalah:

“Beribadat tak kenal usia, darjat dan pangkat.” Tentang kenyataan ini, Ismail amat merasakan dia tak kenal langsung. Sejadahnya yang amat lama tersorok di dalam stor bagaikan sudah hancing dikencing syaitan.

“Ada bezanya antara membantu orang dan menggunakan orang.” Tentang ini, Ismail merasakan dia memang telah membantu banyak orang tapi sebenarnya menggunakan orang lain untuk kepentingan dirinya sendiri. Yang terakhir, temanya sama tapi cerita dan wataknya lain – sebelum dia berada dalam kerata api ini, dia pernah membantu janda beranak tiga yang kesempitan wang, tapi di sebalik bantuan itu, dia gunakan peluang itu menidurinya dan membalas dendam terhadap isterinya yang bermain kayu tiga dengan suami janda itu.

“Tinggikan kata-katamu, bukan suara. Bukankah hujan yang menyuburkan bunga, bukan guruh?” Tentang ini, dia merasakan betapa dia anak derhaka. Tergamak mengeluarkan kata-kata kesat lebat ekoran teguran ibunya yang meminta dia menghentikan tabiat suka berjudi dan meminum minuman keras. Lebih dahsyat lagi, teguran ibunya agar jangan berkahwin dengan Farhana, perempuan tak senonoh itu, dia menolak sebulat-bulatnya. Kata-kata keras berbalas menjadikan dia seorang anak yang ganas.

Habis pinggan mangkuk melayang sebelum terhempas berderai ke lantai. Habis pintu bilik pecah kerana tumbukan melepaskan geram. Kerana seorang perempuan dia juga habis. Habis perilakunya. Habis kesopanannya. Sampai ibu tuanya berkecil hati, merajuk, gusar tersiat hati, kecewa (semuanya dalam satu), lalu mengambil keputusan untuk tinggal saja dengan kawan baiknya.

Nasib baik ibunya tak sampai menyumpah dia. Ibunya tak sampai hati, tetap jaga lidah, kalau tidak dia juga boleh menjadi batu seperti kisah si Tanggang. Bukankah sumpah seorang ibu amat mustajab?

“Tidak cukup berkahwin dengan seseorang atas nama cinta saja. Kahwinlah dengan seseorang yang kau benar-benar hormati.” Tentang ini, dia amat merasakan juga, baik dia mahupun isterinya yang bagaikan bunga dedap (yang dalam proses perceraian, dan sekali gus malu kerana melawan teguran ibu dulu) terlibat pekat keterbabasannya.

“Selamat tinggal adalah hanya bagi mereka yang bercinta atau berkasih sayang dengan mata mereka saja. Kerana bagi mereka yang bercinta atau berkasih sayang dengan hati dan jiwa raga, tidak ada kata bernama perpisahan.” Tentang ini, dia merasakan juga kebenarannya begitu menebal dan mendalam maknanya. Dengan isteri, dia berpisah. Dengan ibu, dia juga berpisah. Dan lebih terkesan, dengan dirinya sendiri, kalau benar dia sudah menjadi arwah, rohnya sudah berpisah dengan jasadnya tanpa bertaubat terlebih dahulu.

“Tidak ada sesiapa yang dilahirkan jahat ataupun berdosa. Diri sendiri yang jadi jahat dan berdosa.” Tentang ini, dia merasakan juga dia lebih dahsyat daripada jahat. Dia zalim kepada orang lain dan zalim juga terhadap diri sendiri! Dan dia telah mencederakan dirinya sendiri dengan kezaliman.

“Para penumpang yang bakal sampai ke Negeri Abadi (kawasan panas ganas). Kata-kata tadi adalah amat benar tapi amat memedihkan dan membisakan kalian. Pedih, kerana kalian daif dan mengingkarinya. Bisa, kerana sudah terlambat kerana tak sempat bertaubat sebelum jalan kembali ke sana nanti. Selamat disambut hangat oleh Negeri Abadi (kawasan panas ganas).”

Diam. Hanya diriuhkan tangisan penyesalan yang dikatakan sudah terlambat. Kereta api terus bergerak laju. Bunyi peluit mencecah kesunyian malam yang semakin larut. Ada penumpang seperti terus bergayutan, mengimbangi badan supaya tidak terbalik ketika kereta api melingkar mematuhi laluan rel.

Di tengah-tengah deruan kereta api yang terus melingkar mematuhi laluan rel, kereta api terhenti di sebuah hentian bernama Hentian Kesedaran. Semua tercengang. Disuntik semacam keanehan.

Hanya seorang saja penumpang dibenarkan keluar yang ditemani lembaga pengiring. Dia tidak lain selain Ismail! Mulut Ismail terlopong. Kebodoh-bodohan lama belum habis, yang baru pula timbul. Ismail keluar bersama lembaga pengiringnya. Tapi kali ini tangannya tidak lagi dipiuh kasar seperti sebelumnya. Penumpang-penumpang lain hanya dapat meluruhkan pandangan ke arah Ismail, diam seribu bahasa. Hanya diriuhkan pelbagai bunga persoalan yang berkembang dalam diri.

Pintu kereta api tertutup semula. Kemudian bergerak, meneruskan perjalanan ke Negeri Abadi.

Lembaga pengiring membawanya, jauh ke satu tempat. Di situ, lembaga asing itu sempat bersuara, “Ada sedikit ralat. Jarang penumpang dihentikan di hentian bernama Hentian Kesedaran. Kamu adalah antara yang jarang-jarang itu. Nampaknya kamu diberikan peluang kedua. Aku tinggalkan kamu di sini dan yang selebihnya kamu akan tahu sendiri.”

Dengan kata-kata itu lembaga asing itu sirna sekelip mata, dalam bentuk asap lalu ditelan angin malam yang merangkak tua.

Ismail terus terpinga-pinga. Tercegat di sebuah unit jagaan rapi Hospital Kebangkitan Semula. Dan terasa semangatnya meresap masuk ke dalam jasadnya yang terbaring lesu atas ranjang bertilam dan bercadar putih bersih. Sebaik saja dia memasuki ke dalam tubuhnya, skala di skrin monitor menunjukkan degupan jantungnya kembali normal dan tidak lagi membimbangkan sekumpulan doktor dan jururawat walaupun masih terasa lemah.

Tahulah dia bahawa dia diberikan rawatan cemas di dalam sebuah rumah sakit. Jarum suntikan yang berisi ubat bius spina dimasukkan ke dalam tulang belakangnya membuat dia mulai diam.

Masa berlalu. Terasa begitu lama meskipun dalam jangka.

Waktu yang singkat yang mencetuskan pengalaman payau. Resahnya kian lemah. Sakitnya beransur reda. Kelopak matanya masih tertutup rapat dan kian rapat. Namun, telinga dan pancainderanya mampu mendengar dan merasakan bagaimana dirinya diperlakukan sebegitu rupa. Bila dia tersedar, dia yang dahinya berbalut kain putih, terlihat sebilah jarum terpacak ke dalam daging kura tangan kanannya.

Jarum itu bersambung dengan hos plastik putih lut sinar. Benda tajam itu diperkukuhkan dengan plaster bersalut kain tebal warna darah ikan dan hos plastik itu bersambung dengan botol plastik putih sepanjang sepuluh inci tersangkut pada satu penyangkut besi yang didirikan di sisi katil. Dan dia menjadi ralik memerhatikan titis-titis air yang menitik dari botol ke dalam hos itu. Terasa berdenyut sakit pada bahagian daging punggung sebelah kanan.

Dia terlihat adiknya bercakap perlahan kepada ibunya yang merah matanya. Tapi cukup kuat didengarinya, “Nasib baik saya balik awal tadi ketika abang terbaring di kaki sofa dalam keadaan tak sedarkan diri. Kepalanya berdarah. Banyak darah mengalir keluar. Tangannya pula memegang kejap dadanya. Dan saya cepat-cepat berikan dia CPR. Kemudian cepat-cepat juga panggil ambulans. Setiap saat amat kritikal.”

“Syukur!” suara seorang ibu yang pernah dikasari terucap lega. Lega ibu mencetuskan keterharuan seorang anak bernama Ismail yang suka amat mengail kezaliman. Air matanya menjujuh.

Malam semakin merangkak jauh. Telaga fikirannya pula tergali dalam. Dalam sekali untuk menikmati air kesedaran dan keinsafan dalam bentuk sebuah taubat pekat. Pekat berulit nazar. Nazar mengusir nanar dan mampu pula menenggelamkan onar agar tidak timbul-timbul lagi sebelum jalan kembali ke negeri-Nya. Negeri Abadi yang dingin, menyamankan dan mengilhamkan. Bukannya yang panas membakar lagi merimaskan.

Jangan hanya mendengar kerana kau akan lupa.

Melihatlah dengan mata hati dan kau akan ingat.

Melakukan apa yang benar dan kau akan faham.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >