Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Cabar-mencabar, termasuk dalam Umno, sedang bahang PRU kian dirasa

Sekumpulan ketua akar umbi parti desak PM Ismail adakan pilihan raya pada 31 Julai atau hadapi undi tidak yakin
Jun 18, 2022 | 05:30 AM



BAHANG polemik dan percaturan politik Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Malaysia semakin terasa.



Pentadbiran Parlimen dilaporkan telah mengarahkan Ahli Parlimen (AP) mengemas kini maklumat dan butir diri - satu langkah yang dilihat sebagai pertanda Parlimen akan dibubarkan dalam masa terdekat.



Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah meminta ramai pegawai daerah menghadiri taklimat pengurusan PRU.



Kepimpinan Umno kini tertekan oleh desakan penyokong akar umbi agar segera membubarkan Parlimen dan mengumumkan PRU15 secepat mungkin.



Ini berikutan kemenangan besar Barisan Nasional (BN), gabungan yang diketuai Umno, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini.



Tetapi kepimpinan tertinggi Umno sendiri kelihatan berbelah bahagi.



Pengamat politik mengatakan terdapat dua kumpulan berbeza pendapat dalam Umno - kluster mahkamah dan kluster menteri.



Kluster mahkamah ialah penyokong tegar presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan mantan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang kededuanya sedang menghadapi tuduhan di mahkamah. Mereka mahu PRU15 diadakan segera.



Kluster menteri pula berpihak pada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub. Mereka berasa negara belum bersedia menghadapi PRU kerana belum pulih sepenuhnya daripada pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.



Mereka mahu kerajaan terus memerintah hingga tamat penggal Parlimen ke-14 pada Julai 2023.



Pendirian mereka disokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS), yang turut membentuk kerajaan persekutuan.



Pembangkang Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) juga mahu PRU15 tidak diadakan hingga tahun depan supaya mereka mempunyai lebih banyak masa bagi membuat persediaan.



Ini ekoran kekalahan besar yang mereka alami di PRN Melaka dan Johor.



Lantaran itu, sering kedengaran adegan cabar-mencabar antara kedua belah pihak sejak kebelakangan ini.



Yang terbaru, sekumpulan pemimpin akar umbi Umno mencabar Datuk Ismail membubarkan Parlimen hujung bulan ini. Jika beliau enggan berbuat demikian, mereka mendakwa Umno akan menarik balik sokongannya kepada beliau melalui undi tidak yakin bagi memaksa pembubaran.



Mereka mendesak agar PRU15 tergempar diadakan pada 31 Julai ini.



Bagaimanapun, ini tidak mungkin berlaku kerana wujudnya Perjanjian Persefahaman (MOU) antara kerajaan persekutuan dan gagasan parti pembangkang Pakatan Harapan (PH) bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum 31 Julai.



Ini bermakna tarikh paling awal Parlimen boleh dibubarkan ialah pada Ogos. Perdana Menteri perlu memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum PRU boleh diumumkan.



Namun, langkah membubarkan Parlimen tidak semudah itu, apatah lagi dengan perbalahan antara dua kluster utama dalam Umno itu.



Ramai penganalisis politik berpendapat keputusan bergantung pada pendirian dan budi bicara Datuk Ismail.



Beliau kelihatan dalam dilema kerana belum pernah dalam sejarah Malaysia seorang Perdana Menteri daripada Umno tidak menjawat kedudukan sebagai presiden parti.



Datuk Ismail adalah naib presiden Umno - jawatan ketiga terpenting dalam parti. Presiden parti ialah Datuk Zahid sementara timbalan presiden Datuk Seri Mohamad Hasan.



Mengikut etika parti, Datuk Ismail harus patuh pada arahan presiden, yang mahu Parlimen dibubarkan segera. Tetapi sebagai Perdana Menteri, beliau mempunyai kuasa dan kedudukan untuk membuat keputusan berdasarkan pertimbangan sendiri.



Kehadiran sejumlah besar AP Bersatu dan PAS dalam kerajaan persekutuan juga merumitkan keadaan. Kerajaan akan tumbang jika Bersatu dan PAS menarik balik sokongan mereka pada perdana menteri dan Umno.



Minggu lalu, tersebar berita mengatakan presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mempunyai sokongan 119 daripada 222 AP untuk membentuk kerajaan.



Ini mendorong Datuk Najib mencabar beliau menekan butang membubarkan Parlimen.



"Jika sudah ada sokongan 119 ahli parlimen, maka dia patut tekan butang dengan segera. Malu apa abah kau?" kata Datuk Najib menerusi kiriman di Facebook.



Bagaimanapun, sebelum Parlimen dibubar, kerajaan perlu menghuraikan masalah budaya lompat parti yang semakin berleluasa sejak 2018.



Lompat parti menjadi punca tumbangnya kerajaan persekutuan PH yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mac 2020, apabila Bersatu dan 11 pemimpin PKR berpaling tadah.



Kerajaan negeri Melaka dan Johor juga dijatuhkan angkara AP yang melompat ke parti lawan.



Contoh terbaru ialah tindakan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, yang melompat daripada Bersatu ke Parti Bangsa Malaysia (PBM).



Sebelum ini, beliau dan 11 pemimpin melompat daripada PKR.



Parlimen dijangka bersidang pada 18 Julai untuk membahaskan rang undang-undang antilompat parti sebelum PRU15 diumumkan.




"Bagaimanapun, ini (pilihan raya umum pada 31 Julai) tidak mungkin berlaku kerana wujudnya Perjanjian Persefahaman (MOU) antara kerajaan persekutuan dan gagasan parti pembangkang Pakatan Harapan (PH) bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum 31 Julai. Ini bermakna tarikh paling awal Parlimen boleh dibubarkan ialah pada Ogos."
- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >