Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Ibu cuba pelbagai kaedah pupuk minat bahasa dalam diri anak

Apr 11, 2022 | 05:30 AM



BAGI memastikan anaknya fasih berbahasa Melayu, Cik Nurfarahin Mohamed Amin, 32 tahun, mengutamakan pertuturan bahasa ibunda ketika usia anaknya masih beberapa bulan lagi.



Sewaktu beliau dan suami tinggal bersama kedua ibu bapa, beliau memastikan anaknya, Ahmad Muaz Hamzah, mampu bertutur dalam bahasa ibunda kerana ibu bapanya hanya selesa berbahasa Melayu.



Atas faktor terbesar itu, penggemar buku pelbagai bahasa ini mula mengambil langkah untuk mendedahkan buku-buku Melayu kepada anak tunggal kesayangannya itu.



Pemegang ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Bahasa Arab dan Kesusasteraan) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata:



"Saya mula meminjam dari perpustakaan dan membeli di pesta-pesta buku atau secara dalam talian.



"Di rumah, saya akan pastikan buku-bukunya mudah dicapai dan dilihat anak saya agar dia terbiasa dengan buku-buku tersebut.



"Ketika membaca bersama, saya menggalakkan Muaz menyebut perkataan atau meniru bunyi watak dalam buku itu.



"Saya juga meminta kerjasama suami dan ibu bapa untuk turut meluangkan masa membaca bersama Muaz.



"Cara-cara ini dipelajari sewaktu bekerja sebagai pustakawan Lembaga Perpustakaan Negara beberapa tahun lepas.



"Alhamdulillah, hasilnya, Muaz menunjukkan minat untuk mencapai dan membaca buku yang ada di rumah ketika dia sudah pandai merangkak.



"Kadangkala, dia membelek buku-buku itu sendirian atau mengajak orang lain untuk membaca dengannya.



"Oleh itu, saya yakin pendedahan pada awal usia berkesan menanam minat membaca dalam kalangan anak-anak.



"Hasilnya tidak dilihat serta-merta, bahkan mengambil masa berbulan dan bertahun.



"Namun, ia teramat berbaloi apabila melihat anak kita bukan saja mampu, malah minat bertutur dan membaca dalam bahasa ibunda."



Berkongsi pengalaman membacakan buku bahasa Melayu kepada anaknya yang merupakan pelajar darjah satu di Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, Cik Nurfarahin berkata, salah satu buku yang sesuai ialah Kuih Yang Mana Satu?, sebuah buku dwibahasa Melayu-Inggeris, karya Cik Idayu Hussain.



"Buku kegemaran Muaz itu bukan sahaja bermutu tinggi dari segi bahasa dan isi kandungannya, malah saya boleh juga berkongsi dengannya tentang tradisi bazar Ramadan di Singapura dan kuih-muih Melayu.



"Muaz menjadi lebih teruja dengan kuih-muih sejak membaca buku ini.



"Malahan, buku ini amat sesuai untuk ibu bapa dan mentua saya membaca bersama cucu mereka kerana mereka lebih arif tentang kuih-muih tradisional," tambah beliau.



Guru agama yang bekerja sendiri itu ingin anaknya membesar dengan kemampuan memahami serta berkomunikasi dengan baik menggunakan bahasa ibunda, tanpa rasa kekok atau malu.



Beliau menyatakan, langkah pertama untuk memperolehi sikap serta minda positif mengenai sesuatu bahasa adalah dengan membaca buku-buku cerita sejak kecil lagi.



Tambah beliau: "Sebagai ibu bapa, kita berperanan untuk mencipta pengalaman dan memori positif mengenai bahasa ibunda.



"Membaca bersama secara santai merupakan langkah yang paling mudah untuk mencapai matlamat tersebut.



"Selain itu, membiasakan Muaz dengan bahasa Melayu penting bagi saya kerana saya ingin dia mampu berkomunikasi dengan datuk dan neneknya dalam bahasa yang mereka fasih.



"Komunikasi ini akan membolehkah Muaz belajar daripada mereka tentang perkara yang mungkin, saya dan suami tidak mampu mengajarnya. Dia juga boleh menonton program-program bahasa Melayu di televisyen atau di Internet bersama mereka."



Cik Nurfarahin berharap anaknya yang kini berusia enam tahun, serta kanak-kanak dari generasinya akan berterusan mengamalkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda, dan tidak janggal berkomunikasi dalam bahasa tersebut.



"Elakkan menganggap bahasa Melayu sebagai subjek yang sukar atau tidak membantu pencapaian akademik.



"Penetapan minda tentang kepentingan melestarikan bahasa ibunda semestinya bermula dari rumah, iaitu daripada ibu bapa sendiri.



"Saya juga mempunyai harapan tinggi mengenai buku-buku Melayu yang sudah ada di Singapura.



"Buku-buku Melayu yang baik dan bermutu tinggi telah pun diterbitkan oleh beberapa penerbit seperti Pustaka Nasional, Ungu Pen, Magic Storylamp, Mini Monsters Limited dan Epigram.



"Semoga lebih ramai penulis yang akan tampil mengeluarkan buku-buku Melayu merangkumi pelbagai isu dan topik yang berkaitan dengan isu-isu semasa masyarakat Melayu demi anak bangsa," pesan beliau.




BAHASA & BUDAYA PENDEDAHAN AWAL PADA BUKU



"Hasilnya tidak dilihat serta-merta, bahkan mengambil masa berbulan dan bertahun.
Namun, ia teramat berbaloi apabila melihat anak kita bukan saja mampu, malah minat bertutur dan membaca dalam bahasa ibunda."



CIPTA PENGALAMAN INDAH



"Sebagai ibu bapa, kita berperanan untuk mencipta pengalaman dan memori positif mengenai bahasa ibunda.
Membaca bersama secara santai merupakan langkah yang paling mudah untuk mencapai matlamat tersebut."



UBAH MINDA



"Elakkan menganggap bahasa Melayu sebagai subjek yang sukar atau tidak membantu pencapaian akademik.
Penetapan minda tentang kepentingan melestarikan bahasa ibunda semestinya bermula dari rumah, iaitu daripada ibu bapa sendiri."



- Cik Nurfarahin Mohamed Amin, 32 tahun.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >