Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Krisis kemanusiaan tanpa penghujung

Rakyat S’pura tunjuk kawalan perasaan yang patut dipuji, kongsi kesedihan atas kehilangan nyawa walau ada pelbagai perspektif berbeza
Oct 6, 2024 | 5:30 AM
Penduduk Gaza tinggal di khemah yang didirikan berdekatan bangunan yang runtuh dek serangan. Sepanjang setahun lalu, lebih 1.9 juta orang awam telah kehilangan tempat tinggal.
Penduduk Gaza tinggal di khemah yang didirikan berdekatan bangunan yang runtuh dek serangan. Sepanjang setahun lalu, lebih 1.9 juta orang awam telah kehilangan tempat tinggal. - Foto AFP

Konflik di Palestin telah berterusan selama beberapa dekad tetapi keganasan dan kemusnahan sejak 7 Oktober 2023 telah melampaui segala yang kita lihat sebelum ini.

Sepanjang 12 bulan lalu, lebih daripada 1.9 juta orang awam telah kehilangan tempat tinggal dan menghadapi kekurangan akses kepada makanan, minuman dan rawatan perubatan.

Puluhan ribu orang telah kehilangan nyawa dan banyak bandar dan perumahan telah musnah.

Pertembungan saban generasi ini terus memusnahkan kehidupan dengan tiada penghujungnya.

Jalan menuju damai yang jauh dan sempit

Dalam sidang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini, Singapura bersama 123 negara lain untuk mengundi satu ketetapan tidak mengikat yang menyeru Israel – dalam tempoh 12 bulan – supaya menamatkan penjajahannya di Palestin, menarik balik petempatan haram dan membolehkan satu penyelesaian dua negara mengikut sempadan yang wujud sebelum 1967.

Namun, sekalipun ketetapan itu wajib dipatuhi, hanya segelintir orang yang menjangkakan Israel mematuhinya.

Negara tersebut telah mengambil sikap tegas terhadap Hamas dan negara-negara jirannya.

Akibatnya, rundingan untuk meredakan ketegangan nampaknya bak ditakdirkan gagal dari awal lagi.

Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu, telah menekankan tekadnya untuk menghapuskan kawalan ketenteraan dan politik Hamas di Gaza.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Encik Matthew Miller, berkata Amerika sentiasa komited terhadap kemusnahan Hamas walaupun negara itu menyeru gencatan senjata di Gaza pada masa yang sama.

Kedudukan pelik seperti itu telah mengundang kritikan kepura-puraan atau hipokrasi.

Walaupun pencegahan ketenteraan yang kuat adalah penting untuk keselamatan dan kedaulatan sesebuah negara, usaha Israel mengejar penguasaan ketenteraan dan kawalan mutlak ke atas jirannya, termasuk rakyat di bawah penjajahan haramnya, telah melampaui batas.

Penggunaan kuasa yang tidak seimbang dan tindakan provokatif wakilnya di PBB telah menyumbang kepada pengasingan yang mendalam.

Malah, minggu ini, Israel telah mengasingkan diri secara diplomatik dengan menyifatkan Setiausaha Agung PBB sebagai persona non grata (orang yang tidak boleh diterima) dan menghalangnya daripada memasuki negara itu.

Tidak ada faedah strategik untuk Israel jika ia meneruskan jalan pengasingan dan hasutan ini.

Pertentangan dan pergolakan yang terus meningkat di rantau ini tidak akan berakhir.

Kebuntuan diplomatik dalam PBB juga akan terus menghakis keyakinan orang ramai terhadap kerjasama antarabangsa dan melemahkan kepercayaan terhadap undang-undang antarabangsa, sehingga merugikan negara lain seperti Singapura yang bergantung pada sistem global berasaskan peraturan.

Kepercayaan Pada Jiran

Penyair terkenal Robert Frost pernah menulis bahawa “pagar yang baik menjadikan jiran yang baik” (good fences make good neighbours) tetapi beliau juga memberi amaran bahawa tembok tidak harus dibina begitu tinggi sehingga menghalang kita daripada bertemu orang lain.

Israel menegaskan bahawa tindakannya perlu untuk mempertahankan diri.

Namun, pendekatannya yang tidak bertolak ansur meninggalkan kekurangan ruang untuk membina semula kepercayaan dengan jirannya.

Pemimpin politik sedunia mesti mempunyai keberanian membuat keputusan yang sukar demi keamanan, walaupun pilihan itu tidak popular.

Dengan semangat itu, Menteri Luar Jordan, Encik Ayman Safadi, menekankan bahawa 57 negara Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan menjamin keselamatan Israel jika ia membenarkan penubuhan negara Palestin pada garisan sempadan yang dibuat sebelum 1967.

Walaupun ini mungkin mencetuskan tentangan, kadangkala kesanggupan mengambil risiko adalah harga yang perlu dibayar demi keamanan.

Malangnya, Encik Netanyahu, yang amat bergantung pada konflik berterusan untuk mengekalkan pakatan sayap kanannya yang rapuh menyebabkan sebarang usaha ke arah keamanan sesuatu yang tidak mungkin berlaku.

Keputusannya baru-baru ini untuk menghantar tentera Israel untuk menyerang Lebanon melalui darat telah meningkatkan penilaian popularitinya dalam negeri.

Selagi pemimpin politik di rantau ini kekal bersikap keras, konflik akan berterusan.

Ambil Iktibar

Keadaan di Timur Tengah tidak menentu dan ketegangan boleh melanda Singapura jika kita tidak berhati-hati, terutamanya jika konflik terus meningkat dan garis agama diapi-apikan.

Prinsip mempunyai kepercayaan kepada jiran kita adalah sesuatu yang mesti kita pegang.

Bukan sahaja masyarakat Melayu-Islam yang merasakan kesan emosi akibat konflik itu, malah ramai orang bukan Melayu dan bukan Islam juga amat prihatin dan melihat konflik di Palestin sebagai krisis kemanusiaan dan bukan semata-mata sebagai krisis agama atau perkauman.

Contohnya, pada 20 April 2024, Editor Bersekutu, Encik Peter Ong, menulis artikel yang menarik untuk akhbar Lianhe Zaobao yang mengecam penderitaan di Gaza dan membuat persamaan dengan kejadian pembunuhan beramai-ramai atau ‘genocide’ yang pernah berlaku dalam sejarah manusia.

Sokongan kemanusiaan untuk Palestin telah datang daripada pelbagai masyarakat di Singapura.

Kumpulan-kumpulan bukan Melayu dan bukan Islam telah menyumbang kepada Inisiatif Bantuan Kemanusiaan untuk Gaza oleh Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).

Meskipun rakyat Singapura mungkin mempunyai pandangan yang berbeza mengenai konflik itu, kebanyakannya berkongsi kesedihan yang sama atas kehilangan nyawa.

Walaupun mengalami tekanan emosi yang berat, rakyat Singapura telah menunjukkan kawalan perasaan yang patut dipuji, menghormati kedaulatan undang-undang dan kepelbagaian perspektif orang lain dalam masyarakat kita.

Ini mencerminkan kematangan dan perpaduan yang kita perjuangkan.

Walau bagaimanapun, kita harus berusaha untuk menjadi sebuah negara yang lebih tangguh dan berdaya tahan, agar pencetusan rasa perpaduan yang berbeza dapat diungkapkan dalam ruang-ruang yang selamat.

Apabila kita merendahkan tembok kita dan mempercayai jiran kita, kita akan mendapati bahawa sebenarnya kita tidak begitu berbeza.

Penulis ialah seorang peguam dan pemimpin masyarakat dan bekerjasama dengan Roses of Peace untuk memperjuang keamanan dan keharmonian sosial.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg