Masjid Hajjah Fatimah di Beach Road merupakan antara lokasi bersejarah yang terkenal di kawasan Kampong Gelam.
Ia juga dikenali sebagai bangunan yang telah diwakafkan oleh Hajjah Fatimah Sulaiman, seorang peniaga kaya dan dermawan asal Melaka.
Namun, tahukah anda bahawa terdapat sebuah hartanah berdekatan masjid itu - di 701 hingga 709 North Bridge Road - juga merupakan hartanah wakaf sumbangan Raja Siti Kraeng Chanda Pulih, anak tunggal Hajjah Fatimah dengan suaminya Kraeng Chanda Pulih, seorang putera raja dan saudagar Bugis dari Gowa (kini dipanggil Sulawesi).
Bangunan rumah kedai wakaf di North Bridge Road itu asalnya telah dibina bagi menyokong perbelanjaan Masjid Hajjah Fatimah dan membantu saudara-mara keluarga Hajjah Fatimah yang susah serta badan amal lain.
Demi meningkatkan kesedaran tentang hartanah wakaf di kalangan masyarakat, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah menyertakan kawasan 701 hingga 709 North Bridge Road itu sebagai salah satu lokasi menarik untuk dikunjungi melalui lawatan berpandu sendiri, Jejak Warisan Wakaf.
Pelbagai kawasan lain dan juga kisah menarik mereka turut disenaraikan di bawah Jejak Warisan Wakaf yang bakal dimulakan pada 24 Ogos dan berlangsung hingga 12 September.
Antara lokasi lain termasuk kawasan Jalan Pisang, Haji Lane dan Muscat Street.
Peserta berpeluang meneroka pelbagai hartanah wakaf dan mendapatkan pandangan tentang bagaimana aset dan institusi tersebut telah menyumbang kepada sejarah dan terus menyumbang kepada fabrik masyarakat dan identiti Islam Singapura.
Orang ramai yang berminat boleh mengunjungi laman, www.wakaf.sg, mulai 24 Ogos untuk maklumat lanjut mengenai laluan Jejak Warisan Wakaf dan kisah-kisah di sebalik hartanah wakaf tersebut.
Di samping itu, orang ramai juga boleh turut serta dalam Pertandingan Video Jejak Warisan Wakaf yang diadakan dari 24 Ogos hingga 12 September ini, di mana mereka boleh berkongsi pengalaman dan pendapat mereka tentang aktiviti tersebut.
Tiga video paling menarik berpeluang memenangi hadiah bernilai lebih $2,000.
Jejak Warisan Wakaf merupakan salah satu aktiviti yang disediakan sempena pelancaran Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) dan kempen Bulan Wakaf yang berlangsung sepanjang Ogos ini.
WMS, yang dibentuk dan dilaksanakan Muis, ialah dana endowmen Islam yang bertujuan mewujudkan sistem pembiayaan yang mampan untuk menyokong dana sedia ada bagi menyokong institusi keagamaan seperti Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), pembangunan asatizah dan program jangka panjang masyarakat menerusi sumbangan umat Islam di sini.
Dalam pada itu, kempen Bulan Wakaf bermatlamat menetapkan penciptaan wakaf sebagai tanggungjawab keagamaan generasi semasa untuk menyokong institusi utama bagi generasi akan datang; serupa dengan dermawan wakaf pada masa lalu.
Secara keseluruhan, terdapat lebih 150 wakaf di Singapura yang ditadbirkan di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA) Muis. Muis mentadbirkan hartanah wakaf tersebut bagi memastikan bahawa niat asal wakif terus dipenuhi.
Wakaf sedia ada yang ditubuhkan oleh dermawan menyokong penerima tertentu seperti yang didedikasikan oleh wakif. Mereka secara umumnya berkadar untuk memberi manfaat kepada keturunan wakif dan institusi keagamaan dan kebajikan kita seperti masjid, madrasah dan pertubuhan Melayu Islam. Ia juga membantu golongan kurang berkemampuan dalam komuniti kita sehingga hari ini termasuk membiayai kos pengebumian.
Salah satu contoh wakaf itu adalah yang dimulakan dermawan seperti Raja Siti Kraeng Chanda Pulih.
Hari ini, sekitar 44 peratus keuntungan wakaf sedia ada, hasil daripada wakaf yang ditubuhkan dermawan, digunakan untuk menyokong masyarakat tempatan Singapura.
Antaranya, ia digunakan untuk menyokong masjid, madrasah, pertubuhan amal dan golongan yang memerlukan dalam kalangan masyarakat, seperti menampung kos pengkebumian warga fakir.
Justeru, menerusi pengalaman melawati Jejak Warisan Wakaf ini, pihak Muis berharap agar masyarakat terdorong untuk meninggalkan legasi malar segar mereka yang bukan sahaja menjamin kebajikan masyarakat tetapi juga dianggap sebagai sadaqah jaariah buat diri sendiri.
Masyarakat boleh mempertimbang memberikan sumbangan segera atau untuk masa depan kepada WMS secara tunai dengan jumlah serendah $10 sekali sahaja, secara bulanan atau tahunan menerusi laman www.wakaf.sg.
Ketahui lebih lanjut tentang Jejak Warisan Wakaf menerusi laman web, www.wakaf.sg. Mereka yang berminat menyertai Pertandingan Video Jejak Warisan Wakaf, boleh membuat pendaftaran di laman, www.go.gov.sg/wht24.
Tarikh: Jumaat 30 Ogos 2024 (4 petang hingga 10 malam)
Tempat: Suntec Singapore
Pendaftaran: www.go.gov.sg/faraidforum-30aug
Buat julung-julung kalinya, Muis bekerjasama dengan rakan kongsi utama seperti agensi pemerintah, kumpulan peguam Muslim, pengamal kewangan, dan para asatizah untuk melancarkan Perkampungan Legasi WMS. Bermula 4 petang, orang ramai boleh berkunjung ke Perkampungan Legasi yang bakal menampilkan klinik perundingan serta reruai yang berkongsikan cara-carta individu Muslim boleh belajar dan melaksanakan perancangan legasi dengan memanfaatkan instrumen sedia ada seperti alat penamaan CPF dan insurans. Terdapat juga asatizah yang akan memberikan penjelasan tentang penggunaan alat-alat tersebut yang diperbolehkan syariah. Selain merancang untuk orang tersayang, pengalaman di situ juga akan mengajarkan individu tentang pertimbangan yang dapat dibuat menggunakan alat perancangan legasi untuk melakukan sadaqah jaariah, termasuk menyumbang kepada WMS.
Mulai 7:30 malam pula, sebuah forum bertajuk “A Wasiat for Me”, yang diadakan dalam bahasa Inggeris, akan merungkaikan peranan agama serta tanggungjawab seorang Muslim untuk merancangkan harta pusaka mereka demi kemaslahatan keluarga dan masyarakat. Acara akan dibuka oleh Mufti Singapura, Dr Nazirudin Nasir, dan forum akan mengemukakan para pakar kewangan Ustaz Haron Masagoes Hassan (anggota Kumpulan Kerja Perancangan Legasi Islam), peguam Rafidah Wahid dan Nona Kirana (anggota Kumpulan Kerja Perancangan Legasi Islam) selaku moderator majlis.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg