Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kekuatan M³ terletak pada kemampanan tenaga relawannya

Ada saranan agar kumpulan dilengkapi kakitangan sepenuh masa atau diinstitusikan bagi pastikan kemampanannya
Sep 29, 2024 | 5:30 AM
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga penasihat akar umbi GRC East Coast, bergambar bersama relawan di majlis penghargaan relawan anjuran M³@Bedok.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga penasihat akar umbi GRC East Coast, bergambar bersama relawan di majlis penghargaan relawan anjuran M³@Bedok. - Foto M³

Keberkesanan M Kuasa Tiga (M³) bergantung kepada sama ada daya usaha yang mengharapkan tenaga relawan itu dapat berjalan secara mampan.

Membiarkan daya usaha itu terus dikendalikan rata-rata oleh relawan adalah sesuatu yang baik kerana ia mencerminkan keprihatinan masyarakat dan menghidupkan semangat bergotong-royong.

Namun beberapa relawan yang dihubungi Berita Minggu (BM), termasuk pengerusi M³@Bandar dan pemerhati masyarakat, menyarankan agar kumpulan relawan dilengkapi kakitangan sepenuh masa atau diinstitusikan bagi memastikan kemampanannya.

“Saya rasa kita perlu semacam menginstitusikan M³ kerana dengan cara itu, rasa kekitaan dapat dihasilkan,” kata timbalan pengerusi M³@Woodlands, Encik Muhammad Harmizan Abdul Hamid.

“Tetapi M³ telah berjaya merekrut relawan lebih muda untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dan penduduk. Jika kita menginstitusikannya, ia akan menjadi satu lagi persatuan. Ia tidak akan mewujudkan wadah untuk mereka turun padang dan menjadi relawan di MAEC (Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu) atau akar umbi,” tambahnya.

Inisiatif M³ diumumkan buat kali pertama pada 2018 dan merujuk kepada kerjasama antara Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki (Mendaki) dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra).

Kerjasama itu bertujuan menyepadukan usaha dan keupayaan tiga agensi Melayu/Islam setempat itu supaya lebih berkesan dalam memberi khidmat bagi masyarakat.

M³ juga memainkan peranan fasa terakhir dalam penyampaian khidmat kepada masyarakat dan ia diberikan berdasarkan keperluan kawasan yang dipanggil M³@Bandar.

Terdapat 11 bandar di serata Singapura kini, dengan setiap bandar diketuai pengerusi dan disokong anggota yang kesemuanya relawan.

Program yang dianjurkan kebanyakannya dikendalikan oleh relawan.

KELEBIHAN, KEKURANGAN SISTEM RELAWAN

M³@Pasir Ris-Punggol, misalnya, disokong oleh kumpulan relawan yang pelbagai, termasuk pemimpin akar umbi, karyawan masyarakat, pelajar dan penduduk yang bersemangat untuk menyumbang kembali.

“Sukarelawan menggalas pelbagai peranan, daripada merancang dan melaksanakan acara kepada membimbing belia dan memberi sokongan pentadbiran. Komitmen masa berbeza-beza, dengan sesetengah mereka memperuntukkan beberapa jam setiap minggu manakala yang lain lebih terlibat secara ad hoc,” kata pengerusi bandar M³ itu, Encik Azuan Tan.

“Bilangan relawan aktif berbeza merentas inisiatif, tapi kami bernasib baik kerana mempunyai kumpulan teras yang sering tampil,” tambahnya.

Bagi bekas pengerusi M³@Tampines, Encik Abu Bakar Mohd Nor, penubuhan M³ dan penyepaduan Mendaki, Muis dan Mesra telah memberi wadah untuk orang ramai menyumbang masa dan tenaga bagi isu yang dekat dengan hati mereka.

“Jika saya seorang peguam atau doktor dan saya mahu menjadi relawan, ke mana harus saya tuju? Saya tidak boleh ke Muis, Mendaki atau PA (Persatuan Rakyat) – ini adalah bidang khusus yang tidak saya minati. Saya mahukan wadah diminati untuk lakukan perkara yang membawa kesan nyata,” kata Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) itu.

Semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) bagi ehwal masyarakat Islam pada Mac, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata lebih 850 sukarelawan telah melibatkan diri dalam M³@Bandar untuk membantu menangani isu-isu yang dihadapi masyarakat Melayu/Islam di Singapura.

Ini peningkatan sekitar 50 relawan berbanding 800 yang dicatat pada 2022.

M³ terus mencari relawan bagi menyokong programnya, dan antara lain telah mendekati kesatuan sekerja dan pertubuhan awam serta swasta untuk mendapatkan lebih ramai relawan dalam satu acara pada awal 2024.

Di majlis itu, Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman, berkata lebih banyak tenaga sukarelawan diperlukan bagi program yang dijalankan M³, termasuk Projek Dian – daya usaha yang menawarkan bantuan menyeluruh bagi mendorong keluarga memiliki rumah sendiri.

Pengerusi M³@Bedok, Encik Mohamed Raihan Hafidz Mohd Rafiek, berkata beliau telah melihat minat yang meningkat dalam kesukarelawanan, khususnya dalam kalangan belia dan karyawan Melayu/Islam.

Antara belia yang aktif menyumbang masa dan tenaga ialah ketua bersama pasukan #Ampowered di M³@Pasir Ris-Punggol, Cik Nurul Atiqah Dzulqarnain.

Jurutera penyelidikan kanan berusia 32 tahun itu berkata beliau memilih menyumbang masa dan tenaga bersama M³ kerana mahu mencipta peluang saksama untuk pelajar Melayu/Islam dalam semua industri.

Beliau merupakan anggota aktif pasukan itu sepanjang dua tahun lalu.

“Menerusi kerja ini, saya berharap dapat memperkasa generasi seterusnya untuk menyedari potensi mereka dan berjaya merentas bidang yang pelbagai,” katanya.

Namun tidak semua relawan adalah relawan aktif.

Encik Muhammad Harmizan berkata M³@Woodlands mempunyai sekitar 46 relawan yang termasuk karyawan seperti peguam, penasihat kewangan, akauntan, guru dan pengerusi masjid, tetapi sekitar 30 peratus mereka merupakan relawan aktif.

Ditanya apakah susah untuk mendapatkan relawan menyertai M³, beliau berkata: “Ia tidak susah kerana M³ telah melakukan tugas yang sangat baik untuk memastikan orang ramai tampil untuk menjadi relawan. Masalahnya adalah untuk mengekalkan mereka.”

“Cabarannya adalah bagaimana kita memberi mereka wadah, untuk memastikan niat dan aspirasi mereka sebagai relawan M³ dapat dicapai,” kata Encik Muhammad Harmizan, sambil menambah antara cara beliau mengekalkan relawannya adalah dengan memastikan terdapat dana untuk menyokong kegiatan yang diusulkan relawan seperti pengagihan habuan Ramadan kepada keluarga memerlukan.

TINGKATKAN KEMAMPANAN

Cik Nurul Atiqah berkata sedang M³ yang didukung tenaga relawan mencerminkan semangat masyarakat dan dedikasi yang kukuh, untuk kemampanan jangka panjang, adalah penting untuk terus menyokong dan membangunkan relawan.

“Memberi latihan, pengiktirafan dan peluang pertumbuhan boleh membantu mengekalkan dan mendorong mereka,” kata Cik Nurul Atiqah.

“Selain itu, mengekalkan keseimbangan antara kesukarelawanan dan pasukan karyawan teras mungkin penting untuk memastikan kesinambungan, pengembangan skala dan kesan inisiatif M³ dari masa ke semasa,” tambahnya.

Sependapat, penganalisis kanan Hal Ehwal Antarabangsa di Solaris Strategies, Dr Mustafa Izzuddin, berkata keseimbangan lebih baik antara kakitangan sepenuh masa dengan relawan dapat membantu M³ menjadi lebih mampan.

Pemerhati masyarakat, Encik Azmoon Ahmad, pula berpendapat M³ perlu diinstitusikan demi menjamin kemampanannya.

“Cara kita menangani isu perlu disatukan, disepadukan dan diselaraskan. Kita harus menanganinya di peringkat kebangsaan dan mesti diketuai oleh pegawai peringkat tinggi,” kata mantan pengerusi Angkatan Karyawan Islam (AMP) itu.

BERI SOKONGAN, LATIHAN BERTERUSAN

Bagaimanapun, Presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), Dr Syed Harun Taha Alhabsyi, berpendapat M³ yang dikendalikan rata-rata oleh relawan bukanlah keprihatinan besar terhadap kemampanan, malah adalah sesuatu yang positif.

“Ini bermakna terdapat minat yang besar dalam masyarakat tentang isu-isu ini. Terdapat keprihatinan terhadap mahu menanganinya secara organik dan anggota masyarakat, terutama karyawan, dan pertubuhan masyarakat, mempunyai keprihatinan yang mendalam terhadap usaha ini. Inisiatif tentunya boleh menjadi lebih mampan apabila ia dapat menumpang pada isu yang menjadi keprihatinan orang ramai,” kata Anggota Parlimen Dilantik (NMP) itu.

Turut membantu ialah Muis, Mendaki dan Mesra sebagai institusi utama dalam M³ dan menjadi saluran bagi kesukarelawanan dan tindakan bagi isu berkaitan masyarakat, kata Dr Syed Harun lagi.

“Ia adalah perkongsian sektor awam dan sektor rakyat yang boleh terus berkembang dan kukuh dari masa ke semasa. Jika ini dapat disokong lagi oleh perniagaan dan perkongsian sektor swasta, usaha terkumpul daripada sektor awam, swasta dan rakyat boleh memacu perubahan dengan lebih kuat untuk masyarakat,” tambahnya.

Kebanyakan relawan bekerja dan mempunyai komitmen masing-masing, kata pengasas Nusantara Connect, Dr Mohamad Shamsuri Juhari, yang percaya golongan ini perlu pengiktirafan secara konsisten untuk mengekalkan motivasi menjadi relawan.

Pengerusi M³@Tampines, Encik Jamaludin Saad, berkata mengekalkan momentum relawan dan memastikan mereka kekal terdorong antara cabaran yang dihadapinya semasa menjalankan program.

Berkongsi pendapat, Encik Azuan berkata bagi memastikan kemampanan M³, tumpuan perlu diberikan kepada membangunkan rangkaian relawan yang teguh dengan latihan berterusan untuk relawan dan ketua bagi memastikan mereka dilengkapi dengan baik untuk menjalankan peranan mereka.

Terdapat juga cabaran untuk memastikan kesinambungan dan mengelakkan keletihan, yang memerlukan perancangan teliti dan bertanya khabar yang kerap dengan sukarelawan kami untuk memahami keperluan mereka dan memberikan sokongan,” katanya.

Mengekalkan motivasi dan penglibatan sukarelawan adalah penting, kata beliau.

“Sukarelawan perlu merasakan usaha mereka memberi kesan dan dihargai.”

“Sukarelawan menggalas pelbagai peranan, daripada merancang dan melaksanakan acara kepada membimbing belia dan memberi sokongan pentadbiran. Komitmen masa berbeza-beza, dengan sesetengah mereka memperuntukkan beberapa jam setiap minggu manakala yang lain lebih terlibat secara ad hoc.”
Pengerusi M³@Pasir Ris-Punggol, Encik Azuan Tan.

“...M³ telah berjaya merekrut relawan lebih muda untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dan penduduk. Jika kita menginstitusikannya, ia akan menjadi satu lagi persatuan. Ia tidak akan mewujudkan wadah untuk mereka turun padang dan menjadi relawan di MAEC (Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu) atau akar umbi.”
Timbalan pengerusi M³@Woodlands, Encik Muhammad Harmizan Abdul Hamid.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg