Berikut ucapan penuh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di majlis jamuan malam amal sempena ulang tahun ke-60 Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) di Grand Ballroom, Orchid Country Club pada 24 Januari 2025.
Di Singapura, masyarakat Melayu/Islam berkembang maju sebagai Masyarakat Gemilang, berkat sokongan badan-badan Melayu/Islam seperti Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).
Anda memainkan peranan penting dalam membantu pelbagai lapisan masyarakat, termasuk menyokong usaha-usaha M Kuasa Tiga (M³).
Melalui rangkaian anda sendiri, anda juga saling melengkapi inisiatif nasional untuk memenuhi keperluan dan aspirasi masyarakat.
Malam ini, kita meraikan semangat untuk berkhidmat, semangat saling membantu serta bekerjasama demi kebaikan semua.
Semangat inilah yang akan memperkasa masyarakat Melayu/Islam sebagai Masyarakat Gemilang dan semangat ini jugalah yang akan membantu Singapura mengatasi cabaran-cabaran baru dengan penuh yakin.
Kepada semua wakil-wakil LBKM dan badan-badan Melayu/Islam (MMO) – dahulu dan sekarang – terima kasih atas sumbangan anda!
Selama enam dekad, LBKM telah menyediakan sokongan kewangan kepada pelajar dari semua lapisan masyarakat, seperti yang anda dengar sebentar tadi, untuk melanjutkan pengajian mereka.
Komitmen anda terhadap misi ini mengingatkan kami tentang betapa pentingnya Islam dan Nabi Muhammad saw menekankan tentang pengetahuan dan pendidikan.
Sejak penubuhannya, LBKM telah memberi manfaat kepada lebih 38,000 pelajar dengan pemberian dermasiswa, biasiswa dan geran bernilai hampir $35 juta.
Syabas kepada setiap seorang di LBKM.
Di Singapura, pendidikan diberi subsidi besar oleh pemerintah tetapi di sebalik pembiayaan pemerintah, akan sentiasa ada keperluan tambahan dalam kalangan masyarakat yang boleh dipenuhi oleh masyarakat itu sendiri.
Disebabkan usaha gigih anda, pelbagai generasi rakyat Singapura dapat mengejar cita-cita dan impian mereka.
Meskipun LBKM kekal dengan misi penubuhannya, ia telah berkembang mengikut zaman, dan juga mengemas kini pendekatannya.
Pada mulanya, anda memberi jumlah dermasiswa yang sederhana kepada pelajar yang memerlukan.
Sekarang, anda menyokong lebih ramai pelajar, dan penerima anugerah anda merebut pelbagai peluang dalam sistem pendidikan kita – baik di sekolah rendah dan menengah; madrasah; Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti – malah di institusi di luar negara.
Anda telah memperluas rangkaian biasiswa anda untuk meliputi pelbagai disiplin, daripada bidang muzik kepada undang-undang dan teknologi, dengan itu membolehkan lebih ramai rakyat Singapura memaksimumkan pelbagai potensi dan kekuatan mereka.
Anda telah menggunakan anugerah yang anda sampaikan untuk membantu pelajar memenuhi keperluan ekonomi moden yang kian berubah dan untuk memperoleh kemahiran yang diperlukan untuk kekal berdaya saing di tempat kerja.
Sebagai contoh, anda melancarkan Biasiswa Ekonomi Masa Depan bagi pelajar dalam bidang berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (Stem).
Anda bekerjasama dengan Maybank untuk menyampaikan biasiswa bagi pelajar Singapura yang sedang melanjutkan pelajaran dalam sektor perbankan, seperti sains aktuari dan pemodelan risiko.
Untuk menggalakkan golongan muda meraih pengalaman di luar negara, anda memperkenal geran yang dinamakan ‘Learning Access Student Overseas Exchange’ and Internship Programme Grant’, yang disokong oleh Yayasan Masyarakat Singapura.
Ini telah membantu pelajar di institusi setempat untuk menyertai program di universiti di luar negara, atau belajar sambil bekerja di syarikat di luar negara.
Selama bertahun-tahun, anda telah dapat meluaskan jangkauan anda dan menggandakan impak anda kepada masyarakat dengan bekerja bersama rakan kerja yang mempunyai pandangan yang sama.
Sebagai contoh, LBKM bekerjasama dengan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) untuk sama-sama menyediakan biasiswa possiswazah bagi golongan wanita – daripada semua kaum dan agama - dalam bidang seperti Stem, gerontologi dan pengajian berkaitan wanita.
Ini mencerminkan komitmen kedua-dua badan untuk memupuk suri teladan wanita yang boleh menjadi pemimpin masyarakat masa akan datang dan kami menantikan lebih ramai golongan ini.
Justeru, LBKM telah mencapai banyak kejayaan dalam 60 tahun kebelakangan ini.
Semua pencapaian ini tidak akan membuahkan hasil tanpa semangat dan dedikasi kakitangan dan sukarelawan LBKM.
Saya sangat gembira kerana presiden terdahulu LBKM – Encik Wan Hussin Zoohri dan Encik Suhaimi Salleh – berada di sini.
Keluarga presiden pengasas LBKM, Encik Alsagoff, juga hadir sama.
Terdapat juga ramai sukarelawan, anggota majlis, aktivis LBKM dahulu dan kini bersama kami malam ini dan saya ingin mengucapkan terima kasih atas bakti anda semua.
Sudah tentu, kami juga ingin mengiktiraf pertubuhan dan individu yang menderma kepada LBKM dan program-programnya dengan murah hati.
Ramai di antara anda berada di sini dan anda menyahut seruan presiden LBKM agar menderma lebih banyak lagi dengan murah hati.
Sila sahut seruannya tetapi kita juga harus mengiktiraf anda semua dan berikan mereka tepukan gemuruh.
Tahun ini bukan sekadar ulang tahun ke-60 LBKM, malah 60 tahun sejak Singapura mencapai kemerdekaan juga.
Kebetulan saya berkata kepada Dr Syed Harun Alhabsyi (presiden LBKM) bahawa LBKM telah mempunyai empat presiden dan Singapura juga mempunyai empat Perdana Menteri.
Saya tidak pasti sama ada presiden LBKM yang kelima akan bertepatan dengan Perdana Menteri Singapura yang kelima tetapi sejarah jelas menunjukkan ia saling berkaitan.
Sesungguhnya apabila pemimpin pelbagai pertubuhan Melayu/Islam memutuskan untuk menubuhkan Dana Biasiswa Maulid Nabi pada 1963, mereka ingin mengingati Nabi saw dengan membantu pelajar yang memerlukan bantuan kewangan.
Malangnya, setahun kemudian, kita mengalami kejadian rusuhan yang dahsyat, termasuk yang berlaku pada Julai, semasa perarakan memperingati maulid Nabi saw.
Daripada membiarkan kejadian ini memecahbelahkan masyarakat kita, pemimpin awal Melayu/Islam kita berazam untuk mengingati Maulid Nabi dengan cara yang lebih bermakna.
Ini membawa kepada penubuhan LBKM pada 1965, sejurus selepas Singapura merdeka, untuk mentadbir dana itu.
Pemimpin LBKM berazam memberi tumpuan kepada pendidikan bagi kehidupan yang lebih baik dan dengan menyokong semua pelajar yang layak tanpa mengira kaum atau agama, mereka menyumbang dengan cara mereka sendiri untuk memupuk keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Seperti LBKM, Singapura bangkit daripada belenggu kesulitan.
Singapura dianggap mustahil menjadi sebuah negara ketika itu kerana tidak mempunyai sumber kita sendiri. P
ada masa kemerdekaan, ramai yang menyatakan Singapura tidak akan berjaya.
Tetapi kami menentangnya dan membuktikan kesangsian itu salah.
Kita bekerja bersama sebagai rakyat yang bersatu untuk mencapai kebahagiaan, kemakmuran dan kemajuan untuk negara kita.
Inilah semangat gigih Singapura yang mesti kita teruskan untuk membawa masyarakat dan negara kita maju ke depan.
Ia adalah mengenai mengatasi cabaran bersama, berusaha mencapai kecemerlangan dan juga menyokong warga Singapura.
Ramai penerima anugerah LBKM mempamerkan dan menjiwai semangat ini.
Anda melihatnya dalam cara mereka mengambil langkah aktif untuk menyumbang semula.
Mereka menyumbang kepada masyarakat dan negara kita dengan cara yang besar dan kecil.
Anda lihat tadi... beberapa alumni LBKM.
Sesetengah daripada mereka telah memainkan peranan penting dalam masyarakat, seperti mantan Mufti, Dr Syed Isa Semait dan Dr Fatris Bakaram.
Ada yang menyumbang masa dan sumber mereka bagi pelbagai tujuan, dalam badan-badan Melayu/Islam dan lain-lain.
Ambil contoh Encik Salifian Sulaiman, penerima biasiswa possiswazah berprestij LBKM pada tahun lalu (2024).
Beliau telah dianugerahkan Biasiswa Rhodes dan akan memulakan pengajian pos-Kedoktoran dalam antropologi dan penghijrahan di Universiti Oxford akhir tahun ini.
Selain cemerlang dalam pelajarannya, Salifian telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menyokong masyarakat.
Ini termasuk dialog silang agama semasa menuntut di Universiti Nasional Singapura (NUS) dan projek ‘Bake As One’ untuk mengumpul dana bagi kanak-kanak kurang bernasib baik semasa pandemik. Syabas, Salifian.
Banyak lagi kisah-kisah seperti ini dalam kalangan alumni LBKM yang berjaya, bukan sahaja mereka berjaya cemerlang tetapi juga menyumbang kembali kepada masyarakat serta mempertingkat kehidupan warga Singapura dan kami mahu menggalakkan lebih daripada itu.
Sememangnya LBKM juga telah bersungguh-sungguh dalam memupuk budaya berbakti ini.
Melalui kerjasama dengan institusi seperti Mendaki dan Majlis Belia Kebangsaan serta pertubuhan lain, anda menggalakkan penerima anugerah untuk memberi kembali kepada masyarakat.
Sebagai contoh, mereka mempunyai akses kepada pelbagai peluang sukarela dengan Kor Belia Singapura.
Ini menyediakan mereka dengan pelbagai platform untuk menyokong usaha yang dekat dengan hati mereka, daripada soal pekerja asing hingga kelestarian alam sekitar.
Terima kasih kepada pertubuhan seperti LBKM dan badan-badan Melayu/Islam.
Masyarakat Melayu/Islam kita boleh berkembang maju sebagai sebuah Masyarakat Gemilang dan kita semua boleh melakar jalan maju ke hadapan di Singapura dengan penuh keyakinan.
Melalui usaha anda, anda membantu rakyat Singapura untuk mencapai harapan dan aspirasi mereka; membolehkan mereka menyokong warga Singapura lain; dan himpunkan rakyat Singapura untuk berganding bahu untuk membina masa depan kita bersama.
Jadi, sempena ulang tahun Singapura yang ke-60 (SG60) tahun ini, saya harap kita semua dapat merenung sejauh mana kita telah mencapai sebagai sebuah negara.
Sesungguhnya, banyak yang perlu disyukuri.
Singapura tidak sempurna tetapi jika anda melihat sekeliling dunia hari ini, dalam dunia yang sangat bergelora dan tidak menentu ini, saya fikir kita menikmati banyak keberkatan dan kita telah melangkah jauh sebagai sebuah negara sejak 60 tahun lalu.
Saya menggalakkan LBKM supaya meneruskan kerja baik yang anda lakukan selama 60 tahun yang lalu dan untuk mengekalkan kitaran semangat memberi yang murni ini.
Selamat ulang tahun ke-60, LBKM! Semoga usaha anda terus memanfaatkan rakyat Singapura dan Singapura untuk beberapa tahun yang akan datang.
“
“Ini membawa kepada penubuhan LBKM pada 1965, sejurus selepas Singapura merdeka, untuk mentadbir dana itu. Pemimpin LBKM berazam memberi tumpuan kepada pendidikan bagi kehidupan yang lebih baik dan dengan menyokong semua pelajar yang layak tanpa mengira kaum atau agama, mereka menyumbang dengan cara mereka sendiri untuk memupuk keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg