Ramai dalam masyarakat Melayu/Islam terlalu bergantung pada faraid dan belum membuat perancangan secukupnya bagi pembahagian harta apabila mereka meninggal dunia.
Ini walaupun pemahaman masyarakat mengenai faraid, iaitu hukum Islam berhubung pewarisan harta pusaka, berada pada tahap berbeza-beza dan sebahagian besar tidak tahu tentang kewujudan perancangan harta lain yang dibenarkan Islam.
Dalam satu tinjauan yang dijalankan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) baru-baru ini, 64 peratus peserta tinjauan berkata selain faraid, mereka tidak tahu tentang cara perancangan harta lain yang dibenarkan Islam.
Keadaan ini membimbangkan, kata Timbalan Pengarah Dana Masyarakat Muis, Encik Shamsul Hadi Jangarodin.
Menurut beliau, sikap bergantung sepenuhnya pada faraid untuk pengagihan harta setelah kematian boleh mengundang komplikasi, selain menghalang orang tersayang yang bukan ahli waris daripada menerima sebarang harta.
Memberi contoh, Encik Shamsul berkata anak angkat, pak cik atau mak cik yang disayangi tetapi bukan tergolong dalam kalangan penerima faraid si mati tidak akan mendapat sebarang bahagian jika si mati tidak membuat perancangan harta yang melibatkan mereka.
Pada masa yang sama, faraid mengambil kira peruntukan yang tetap.
“Bagaimana pula kalau seseorang itu mempunyai anak istimewa... seorang anak istimewa wanita yang memerlukan perbelanjaan lebih tinggi berbanding abangnya yang dapat lebih (berdasarkan faraid) tapi abangnya mungkin lebih senang?
“Saya rasa, bagi pihak Muis, dasar kami ialah kami ingin memastikan masyarakat kita diberikan ilmu yang mencukupi untuk membuat perancangan sebelum faraid itu sendiri dikuatkuasakan apabila mereka meninggal dunia,” kata beliau lagi.
Encik Shamsul berkata demikian semasa perbincangan mengenai topik perancangan harta dalam sesi temu bual video-podcast (vodcast) Berita Harian, Temu Bual BH (tBH) baru-baru ini.
Vodcast tBH itu turut melibatkan Anggota Jawatankuasa Fatwa Muis, Ustaz Fathurrahman Dawoed, dan peguam Encik Imran Rahim, seorang rakan kongsi di Eldan Law LLP.
Encik Imran juga pengerusi, PEGUAM SG, iaitu kumpulan yang menghimpunkan karyawan bidang guaman untuk berkhidmat untuk masyarakat Melayu/Islam.
Ustaz Fathurrahman berkata ada segolongan masyarakat menganggap cara pembahagian harta yang tidak mengikut faraid “tidak mengikut ajaran Islam atau tak boleh”.
Tanggapan tersebut adalah salah, kata beliau.
“Yang lain itu pun diajarkan oleh Islam, dan bagi saya apabila kita melihat satu tanpa melihat yang lain, kita bertanggungjawab kerana tidak berlaku adil kepada sistem itu sendiri.
“Mungkin disebabkan kita dah tahu faraid itu terlalu popular dan dikenali oleh semua, masyarakat menyangka ia satu-satunya cara perancangan harta dalam Islam, sedangkan banyak lagi cara lain yang boleh dilakukan.
“Faraid itu adalah yang terakhir... kalau kita tak benar-benar peka dan memanfaatkan cara lain yang ada, kita akan dilihat sebagai tidak adil ataupun cara perancangan itu sendiri dilihat sebagai tidak adil.
“Sebenarnya... kita yang menggunakan cara perancangan itu yang tidak peka, tidak pandai dan tidak merancang dengan baik.”
“Bagi saya... sepatutnya kita menggunakan cara-cara yang lain supaya kita dapat merancang dengan baik,” ujarnya.
Ustaz Fathurrahman berkata selain faraid, seseorang itu boleh memanfaatkan wasiat, hibah (hadiah) atau nuzriah (nazar) dalam pembahagian hartanya.
Faraid merupakan peraturan syarak yang mengaturkan pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang.
Ahli waris yang berhak menerima harta daripada pembahagian faraid akan mendapat pembahagian tetap berdasarkan apa yang telah disebut dalam Al-Quran dan hadis.
Hibah ialah hadiah yang diperuntuk oleh seseorang semasa hayatnya kepada orang lain.
Sebagai contoh, pencalonan CPF dianggap sebagai hibah dan seseorang boleh mencalonkan seseorang atau pihak tertentu sebagai penerima hadiah ini apabila anda meninggal dunia. Malah, pencarum CPF boleh membuat pencalonan CPF untuk diberikan kepada Wakaf Masyarakat Singapura, masjid-masjid atau dana madrasah.
Nuzriah pula ialah ikrar atau nazar yang dilakukan oleh seseorang sebelum meninggal dunia, untuk memberikan semua atau sebahagian harta kepada pihak lain.
Dalam pada itu, menjawab soalan yang diajukan BH, seorang jurucakap Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF) berkata secara amnya, hanya 36 peratus pencarum CPF berusia 16 hingga 64 tahun sudah membuat pencalonan.
Pencalonan CPF membolehkan seseorang pencarum CPF memperuntuk jumlah simpanan CPF yang ingin diberikan kepada pihak-pihak tertentu selepas pencarum CPF itu meninggal dunia.
Pencalonan CPF, mengikut fatwa Muis yang disemak Jawatankuasa Fatwa pada 2010, boleh dianggap sebagai hibah kerana ia dilakukan oleh pencarum CPF semasa hayatnya.
Menurut fatwa tersebut: “Jawatankuasa Fatwa berpendapat juga bahawa sistem nominasi boleh dianggap sebagai hibah kerana ia dibuat sewaktu si pencarum masih hidup... Maka apabila pencarum membuat nominasi secara rasmi, ia merupakan satu bukti jelas tentang kesungguhan pencarum dan janjinya untuk memberi wangnya kepada nominee.”
Fatwa itu juga berkata simpanan CPF akan diagihkan mengikut faraid jika pencarum tidak membuat sebarang pencalonan.
Selaras dengan ini, jurucakap CPF berkata:
“Simpanan CPF yang dicalonkan tidak akan diagihkan semula mengikut faraid. Anggota Muslim yang lebih suka mengikut undang-undang faraid masih digalakkan membuat pencalonan CPF dengan menyatakan waris faraid mereka serta bahagian masing-masing yang sewajarnya.
“Ini membolehkan mereka melangkau proses pewarisan di bawah Mahkamah Syariah dan pengamanah awam (Public Trustee), menjimatkan kos pentadbiran,” ulas jurucakap tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg