VANCOUVER: Penerimaannya optimistik dan mesejnya mudah: Langkah membenarkan penggunaan dadah boleh selamatkan nyawa.
Orang yang menggunakan atau membawa sejumlah kecil dadah secara terbuka tidak lagi ditangkap di British Columbia, kawasan tumpuan krisis dadah opiat Canada seperti yang diumumkan dua tahun lalu.
Opiat ialah ubat atau narkotik bagi menahan sakit berlebihan tetapi boleh menyebabkan ketagihan.
Percubaan itu dianggap berani, walau di wilayah yang terkenal sebagai perintis mengenai dasar-dasar ketagihan, hinggakan seorang pegawai kesihatan awam berkata beliau tidak percaya hari itu telah tiba.
Tetapi penyahjenayahan yang diperkenalkan sebagai cara untuk mengurangkan krisis opiat sebaliknya dipersalahkan kerana memburukkan masalah itu.
Pengambilan dadah secara terbuka di jalan-jalan di bandar telah menyebabkan beberapa pemimpin yang dipilih, pengkritik dan penyokong mengatakan bahawa langkah menyumbang kekacauan awam.
“Matlamat kami adalah untuk menyelamatkan nyawa,” kata pemimpin British Columbia, Encik David Eby, pada sidang akhbar baru-baru ini.
“Tetapi belas kasihan itu, keprihatinan terhadap orang yang sedang bergelut dengan masalah, tidak bermakna kita boleh buat apa sahaja. Kita masih mempunyai jangkaan tentang keselamatan.”
Pada Mei, kerajaan persekutuan, yang mengawal selia bahan terkawal, meluluskan permintaan wilayah untuk membatalkan dasar itu dan sekali lagi menjadikan penggunaan dan pemilikan dadah awam di British Columbia sebagai jenayah.
Peralihan itu berlaku tidak lama selepas percubaan serupa di Oregon berakhir pada April, berikutan undian oleh badan perundangan negeri, dan muncul semula dadah di tengah-tengah kematian ekoran penggunaan dadah berlebihan yang melambung.
Pergolakan di British Columbia ini mencerminkan perdebatan yang lebih luas tentang cara menangani krisis opiat dalam menghadapi kehilangan sokongan untuk beberapa amalan progresif bagi menanganinya.
Amalan-amalan tersebut, yang secara kolektif dikenali sebagai pengurangan bahaya, didorong strategi yang bertujuan memastikan pengguna dadah terus hidup dan bukan membuat mereka berhenti.
Perkhidmatan dalam kategori ini merangkumi khidmat tukar jarum, tapak suntikan yang selamat, pengedaran nalokson – ubat yang digunakan untuk mengatasi dos berlebihan – dan ujian bagi dadah di jalanan untuk mengenal pasti sebarang bahan berbahaya yang lain.
Kajian menunjukkan bahawa pengurangan kemudaratan berkesan dalam mencegah kematian, penularan penyakit dan lawatan kecemasan hospital.
Tempat yang menawarkan sokongan kepada pengguna dadah banyak terdapat di Downtown Eastside Vancouver – kawasan kejiranan yang paling teruk dilanda krisis opiat di Canada.
Encik Brett Thompson berkata beliau mengambil masa 17 tahun untuk melepaskan diri daripada cengkaman heroin, hasil khidmat bantuan yang diperolehinya di Downtown Eastside.
Beliau pelanggan tetap di tapak suntikan dadah yang diawasi itu sehinggakan pernah satu masa, beliau mencatatkan 1,000 kali kunjungan dalam setahun kerana melawat tempat itu berulang kali dalam sehari, bagi mengelak gejala penarikan dadah.
“Jika saya telah ke sana 1,000 kali, fikirkan berapa kali lagi saya telah mengambil dadah apabila saya tidak pergi ke sana,” kata Encik Thompson, 54 tahun. “Saya gembira kerana masih hidup.”
Encik Thompson kini membuat lawatan mingguan ke pusat kesihatan yang berbeza di tengah-tengah Downtown Eastside untuk mengambil preskripsinya bagi metadon – rawatan biasa untuk gangguan penggunaan opiat.
Tapak-tapak suntikan yang selamat, bersama langkah membenarkan dadah, adalah antara langkah pengurangan bahaya yang telah dibidas oleh pengkritik yang mendakwa ia membawa kepada jenayah dan mengekalkan kitaran penyalahgunaan dadah.
Di British Columbia, pengkritik berkata wilayah itu tidak sepatutnya meneruskan langkah membenarkan dadah, tanpa turut mengukuhkan perkhidmatan lain yang diperlukan pengguna dadah seperti perumahan dan rawatan ketagihan.
“Penyahjenayahan dibiar berjalan terus tanpa pagar keselamatan,” kata Encik Jess Ketchum, pengasas Save Our Streets, gabungan kumpulan rakyat dan perniagaan di British Columbia yang memberi tumpuan kepada menangani jenayah jalanan.
Ramai penduduk, tambahnya, mengadu tentang meningkatnya penggunaan dadah dalam pengangkutan awam, di kawasan berhampiran sekolah dan di pintu masuk kedai-kedai.
Pegawai wilayah mengatakan mereka tidak melihat bukti bahawa langkah tersebut telah menyebabkan lebih banyak penggunaan dadah awam, sebaliknya telah membantu mengurangkan interaksi jenayah dengan polis.
Pertuduhan memiliki dadah yang difailkan oleh polis Vancouver turun sebanyak 76 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama penyahjenayahan pada 2023, berbanding purata tahunan empat tahun sebelumnya.
Sebagai alternatif kepada pengurangan kemudaratan, sesetengah ahli politik konservatif mempromosikan rawatan berasaskan pantang dan pemulihan ketagihan, yang merangkumi perkhidmatan detoks dan kaunseling yang diselia, sebagai penyelesaian kepada penyalahgunaan dadah.
Di Alberta, yang berjiran dengan British Columbia, para pegawai telah melabur dana untuk menambah bilangan program pemulihan dan katil rawatan berasas kediaman dan mewujudkan organisasi untuk mentadbir perkhidmatan kesihatan mental dan ketagihan bagi menangani jumlah kematian berlebihan akibat dos tertinggi di wilayah itu.
Menahan diri ialah satu-satunya alternatif yang berkesan bagi mengelak kematian akibat pengambilan dadah berlebihan, kata pegawai wilayah.
“Jika ada seseorang yang mengatakan ada jalan keluar lain daripada ketagihan, jangan percaya,” kata Encik Dan Williams, menteri yang menyelia dasar dadah Alberta, kepada pemberita pada sidang akhbar.
Beberapa pekerja barisan hadapan berkata amalan pengurangan bahaya disasarkan untuk memperoleh sokongan politik pada masa angka kematian mencapai tahap tertinggi baru dan pendekatan berbeza diperlukan untuk memastikan pengguna terus hidup.
British Columbia mencatatkan rekod 2,551 kematian pengambilan dadah berlebihan pada 2023, meningkat daripada 2,385 pada 2022, dan mempunyai kadar kematian akibat masalah itu yang kelima tertinggi di mana-mana negeri atau wilayah Amerika Utara iaitu 45.7 kematian bagi setiap 100,000 penduduk.
Pegawai wilayah mengisytiharkan kematian daripada pengambilan dadah berlebihan sebagai satu kecemasan kesihatan awam pada 2016. Sejak itu, kira-kira 14,600 orang telah meninggal dunia.
“Masanya terlalu lama untuk kekal berada dalam krisis,” kata Encik Ronnie Grigg, seorang pekerja jangkauan dan presiden Zero Block Society, sebuah kumpulan pengurangan bahaya.
“Segala-galanya tentang masalah ini, setiap respons, sudah terlambat.”
Gabungan yang mewakili 20 kumpulan masyarakat sivil di British Columbia telah meminta Mahkamah Persekutuan Canada supaya membatalkan keputusan kerajaan membenarkan penggunaan, dengan alasan bahawa ia dicapai “dengan niat jahat, atas sebab kepentingan politik”.
Menggariskan beberapa usaha pengurangan bahaya yang lebih berani di British Columbia, satu kumpulan telah membekalkan kokain, metamfetamina dan heroin kepada pengguna dadah sejak Ogos 2022, dengan alasan bahawa ia melindungi mereka daripada membeli narkotik yang tercemar dan berpotensi membawa maut daripada pengedar.
Namun permintaan kumpulan itu untuk mendapatkan kelulusan bagi kerja mereka ditolak oleh kerajaan persekutuan. Projek itu berakhir pada Oktober 2023 apabila polis menyerbu pejabat kumpulan itu, menangkap dua pengasasnya dan mendakwa mereka memiliki dadah.
Tumpuan British Columbia terhadap penguatkuasaan yang diperbaharui telah membayangi usaha pengurangan bahaya yang telah terbukti berkesan dalam jangka panjang, kata beberapa pakar.
“Tiada huraian ajaib,” kata Profesor Jaime Arredondo, seorang profesor dan saintis yang menyelidik penggunaan bahan di Universiti Victoria.
“Dasar-dasar berasaskan bukti ini berkesan,” tambahnya, “tetapi mengambil masa.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg