Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid Daerah Utara berwawasan bina ummah cemerlang

Jan 24, 2025 | 5:21 AM
Superintenden Daerah Masjid (Daerah Utara), Encik Yacob Ahmad (dua dari kiri), sedang berbual dengan jemaah dan kakitangan Masjid An-Nahdhah.
Superintenden Daerah Masjid (Daerah Utara), Encik Yacob Ahmad (dua dari kiri), sedang berbual dengan jemaah dan kakitangan Masjid An-Nahdhah. - Foto oleh MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA (MUIS)

Selain dapat menawarkan pembelajaran Islam dan program dakwah, masjid berperanan memberi sokongan dan bantuan kepada pembangunan sosial masyarakat Islam.

Ini diharap dapat membantu membina sifat dan peradaban individu, sekali gus menyumbang kepada kejayaan masyarakat Islam di Singapura. 

Wawasan itu telah mendorong Superintenden Daerah Masjid (Daerah Utara), Encik Yacob Ahmad, 57 tahun, membuat permohonan untuk berkhidmat di masjid sepenuh masa selepas beliau mengakhiri kerjayanya sebagai pegawai kanan tentera selama 31 tahun.

Encik Yacob menyertai Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada Julai 2018 dan mula bekerja sebagai Pengerusi Eksekutif Masjid di Masjid Al-Iman dan Masjid Al-Khair. 

Kini, sebagai Superitenden Daerah Masjid (Daerah Utara), beliau menggalas tanggungjawab memantau 16 masjid di daerah utara seperti Masjid Abdul Hamid Kampung Pasiran, Masjid Ahmad Ibrahim dan Masjid Darul Makmur.

“Di masjid-masjid daerah utara, kami mahu masyarakat Islam berkembang maju dalam tiga perkara yang dipanggil 3 ‘A’ iaitu akhlak, adab dan amanah,” kata Encik Yacob. 

Ini boleh dicapai menerusi kegiatan yang membina perwatakan pelajar kanak-kanak dan belia di tingkat prasekolah, tadika atau madrasah masjid di daerah utara, manakala pihak masjid juga menawarkan program pembangunan akhlak buat golongan dewasa.

Dengan membantu masyarakat Islam membina akhlak, adab dan amanah, ia juga sejajar dengan misi Muis mencorak masyarakat Islam yang cemerlang menerusi program pembangunan sosial dan penglibatan masyarakat.

Encik Yacob juga meluangkan masa membina rangkaian bersepadu bersama agensi pemerintah dan institusi masyarakat lain seperti Biro Narkotik Pusat (CNB), Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam, persatuan akar umbi, M Kuasa Tiga (M³). 

Menurut Encik Yacob, usaha menawarkan khidmat masjid yang lebih bersepadu itu penting demi memenuhi pelbagai keperluan masyarakat masa kini kerana profil jemaah yang kian berubah.

Selain golongan warga emas, jemaah turut terdiri daripada keluarga muda yang masih mempunyai anak-anak kecil, masyarakat Islam yang bukan Melayu dan pekerja migran.

Lantaran itu, masjid menawarkan program seperti Program Bersamamu, satu inisiatif di bawah M³ yang menyokong perkahwinan, keibubapaan, dan pembangunan awal kanak-kanak.

Baru-baru ini, Masjid Al-Muttaqin dengan kerjasama Ma:een dan Pusat Penuaan Aktif Muhammadiyah, juga memperkenalkan Program Santunan Emas, khusus untuk warga emas berusia 50 tahun ke atas.

Program tersebut membolehkan jemaah warga emas mengikuti kuliah, ‘300 Hadith Bimbingan’, oleh mantan Mufti, Ustaz Mohamed Fatris Bakaram. Jemaah kemudian dapat menyertai sesi senaman Active Aging yang dibimbing oleh Pusat Penuaan Aktif Muhammadiyah. 

Selain itu, masjid-masjid di daerah utara turut memberi sokongan kepada keluarga pesalah dan mengintegrasikan pekerja asing ke dalam rangkaian masjid.

Kata Encik Yacob, sektor masjid mempunyai pemimpin masjid yang berkebolehan dan berdedikasi untuk mentadbir masjid-masjid, termasuk dalam tempoh krisis yang mencabar.

“Sebagai pemimpin masjid, kita bekerja atas dasar amanah, saling menghormati dan manfaat bersama, disokong oleh kecekapan yang diperlukan, rasa tujuan dan perkongsian nilai perkhidmatan kepada masyarakat,” kata Encik Yacob. 

Beliau menambah sektor masjid perlu mewujudkan keperluan untuk menyesuaikan diri dan menerima langkah dan norma baru bagi menghadapi landskap kehidupan sosial dan agama yang sentiasa berubah.

Sebagai contoh, semasa pandemik Covid-19, sektor masjid terus mendekati jemaah dan mengurangkan kesan pengasingan menerusi penggunaan teknologi untuk menyampaikan perkhidmatan seperti pembelajaran Islam, pembayaran zakat dan kaunseling dalam talian.

Beliau turut memimpin masjid daerah utara dalam Kesediaan Kecemasan – memberi arahan, nasihat dan merangka pelan pelaksanaan di tahap daerah, menyusun pelan tindak balas, menyelia pelaksanaan langkah-langkah pengurusan selamat dan membuat penilaian melalui audit keselamatan.

“Sektor masjid mesti tangkas menyesuaikan diri untuk memenuhi keperluan masyarakat mengikut perubahan masa kini,” kata Encik Yacob.  Misalnya, selepas pandemik, wadah dalam talian terus memainkan peranan penting dalam menyampaikan pembelajaran Islam kepada mereka yang mendapati sukar ke masjid seperti golongan penjaga, kaum ibu yang mempunyai anak-anak kecil dan juga warga Singapura yang tinggal di luar negara.

Tahun baru ini, beliau berharap dapat membangunkan dan melaksanakan inisiatif baru untuk memperkasakan warga emas melalui sokongan kegiatan yang menggalakkan penuaan aktif, gaya hidup sihat dan interaksi sosial yang positif.

Beliau juga ingin meluaskan ruang antara agama dan antara kaum demi menggalakkan kerjasama untuk membina masyarakat yang kuat; dan memperkasakan belia agar memulakan dan melaksanakan program dan projek yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Bagi mengupas isu-isu tersebut dan melakarkan huraian terbaik bagi memenuhi keperluan masyarakat yang kian berubah, Muis bakal menganjurkan Persidangan Satu Masjid (One Mosque Summit) 2025 pada 8 Februari ini.

Persidangan tersebut juga bakal menyaksikan pelancaran SalamSG 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg