Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sepi hidup sendiri, namun syukur mampu berdikari

Lebih ramai warga emas S’pura hidup sebatang kara
Nov 17, 2024 | 5:30 AM
Encik Abdul Rahim Osman meraba-raba dalam kegelapan dan terpaksa berdikari sejak kehilangan penglihatannya.
Encik Abdul Rahim Osman meraba-raba dalam kegelapan dan terpaksa berdikari sejak kehilangan penglihatannya. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Di bawah sebuah kolong blok di Chai Chee terdapat sekumpulan warga emas wanita sedang berkumpul.

Ada di antaranya duduk di kerusi roda.

Hampir kesemuanya tinggal di blok yang sama.

Ada yang tinggal sendiri dan ada yang tinggal bersama keluarga.

Di tingkat empat di blok yang sama, Encik Abdul Rahim Osman, 67 tahun, meraba-raba membuka pintu flat sewanya.

Rumah itu kelihatan suram kerana lampu tidak dinyalakan.

Tidak ada banyak perkakas di rumah yang didiaminya seorang diri – memudahkannya yang tidak lagi dapat melihat untuk bergerak.

Perkakas asas seperti katil bujang, meja makan, sebuah almari baju dan sofa mengisi ruang yang lapang itu. 

Pada usia mudanya, Encik Rahim pernah bekerja di Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) sebagai jurutera, dari 1976 hingga 1985.

Beliau menganggap dirinya masih aktif dan kuat, namun realiti hidup bersendirian dengan kehilangan daya penglihatan adalah perjalanan hari tuanya yang tidak dijangka.

“Saya lebih suka buta. Biarlah buta, jadi saya tak dapat tengok benda tak baik,” katanya sambil ketawa. 

Encik Rahim telah kehilangan isterinya lebih tiga tahun lalu.

Beliau mempunyai tiga anak lelaki yang sudah dewasa, namun nasib menentukan beliau terpaksa tinggal sendirian pada hari tuanya.

“Saya tidak salahkan sesiapa. Dulu saya keluar bekerja dan peranan saya sebagai bapa hanya memberi nafkah, mungkin pengorbanan saya tidak dirasa,” kata Encik Rahim yang mengaku selisih faham menjadi punca keretakan hubungannya dengan anak-anak.

“Sekarang, saya sering seorang diri, tidak ada teman berbual,” tambah beliau.

Bagi Encik Rahim, biarpun dunianya gelap, beliau masih bersikap positif. Namun kesunyian melanda apabila beliau bersendirian.

“Saya rindukan keluarga saya, sanak saudara yang sudah lama tidak berjumpa. Mungkin mereka tidak tahu saya menetap di sini sekarang,” ujarnya.

Sebelum ini, Encik Rahim pernah tinggal di rumah tumpangan orang tua, namun tidak betah duduk di situ.

Beliau kemudian mendapatkan rumah sewa dengan bantuan pekerja sosial dan pertubuhan amal. 

“Asalkan semua benda di tempat yang sama, saya dapat mengurus diri saya sendiri. Saya pernah jatuh sekali di tandas, tetapi sekarang saya lebih berhati-hati,” kata Encik Rahim.

Cik Kamsiah Othman, 70 tahun, juga kini tinggal seorang diri setelah pemergian arwah suaminya pada 2023.

Lantaran mengalami kekangan fizikal dengan kakinya kurang kuat dan perlu menggunakan alat peranti mobiliti, beliau tidak mahu mengganggu atau membebankan anak-anaknya.

Cik Kamsiah Othman juga kini tinggal seorang diri setelah pemergian arwah suaminya pada 2023. 
Cik Kamsiah Othman juga kini tinggal seorang diri setelah pemergian arwah suaminya pada 2023.  - Foto BM oleh KHALID BABA

Di Singapura, jumlah warga emas tinggal bersendirian seperti Encik Rahim dan Cik Kamsiah semakin meningkat.

Ia dijangkakan bahawa 122,000 warga tua akan tinggal bersendirian menjelang 2030 berbanding 79,000 warga tua berusia 65 tahun ke atas pada 2023 – peningkatan 54 peratus.

Warga emas yang hidup bersendirian berisiko menghadapi pengasingan sosial dan ini boleh menjejas kesihatan fizikal dan emosi mereka, kata pakar geriatrik, Dr Nur Farhan Alami.

Beliau berkata golongan ini boleh disokong untuk hidup berdikari dalam persekitaran yang lengkap dan menyokong.

“Mewujudkan persekitaran dengan warga emas dapat kekal aktif, baik dari segi fizikal dan sosial, akan membolehkan mereka mengekalkan rasa berdikari sambil mengurangkan rasa pengasingan,” kata Dr Nur Farhan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg