Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kegiatan dalam talian boleh bangkit radikalisasi, jejas keselamatan negara

Faishal gesa belia muhasabah diri, amal pemikiran kritis untuk lindung diri daripada pengaruh negatif alam siber
Nov 9, 2024 | 7:21 PM
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kanan), berinteraksi bersama dua peserta Forum Belia tahunan anjuran Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (ACG), Cik Nicolle Ng Xin Yi (kiri), dan Encik Ashiqur Rahman Hussain Ahamed, pada  9 November 2024. 
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kanan), berinteraksi bersama dua peserta Forum Belia tahunan anjuran Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (ACG), Cik Nicolle Ng Xin Yi (kiri), dan Encik Ashiqur Rahman Hussain Ahamed, pada  9 November 2024.  - Foto BM oleh NUR DHUHA ESOOF

Kandungan dalam talian yang belia ambil untuk dibaca dan kongsi akan secara tidak sedar mempengaruh sikap dan kelakuan di dunia nyata, seperti yang berlaku kepada remaja berumur 17 tahun yang menjadi radikal dan ditahan baru-baru ini kerana merancang membunuh orang bukan Islam di Tampines.

Justeru, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menggalak belia agar mempertimbangkan bagaimana kegiatan mereka di wadah dalam talian boleh menjejas keselamatan dan keharmonian negara.

“Saya mahu menggalakkan semua belia agar bermuhasabah diri dan menyedari keadaan diri apabila berada dalam talian. Amalkan pemikiran kritis dan tanya soalan seperti ‘apa kesan kandungan ini terhadap cara saya berfikir’. Ia boleh membantu melindungi diri anda daripada pengaruh negatif dalam talian,” kata Dr Faishal.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Forum Belia tahunan anjuran Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (ACG) yang diadakan di Auditorium Ngee Ann Kongsi Universiti Pengurusan Singapura (SMU) pada 9 November 2024.

Forum yang dianjurkan bersama Persatuan Muslim SMU itu bertujuan melengkapi belia Singapura dengan pengetahuan kritikal bagi mengenali dan menentang radikalisasi ganas sebagai cara mengukuhkan daya tahan belia.

Peserta, antara lain, dapat mengikuti penyampaian oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) sebelum membincangkan tentang faktor yang menyumbang kepada radikalisasi belia dan langkah menyumbang kepada keselamatan dan keharmonian Singapura.

Berucap kepada sekitar 200 belia dari pelbagai Institut Pengajian Tinggi (IHL) yang hadir di acara itu, Dr Faishal berkata trend radikalisasi belia adalah keprihatinan yang meningkat di Singapura.

Sejak 2015, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) telah menangani 14 belia warga Singapura berumur 20 tahun dan ke bawah yang menjadi radikal sendiri di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Lima daripada mereka yang ditahan sejak 2020 mahu melakukan serangan di Singapura menggunakan senjata mudah diperoleh dan digunakan seperti pisau.

“Ada beberapa pengajaran penting untuk dipelajari daripada trend radikalisasi belia di Singapura. Pertama, peristiwa yang berlaku jauh, seperti konflik Israel-Hamas, boleh memberi kesan langsung dan tidak langsung terhadap jiwa dan minda serta keselamatan negara kita. Kedua, ruang dalam talian terus menjadi medium utama di mana belia menjadi terdedah kepada pengaruh negatif, termasuk idea radikal. Dan akhir sekali, kita perlu terus memupuk perpaduan sosial untuk mengelakkan mentaliti ‘kita-lawan-mereka’ daripada wujud dan mengancam keharmonian kita,” kata Dr Faishal.

Beliau menyarankan kepada belia agar menghasilkan kandungan yang menggalakkan perpaduan sosial dan meningkatkan kesedaran tentang bahaya maklumat salah dan bahan radikal.

Beliau juga berpesan tentang pentingnya mengambil tindakan dan membantu rakan-rakan yang menunjukkan tanda menjadi radikal.

Seorang peserta forum, Cik Nicolle Ng Xin Yi, 18 tahun, pelajar Politeknik Singapura, berkata:

“Belia mempunyai peranan besar yang boleh dimainkan. Ia bukan sahaja tentang belia tetapi juga tentang membantu dan menyokong masyarakat dalam usaha membantu belia daripada menjadi radikal sendiri.”

Mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS), Encik Ashiqur Rahman Hussain Ahamed, 24 tahun, menambah:

“Kita perlu menyalurkan tenaga ini dalam cara yang produktif. Turut penting untuk belia mengimbangi keyakinan, dan ini datang dengan keupayaan untuk menilai risiko dan kesan dengan teliti.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg