Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

“Dia bff saya...”

Nov 17, 2024 | 5:30 AM
Cik Heng Eng Sim, 73 tahun (kiri), datang menjenguk Encik Abdul Rahim Osman, 67 tahun (kanan), yang buta dan tinggal sendirian.
Cik Heng Eng Sim, 73 tahun (kiri), datang menjenguk Encik Abdul Rahim Osman, 67 tahun (kanan), yang buta dan tinggal sendirian. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Siang atau malam tidak ada perbezaan besar buat Encik Abdul Rahim Osman, 67 tahun, yang buta dan tinggal sendirian di flat sewa satu bilik.

Meraba-raba dan berjalan perlahan-lahan ke meja makan, beliau mencari radio untuk diputarkan, memecah kesunyian yang terasa di ruang itu.

Setiap barang di rumah itu dihafal kedudukannya – misalnya kipas di sebelah almari bersebelahan dengan katil bujang tempat istirahatnya.

“Saya gunakan telefon bimbit untuk memberitahu saya waktu, supaya saya dapat dirikan solat,” kata Encik Rahim yang telah dibantu oleh Persatuan Cacat Penglihatan Singapura (SAVH) untuk mempelajari cara menggunakan telefon bimbit.

SAVH juga telah cuba mengajar Encik Rahim menggunakan tongkat putih (khas untuk pesakit buta), tetapi Encik Rahim belum berani menggunakannya setakat ini.

“Saya masih belum boleh gunakan telefon bimbit ini sepenuhnya. Saya tak dapat membuat panggilan kepada sesiapa, hanya dapat menerima panggilan saja,” tambahnya.

Penglihatannya telah merosot sejak umurnya 50 tahun, dan infeksi bahagian mata telah membuatkan kededua matanya kabur, dan akhirnya buta sejak sekitar empat tahun lalu.

“Mujur saya ada jiran yang sangat baik dengan saya. Beliaulah yang mengambil kisah, membantu saya, membuatkan kopi, membantu menyiapkan makanan untuk saya…”

Jiran sebelah rumah itu – Cik Heng Eng Sim – dijemput ke rumah sewaktu wartawan Berita Minggu (BM) datang untuk berjumpa Encik Rahim.

Cik Heng, 73 tahun, enam tahun lebih tua dari Encik Rahim, bertubuh kecil dan kelihatan sihat dan masih kuat.

“Saya sering pergi ke gim!” terangnya dengan penuh semangat.

Seperti Encik Rahim, Cik Heng juga hidup berdikari dan sendirian di flat sewanya itu dan tinggal berdepan dengan rumah Encik Rahim.

Mereka berdua mengaku kawan baik, meskipun perbualan mereka bak ‘ayam dan itik’.

Menurut Cik Heng, mereka menggunakan bahasa Hokkien dan bercampur sedikit bahasa Melayu, walaupun beliau tidak begitu fasih.

“Tidak sampai hati saya lihat dia seorang diri. Di blok ini ada ramai orang tua yang hidup sendiri. Yang paling saya takuti adalah apabila mereka mati ketika bersendirian. Di sini ramai yang buat hal sendiri, menutup pintu saban hari. Saya khuatir jika apa-apa terjadi dengan Rahim,” tambah Cik Heng.

Encik Rahim menerima makanan setiap hari dari badan amal tetapi sering membuangnya kerana menganggap makanan itu tidak segar, atau tidak selamat untuk dimakan.

“Saya rasa hidup saya sederhana tetapi sempurna. Saya cuma rindukan masakan segar dari rumah, kerana makanan yang saya terima kurang menyelerakan,” kata Encik Rahim.

“Dia cakap tak sedap. Atau apabila diterima dalam bekas styrofoam yang kadang-kadang sudah pecah, dan berasa tidak selamat dimakan, dia tak akan makan,” celah Cik Heng yang turut membantu membelikan keperluan Encik Rahim, termasuk membuatkan kopi, dan menyediakan makanan ringan.

Hari bertukar hari, dan kehidupan ramai orang tua yang hidup sendiri bak penantian panjang menuju ke destinasi yang abadi.

Harapan Encik Rahim adalah supaya generasi muda lebih menghargai generasi perintis kerana mereka telah membantu membangunkan Singapura.

“Saya berharap masyarakat prihatin dan akan bantu golongan yang tua, yang miskin, yang susah dan buta,” kata beliau.

Syukur dapat jiran yang baik

“Mujur saya ada jiran yang sangat baik dengan saya. Beliaulah yang mengambil kisah, membantu saya, membuatkan kopi, membantu menyiapkan makanan untuk saya…”
 Encik Abdul Rahim Osman.
Jiran yang prihatin

“Tidak sampai hati saya lihat dia seorang diri. Di blok ini ada ramai orang tua yang hidup sendiri. Yang paling saya takuti adalah apabila mereka mati ketika bersendirian. Di sini ramai yang buat hal sendiri, menutup pintu saban hari. Saya khuatir jika apa-apa terjadi dengan Rahim.” 
Cik Heng Eng Sim, jiran yang prihatin terhadap Encik Rahim.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg