Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perancangan harta: Ada wasiat, hibah, nuzriah  

Ramai yang pernah dengar mengenai perancangan harta, tetapi berapa ramai yang benar-benar tahu tentang perkara ini dan telah mengorak langkah pertama untuk membuat perancangan harta dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam di sini? Tiga pakar dalam bidang masing-masing telah menyertai perbincangan dengan Berita Harian mengenai topik ini.
Jul 20, 2024 | 5:30 AM
(Dari kiri) Peguam dan pengerusi, PEGUAM SG, Encik Imran Rahim; Koresponden BH, Cik Nur Fathin Awalludin dan Encik Anwar Saleh; Anggota Jawatankuasa Fatwa Muis, Ustaz Fathurrahman Dawoed; dan Timbalan Pengarah Dana Masyarakat, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Shamsul Hadi Jangarodin, membincangkan tentang isu perancangan harta dalam ‘vodcast’ Temu Bual BH (tBH).
(Dari kiri) Peguam dan pengerusi, PEGUAM SG, Encik Imran Rahim; Koresponden BH, Cik Nur Fathin Awalludin dan Encik Anwar Saleh; Anggota Jawatankuasa Fatwa Muis, Ustaz Fathurrahman Dawoed; dan Timbalan Pengarah Dana Masyarakat, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Shamsul Hadi Jangarodin, membincangkan tentang isu perancangan harta dalam ‘vodcast’ Temu Bual BH (tBH). - Foto BH oleh FAKHRURADZI ISMAIL

Sebahagian masyarakat Melayu/ Islam di sini enggan menulis wasiat atau membuat perancangan harta lain di luar faraid kerana mereka menganggap faraid sebagai satu-satunya cara perancangan harta yang dibenarkan dalam Islam.

Ini lebih-lebih lagi jika istilah yang digunakan tidak biasa didengar atau bukan dalam bahasa Arab, misalnya ‘deed’ atau surat ikatan, kata Anggota Jawatankuasa Fatwa Muis, Ustaz Fathurrahman Dawoed.

Menjelaskan lebih lanjut, Ustaz Fathurrahman berkata selain faraid, seseorang itu boleh memanfaatkan wasiat, hibah (hadiah) atau nuzriah (nazar) dalam pembahagian hartanya.

Oleh itu, tidak semuanya harus dibiarkan kepada faraid sahaja. Malah, seseorang itu boleh dan patut menggunakan cara lain supaya mereka dapat merancang dengan lebih baik, katanya.

Deed itu mungkin istilah yang digunakan dari sudut undang-undang dan apabila kita cakap tentang istilah-istilah lain seperti nomination dan sebagainya, ia agak janggal dalam kalangan masyarakat kita – dia tak guna istilah Arab jadi orang cakap macam bukan Islamik, sedangkan instrumen-instrumen tersebut ada (dalam Islam),” ujar Ustaz Fathurrahman.

“Sebab masyarakat lebih faham kepada faraid. Jadi, mereka rasa sesiapa yang menggunakan selain faraid sudah tidak mengikut ajaran Islam, tak boleh dan sebagainya. Sebenarnya salah – yang lain itu pun adalah dalam ajaran Islam,” tambah beliau.

Namun, Ustaz Fathurrahman akur ada segelintir masyarakat yang tidak setuju dengan kaedah perancangan harta selain faraid dan bertegas mahu hanya menggunakan faraid sahaja.

Ini mungkin disebabkan mereka kurang peka tentang adanya kaedah lain. Ada juga pandangan ulama yang berbeza.

Kata Ustaz Fathurrahman: “Satu-satunya yang mereka tahu ialah faraid, jadi selain daripada faraid ialah istilah yang pelik bagi mereka”.

“Yang kedua, kerana dalam pandangan mengenai hibah, nuzriah dan sebagainya, ada pandangan ulama yang berbeza. Jadi, orang akan pilih, aku nak ambil pandangan ini, aku ambil pandangan itu dan sebagainya. Jadi itu pun memberikan pandangan yang pelbagai dalam masyarakat.

“Tapi dalam suatu negara, kita ada Jawatankuasa Fatwa yang memberikan irsyad dan memberikan fatwa kepada masyarakat. Itu sepatutnya menjadi rujukan kepada masyarakat kita.

“Kalau fatwa dah mengatakan boleh, boleh. Sebagai seorang individu, anda tak nak (mengikut fatwa), itu pilihan anda,” jelas Ustaz Fathurrahman dalam ‘vodcast’ Temu Bual Berita Harian (tBH) mengenai perancangan harta baru-baru ini.

Vodcast tersebut turut disertai Timbalan Pengarah Dana Masyarakat, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Shamsul Hadi Jangarodin; peguam yang juga Rakan Kongsi, Eldan Law LLP serta Pengerusi, PEGUAM SG, Encik Imran Rahim; serta dua koresponden Berita Harian, Encik Anwar Saleh dan Cik Fathin Awalludin.

Menyertai perbincangan, Encik Imran berkata wadah perancangan harta lain seperti pencalonan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan pencalonan insurans harus diambil kira seseorang yang mahu membuat perancangan harta.

Muis telah mengeluarkan fatwa menyatakan bahawa pencalonan CPF dan insurans boleh dianggap sebagai hibah.

Encik Shamsul berkata fatwa tersebut antaranya dikeluarkan kerana Muis banyak menerima soalan berkaitan faraid dan harta daripada anggota masyarakat.

“Saya berani katakan lebih daripada 50 peratus (soalan yang diajukan kepada Muis) merupakan soalan tentang faraid.

“Masyarakat kita jarang berbincang tentang faraid sebab ia sering dikaitkan dengan kematian – tabu, tak nak berbual. Tiba-tiba apabila seseorang meninggal, topik ini ditimbulkan. Apabila topik ini ditimbulkan, ia menjadi satu topik yang tak banyak orang arif tentangnya,” kata Encik Shamsul.

“Kalau kita tak rancang semasa kita hidup, apabila kita mati, orang lain yang rancangkan untuk kita dan tak semestinya orang yang rancang itu ikut apa yang dikehendaki oleh kita semasa kita hidup. Itu menjadi satu masalah.

“Itu implikasinya kalau kita tak buat perancangan warisan lebih awal.”

Hak Milik Rumah

Dalam pada itu, topik pemilikan rumah juga antara yang menarik perhatian dalam perbincangan mengenai perancangan harta.

Selain seringkali merupakan aset paling besar yang dimiliki seseorang, perancangan teliti berkaitan rumah juga penting dalam situasi seseorang itu mempunyai tanggungan yang memerlukan penjagaan dan perlindungan yang lebih, contohnya, seorang anak istimewa.

Di Singapura, rata-rata ada dua jenis hak milik rumah – hak milik bersama atau joint tenancy; dan hak umum atau tenancy in common.

Dua hak pemilikan berbeza ini perlu diambil kira dalam hal perancangan harta, kata Encik Imran.

Jika rumah dimiliki bersama, maka setelah kematian satu pemilik, rumah tersebut akan secara automatik menjadi milik pemilik yang masih hidup.

Namun, jika rumah itu dimiliki secara hak umum, setelah kematian satu pemilik, peratusan atau bahagian pemilik itu akan terjejas.

“Peratusan terjejas itu akan dibahagikan mengikut apa-apa wadah yang mahu digunakan, sama ada wasiat atau ikut hukum faraid,” kata Encik Imran.

“Jadi kalau kita nak rancang bagaimana membahagikan harta kita kepada ahli keluarga, kita harus mengambil kira juga cara rumah kita dimiliki.”

Berhubung perancangan harta melibatkan hak milik rumah apabila seseorang mempunyai tanggungan atau anak istimewa, Encik Imran berkata:

“Kita perlu fikirkan macam mana kita boleh menstrukturkan pemilikan rumah itu supaya kita dapat memberi manfaat kepada individu itu sebab dia pun mungkin tak dapat jadi pemilik rumah tersebut.

“Matlamat keseluruhan kita adalah bagaimana kita boleh memberi manfaat kepada ahli keluarga tanpa merumitkan kehidupan mereka setelah sesuatu terjadi kepada kita,” ujar Encik Imran.

Bersependapat, Ustaz Fathurrahman berkata: “Itulah sebenarnya objektif syariah.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg