Semasa Covid-19 melanda, beliau menjadi tempat pekerja lain ‘mengadu nasib’.
Meskipun beliau sendiri agak bimbang akan kedudukannya di tempat kerja, Encik Muhammad Zaid Idris cekalkan diri untuk menerangkan situasi di tempat kerjanya pada masa itu.
Menurut Encik Muhammad Zaid, kebimbangan pekerja mula memuncak semasa tempat kerjanya – kelab sosial khas untuk anggotanya, The American Club – terpaksa ditutup semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan (CB) Covid-19.
“Pada masa itu memang telefon saya asyik berdering saja,” kata Encik Muhammad Zaid, 35 tahun, yang kini bertugas sebagai penolong pengurus khidmat anggota.
Sebagai penolong setiausaha agung Kesatuan Tarikan, Resort dan Hiburan (AREU) – sebuah kerabat Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) – Encik Muhammad Zaid bekerjasama rapat dengan pihak pengurusan syarikatnya untuk memastikan hak pekerja dilindungi.
Beliau, yang melibatkan diri dalam AREU sejak enam tahun lalu, turut memainkan peranan penting dalam mengemukakan keutamaan pekerja dan juga membantu memelihara pekerjaan mereka, terutama sekali semasa tempoh pandemik.
“Syarikat kami tutup sekitar dua bulan, dan pekerja diminta menggunakan cuti tahunan mereka pada masa itu. Namun ada juga yang tidak mempunyai cuti lagi jadi kami perlu mencari peranan yang boleh dimainkan mereka di kelab pada masa itu.
“Selain itu kami juga perlu fikirkan tentang latihan untuk pekerja, bagaimana menjaga kesihatan mental mereka. Kami juga perlu bekerjasama dengan pihak pengurusan dalam hal-hal ini,” kata Encik Muhammad Zahid.
Kesungguhan serta komitmen beliau diiktiraf baru-baru ini apabila beliau menerima anugerah Rakan Pekerja pada Anugerah Hari Pekerja 2023 anjuran NTUC.
Selain berusaha melindungi hak pekerja, Encik Muhammad Zaid memperjuangkan amalan progresif di tempat kerja dan memainkan peranan penting dalam penguatkuasaan dasar berkaitan gangguan di tempat kerja di syarikatnya.
Beliau juga sering mengadakan sesi perbincangan dengan pekerja untuk mendengar sendiri keluhan serta keprihatinan mereka dan menyampaikan maklum balas tersebut kepada syarikat dan juga kesatuan untuk memenuhi mana-mana jurang yang wujud.
Selain itu, Encik Muhammad Zaid turut memainkan peranan penting dalam jawatankuasa Young NTUC sejak dilantik pada 2018.
Pelibatannya dalam AREU dan juga Young NTUC memudahkan usaha beliau memimpin usaha melaksana Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR) AREU dan menarik belia dalam sektor tarikan, resort dan hiburan agar melibatkan diri dalam kesatuan.
“Harapan saya ialah melalui pelibatan serta komitmen saya sebagai anggota kesatuan, orang ramai – terutama sekali golongan lebih muda – dapat memahami dengan lebih mendalam tentang peranan kesatuan ini dan juga apa yang diperlukan pekerja pada masa depan,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg