Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Lebih 3 dekad sibuk kerja... dah bersara nak buat apa?

Sep 17, 2023 | 05:32 AM



Pada 12 Ogos lalu, saya mengejutkan isteri dan anak saya dari tidur awal pagi demi menghadiri satu acara yang saya rasa agak penting.

Ia merupakan kali terakhir keluarga kami menghadiri Hari Keluarga Polis di Ibu Pejabat Divisyen Polis Bedok kerana ayah saya besar kemungkinan akan bersara pada 2024.

Anak saya, berusia dua tahun juga turut menghadiri acara itu untuk cuba memegang pistol betul – dipanggilnya bang bang – dengan datuknya, yang sudah mencecah usia layak bersara di bawah skim pencen lama.


Sewaktu saya dan ibu, serta seorang adik menjamu selera mi siam yang disediakan sebagai jamuan tetamu acara sederhana itu, kami memerhatikan ayah sedang mengambil ‘selfie’ dengan rakan kerjanya.

“Sedih juga, papa akan meninggalkan dunia ini tidak lama nanti,” kata adik saya.

Kami, satu keluarga empat beradik melihat sekeliling tempat acara dengan teman polis ayah kelihatan sibuk bertugas serta kenderaan polis yang disediakan sebagai pertunjukan kepada tetamu.

Ayah saya sudah bekerja dalam Pasukan Polis Singapura melebihi tiga dekad.

“Itulah. Mama tengok pun mama sedih,” kata ibu saya.

“Mama pun tak tahu apa nak buat lepas dah berhenti kerja nanti,” ujarnya lagi yang bekerja dalam bidang kewangan.

Membesar dalam keluarga berpendapatan pertengahan di Pasir Ris, rutin harian yang sibuk dengan kerja adalah sebahagian besar identiti dan kehidupan kami.

Pada awalnya apabila ayah mengumumkan niatnya bersara selepas akhirnya dinaikkan pangkat daripada Inspektor Balai Kanan kepada Inspektor dua tahun lalu, kami sekeluarga rasa gembira.

“Sudahlah pa. Sudah masanya untuk papa rehat,” kata adik kedua saya.

Namun kini, saya dan adik-beradik pula mengalami sedikit keraguan.

Apa yang akan ibu bapa saya – masing-masing berusia 56 dan 54 tahun kini dan telah sibuk bekerja seumur hidup demi menyara keluarga – lakukan apabila mereka bersara nanti.

Di Singapura yang penduduknya kian menua, dijangkakan dalam setiap kumpulan empat individu di Singapura, akan terdapat seorang yang berusia melebihi 65 tahun menjelang 2030.

Menurut satu artikel Forbes, terdapat perbezaan besar daripada rasa puas selepas bersara dan rasa puas semasa bersara.


Artikel oleh jurulatih persaraan itu menyatakan antara cabaran besar dihadapi mereka yang telah bersara adalah: kekurangan interaksi sosial; kurang arah tuju dalam hidup; perasaan seolah anda telah mencapai ke puncak jaya dan tidak ‘diperlukan’ serta rasa seolah diri terputus daripada komuniti sejagat.

Malah, ketika bahas Belanjawan 2023, Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh – menyentuh tentang isu perumahan, persaraan dan kenaikan kos sara hidup – beliau telah memberi amaran terhadap kemunculan ‘dua Singapura’. Sedang Singapura berkembang rancak menjadi hab ekonomi dan kewangan, akan wujud dua kumpulan warga iaitu satu menikmati keuntungan kejayaan negara dan hidup mewah dan satu yang akan rasa ketinggalan.

Saya tertarik dengan kenyataannya bahawa Singapura “tiada kampung untuk kami berehat, di mana arus hidup lebih perlahan dan harga barangan lebih rendah dari kota”.

Jadi ia menimbulkan soalan bagaimana orang tua kami dapat betul-betul berehat di sini? Dan adakah golongan pesara di sini akan rasa seolah diri mereka ‘terperangkap’ dalam negara yang rancak membangun. Mungkin hal ini lebih perit bagi golongan yang belum lagi mencapai taraf kewangan stabil apabila hendak bersara nanti.

Mujur pemerintah berikrar menawarkan bantuan menyeluruh bagi warga emas, dari segi kewangan, kesihatan dan sokongan pada usia lanjut.

Salah satu contoh adalah pada Rapat Hari Kebangsaan lalu di mana Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan Pakej Majulah – warga berusia 50 tahun dan ke atas tahun ini dan daripada golongan pendapatan rendah dan pertengahan akan menerima lebih banyak bantuan dalam bentuk tokokan Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

Diharapkan dengan bantuan itu, pesara di sini dapat menghela nafas lega kerana sedikit sebanyak ada bantuan kewangan untuk mengurangkan beban perbelanjaan.

Namun, adakah wang itu segala-galanya?

Kami bersyukur, sehingga kini ibu dan ayah sihat. Mereka ada rumah dan anak-anak yang mempunyai pekerjaan stabil untuk saling membantu sekiranya terjadi apa-apa.

Saya cuma risau, apa yang boleh membuat mereka kekal rasa puas dalam zaman keemasan mereka ini, sedang mereka dahulu banyak bercerita tentang pencapaian masing-masing di pejabat.

Kami empat beradik, satu-satu sudah berkahwin. Seorang adik saya sendiri baru sahaja berpindah minggu lalu selepas bernikah. Rumah semakin sepi.

Ada yang menyarankan untuk mendapatkan kerja kurang sibuk atau pekerjaan sambilan.

Ada juga yang menggalakkan untuk menyertai skim bagi menggalak penyertaan warga emas kembali bekerja.







Kata ibu, beliau ada hasrat membeli rumah di Johor Baru dan berehat di situ, tetapi takut ia terlalu jauh daripada anak dan cucu. Ayah saya pula hendak ‘bertugas’ sepenuh masa sebagai pengasuh cucu.

Mereka pula sedang merancang memulakan perniagaan dari rumah (HBB) dengan menjual makanan dan ayah saya sibuk melatih diri menyediakan platter keju untuk acara keluarga.


Apa-apa pun, kami sekeluarga sehati dan akan sudi membantu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >