Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: NOSTALGIA

Caldecott Hill: Tempat jatuh lagi dikenang

Feb 22, 2022 | 05:30 AM



MULA dengan hilangnya tempat lahir dan dibesarkan. Namun tapaknya masih kekal walau sudah tersergam berdirinya bangunan yang sekarang ini dikenal sebagai City Plaza.



Saya teruja untuk mencoretkan kenangan silam ini apabila melihat tajuk berita di akhbar ini yang berbunyi, "Pusat penyiaran, Caldecott Hill dalam kenangan." (gambar)



Nostalgia, hati kecil saya berkata Bukit Caldecott ini meninggalkan banyak kenangan yang bersejarah dalam kerjaya hidup saya.



Tahun 1971.



Di situlah saya mula mengenal apa yang sekarang dipanggil dunia penyiaran yang ketika itu dikenal sebagai stesen Radio Televisyen Singapura (RTS).



Kami hanya dikenal sebagai juruhebah atau penerbit rancangan, bukan deejay seperti sekarang.



Siaran radio ketika itu juga hanya sampai 12 malam, tidak 24 jam seperti sekarang ini.



Pejabat kami di bangunan lama RTS.



Tidak ada 'air-conditioner'. Cukup dengan kipas elektrik saja.



Di situlah tempat kami bertunggu tangga, masing-masing dengan mesin taip (typewriter), mencurahkan ilham untuk disampaikan kepada pendengar.



Ketika itu, pendengar radio rata-rata pendengar setia (kita tak panggil peminat setia).



Mereka rajin mengirim surat kepada kami menyarankan pelbagai perkara. Kami tetap melayani permintaan mereka.



Kalau mereka ditemu ramah dan perbualan kita disiarkan, waah mereka sangat berasa bangga.



Apabila RTS dijadikan badan berkanun dan dikenal dengan nama Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC) kami mula berpindah ke bangunan baru.



Bangunan yang didirikan bersebelahan bangunan RTS yang lama itu serba moden. Studio baru, besar dan lengkap dengan peralatan rakaman dan penyiaran yang canggih.



Kami melalui era peralihan tapi masih terbatas. Typewriter masih digunakan.



Lagu-lagu yang diputarkan adalah dari piring hitam.



Rancangan-rancangan dirakamkan ke dalam pita (tape), seperti rancangan sandiwara radio, pentas radio, bangsawan.



Mengeditnya, gunakan gunting untuk memotong pita dan disambung pakai tape. Kadang terputus semasa siaran. Aduh, kelam-kabut sebentar dibuatnya.



Rancangan muzik juga ada yang dirakam dan ada juga yang disiarkan secara langsung.



Antara rancangan yang paling popular ketika itu ialah Lagu-lagu Permintaan.



Kalau hari minggu pagi hampir setiap rumah orang Melayu akan kedengaran suara radio rancangan Pentas Radio terbitan Hashim Yusof.



Malam Jumaat, tak ketinggalan orang mengikuti rancangan Kemusykilan Agama bersama Allahyarham Ustaz Haji Daud Ali.



Banyak lagi rancangan-rancangan yang menjadi buah bibir pendengar.



Sedikit demi sedikit teknologi baru diperkenalkan.



Kalau dulunya kami keluar membuat temu ramah dengan membawa perakam seberat hampir 20 kilogram - jenama Nagra, disandang ke bahu.



Pendek kata, jauh berbeza dengan apa yang ada sekarang.



Namun kami tetap berbangga akan mutu rancangan dan persembahan yang kami tampilkan.



Siaran kami sampai ke selatan Malaysia dan kepulauan Indonesia yang berdekatan.



Kami turut melakukan kunjungan ke tempat-tempat tersebut untuk menemui "peminat-peminat" kami.



Bak kata pepatah, sekali air bah, sekali pantai berubah. Itulah hakikat peredaran zaman.



Sekarang, sekali lagi saya menyaksikan satu lagi kehilangan dan yang tinggal hanyalah kenangan.



Kata orang, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Tempat kita mengasah bakat.



Tempat kami mencari rezeki.



Bagai kebanyakan kakitangan radio dan televisyen ketika itu, pusat penyiaran ini tidak ubah seperti rumah kedua kami.



Bulan Ramadan, Hari Raya, Hari Kebangsaan, Pilihan Raya Umum adalah masa-masa paling sibuk buat kami.



Setiap kali menjelang Hari Raya apabila takbir Hari Raya berkumandang, teringat bagaimana kami bersama-sama merakamkan takbir Hari Raya.



Sampai sekarang, rakaman takbir Hari Raya itu masih digunakan untuk siaran.



Yang menjadi suara utama dalam takbir itu ialah Encik Abdul Rahman Tahir dan Encik Surahman Omar.



Sementara suara latarnya adalah kesemua juruhebah laki-laki, antaranya yang saya masih ingat adalah Nordin Kassim, Mohamad Ashik, Mohd Sadik, Adnan Maswan, Ibrahim Jamil, Aziz Hanib, Bujang Jamaludin, Rashid Sulaiman, saya sendiri dan beberapa lagi.



Kami mengadakan rancangan hiburan di balai-balai rakyat, di studio kami mengadakan pelbagai rancangan untuk mendekati masyarakat seperti Pesta Puisi, Dondang Sayang, Dari Studio A.



Itulah semua yang masih kekal tersemat dalam ingatan kami.




"Bak kata pepatah, sekali air bah, sekali pantai berubah. Itulah hakikat peredaran zaman. Sekarang sekali lagi saya menyaksikan satu lagi kehilangan dan yang tinggal hanyalah kenangan. Kata orang, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Tempat kita mengasah bakat.

Tempat kami mencari rezeki. Bagai kebanyakan kakitangan radio dan televisyen ketika itu, pusat penyiaran ini tidak ubah seperti rumah kedua kami."

- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >