Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Ibu terima anugerah jaga anak istimewa

Nov 15, 2020 | 05:30 AM



REDA, sabar dan bersikap positif.



Inilah tiga sifat yang perlu ada pada diri seorang pengasuh, kata Cik Juliah Kasiman, yang sejak 11 tahun lalu telah menjaga anak istimewanya yang tidak dapat melihat, bercakap, duduk mahupun berdiri.



Anak sulungnya itu, Mohamad Izhar Mohamad Azhar, dilahirkan dengan penyakit kongenital yang jarang berlaku yang menyebabkan kerosakan pada jantung, paru-paru, limpa, usus dan ginjal.



Dalam tahun pertama kehidupannya, dia menjalani tiga pembedahan untuk memperbaiki kerosakan pada jantungnya, tetapi satu jangkitan selepas pembedahan menyebabkan otaknya rosak.



Ini menyebabkannya kehilangan penglihatan dan menghidap palsi serebrum yang menjejas kawalan otot dan pergerakannya.



Walaupun bak sudah jatuh ditimpa tangga, Cik Juliah tidak membiarkan dirinya dibelenggu rasa sedih dan bersalah, dan berusaha menjadikan kehidupan anaknya itu sebaik dan sesempurna mungkin.



"Saya rasa sifat pertama yang perlu ada dalam diri ibu bapa yang mempunyai anak kurang upaya ialah reda. Ia tidak mudah tetapi kita harus terima yang ia telah berlaku, sama ada ia salah kita atau bukan. Tiada guna menyalahkan diri sendiri.



"Kita juga perlu sabar dan kekal positif seberapa mungkin," kata Cik Juliah, 39 tahun, yang mempunyai dua lagi anak berusia 10 tahun dan 18 bulan.



Baru-baru ini, beliau menerima Anugerah Pengasuh Inspirasi dalam Anugerah Pengasuh dan Pesakit Inspirasi 2020 anjuran Singapore Health (SingHealth).



Anugerah itu dimulakan pada 2010 untuk meraikan individu yang memberi inspirasi ini, dan untuk mendorong pesakit dan pengasuh lain dalam perjalanan mereka.



Menceritakan pengalamannya membesarkan Mohamad Izhar, Cik Juliah berkata beliau mendapat tahu tentang penyakit yang dihidapi anaknya itu, yang dipanggil Right Isomerism, sewaktu melakukan imbasan ketika kandungan berusia 21 minggu.



"Doktor berkata, jantung dan organ dalam badannya terbalik. Apabila dia dilahirkan, hatinya berada di tengah, ususnya di satu sudut dan dia tidak ada limpa.



"Tapi Izhar bukan satu-satunya kanak-kanak yang mengalami keadaan itu. Ada satu atau dua lagi pesakit sedemikian di sini.



"Saya lakukan sedikit kajian, dan mendapati di luar negara, ada pesakit yang dapat hidup melebihi usia belasan tahun, cuma mereka mungkin perlu mendapatkan bantuan bagi jantung mereka.



"Bagi Izhar, keprihatinan utama berkaitan jantung dan hatinya dan sama ada dia boleh membuang air besar atau tidak," kata Cik Juliah.



Bagaimanapun serangan jantung yang dialami setelah pembedahan pada usia enam bulan memburukkan keadaan, dan Mohamad Izhar hanya dibenarkan pulang ke rumah pada usia satu tahun, tiga bulan dan tiga hari.



Untuk menjaga Mohamad Izhar, Cik Juliah belajar cara melakukan terapi oksigen dan pengudaraan tidak invasif, mengeluarkan lendir dan memberi makanan melalui tiub.



Suami dan keluarga besarnya, terutama ibu mentuanya, juga banyak membantu, kata Cik Juliah, yang kehilangan ibunya akibat barah 11 tahun lalu.



Walaupun Mohamad Izhar cuma dapat berbaring dan bergerak dengan mengengsot menggunakan kaki, Cik Juliah menggambarkan anaknya itu sebagai kanak-kanak yang aktif dengan personaliti yang unik.



"Izhar mempunyai cara berkomunikasi melalui mood dan bunyi yang dikeluarkan. Dia juga telah dapat mencari cara bergerak dalam rumah, tanpa melanggar perabot di kelilingnya berpandukan deria pendengarannya.



"Dia suka keluar berjalan-jalan, boleh makan menggunakan tangan, dan mempunyai bunyi atau perkataan tertentu bagi orang tertentu dalam keluarga," kata Cik Juliah, yang merupakan relawan di Persekutuan Palsi Serebrum Singapura (CPAS) sepanjang empat tahun lalu.



Beliau bagaimanapun berkata semakin Mohamad Izhar meningkat dewasa dan menjadi tinggi dan berat, agak sukar untuk mendukungnya dan memasukkannya ke dalam kereta.



Tetapi keadaan Mohamad Izhar kini semakin merosot.



Tiga tahun lalu, dia menjalani satu lagi pembedahan bagi jantungnya dan keadaannya baik hingga bulan lalu, apabila dia mengalami jangkitan pneumokokus.



"Oksigen dalam darahnya rendah dan jantungnya tidak berfungsi begitu baik kini. Tetapi kami membuat keputusan untuk tidak melakukan sebarang pembedahan invasif lagi. Saya dan suami cuma mahu dia gembira," kata Cik Juliah sambil menambah jika Mohamad Izhar menjadi semakin lemah, dia mungkin memerlukan peralatan untuk membantunya.



"Seberapa banyak kami cuba bersiap sedia, kami sedar yang Mohamad Izhar tidak akan menjadi semakin sihat dalam tahun-tahun akan datang disebabkan kegagalan jantungnya.



"Kami tidak tahu sama ada keadaan kesihatannya akan merosot dengan perlahan atau cepat. Jika ia berlaku dengan cepat, itu yang terbaik kerana dia tidak merana. Jika ia berlaku dengan perlahan, kami akan berusaha sedaya upaya untuk membuatnya selesa," kata Cik Juliah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >