Siri laporan ‘Masjid Kita’, yang merupakan kerjasama Berita Harian (BH) dengan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), mengetengahkan perkembangan sektor masjid di serata Singapura dan tidak tertumpu pada satu bahagian sahaja.
Demikian pandangan yang diberi beberapa jemaah Masjid Darussalam yang percaya usaha sedemikian memberi mereka peluang memahami peranan masjid di seluruh Singapura dengan lebih mendalam, tidak terhad kepada kawasan tertentu.
Secara keseluruhan, sebanyak 200 naskhah BH telah diagihkan kepada 10 masjid pada 17 Januari, dengan Masjid Darussalam merupakan salah satu masjid tersebut.
Sekitar 920 naskhah BH, yang mengandungi laporan ‘Masjid Kita’, akan diedarkan selama empat minggu pada setiap Jumaat di masjid-masjid serata Singapura.
Laporan khas itu bertujuan memberi Jabatan Sektor Satu Masjid, yang mengelolakan 70 masjid di seluruh Singapura, berkongsi perkembangan mereka.
Usaha itu juga menjadi sebahagian daripada persiapan Persidangan ‘Satu Masjid’ anjuran Muis pada 8 Februari.
Persidangan itu akan mengetengahkan fokus dan rangka kerja untuk memacu sektor masjid ke arah kemajuan lebih besar.
Seorang jemaah, Encik Muhd Naufal Mohd Diah, 38 tahun, berkata siri ‘Masjid Kita’ dapat mempertingkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan masjid serata Singapura.
“Biasanya kita hanya terhad kepada maklumat mengenai sebuah masjid di kejiranan atau kawasan yang biasa kita pergi sahaja.
“Tetapi dengan adanya usaha sedemikian, kita dapat mengetahui perkembangan masjid di kawasan lain dan dapat menarik lebih ramai jemaah datang dan meriahkan masjid-masjid tersebut,” katanya.
Beliau percaya dengan adanya wadah media sosial serta media tradisional seperti surat khabar, penyebaran maklumat mampu menjadi lebih menyeluruh.
Hal itu turut dipersetujui sukarelawan Masjid Darussalam, Encik Muhammad Yunus Shahabuddin.
Beliau percaya usaha menyampaikan maklumat mengenai masjid kepada masyarakat juga harus dipertingkat di laman media sosial.
Beliau berkata:
“Usaha berkongsi mengenai masjid ini harus diteruskan.
“Ia tidak seharusnya terhad pada surat khabar, malahan di media sosial seperti Tiktok, Facebook dan Instagram,” katanya, yang berusia 48 tahun.
Menurut Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, beliau mengalu-alukan Muis serta pertubuhan masyarakat yang lain untuk bekerjasama dengan BH dalam usaha memberi manfaat kepada masyarakat Melayu setempat.
“Menerusi produk digital, termasuk laman web dan surat berita elektronik serta akhbar cetak kami, Muis dapat menyebarkan secara meluas mesej-mesej yang ingin disampaikan kepada kakitangan, relawan dan jemaah masjid serta masyarakat secara keseluruhan dengan lebih berkesan lagi,” ujar beliau.
Dalam bahagian pertama siri ‘Masjid Kita’, BH telah menemu ramah Pengarah Kanan Sektor Satu Masjid Muis, Encik Zalman Ali, serta Superintenden Daerah Masjid (DSM) daerah Barat Singapura, Ustaz Dr Suhaimi Mustar.
Bagi minggu seterusnya, BH akan menampilkan temu ramah dengan DSM di kelompok yang lain termasuk kawasan utara, selatan dan timur Singapura, serta menyorot beberapa kegiatan dijalankan masjid-masjid tersebut.
Empat laporan ‘Masjid Kita’ itu akan digabungkan dalam satu naskhah surat berita, atau newsletter, dan akan diberikan kepada peserta Persidangan ‘Satu Masjid’.
Muis juga akan mendapatkan 200 langganan digital BH Edisi Peribadi Digital selama enam bulan.
Timbalan Pengarah Sektor Satu Masjid, Muis, Encik Hisham Hasim, berpendapat kerjasama mereka dengan BH merupakan peluang untuk mengetengahkan peranan dan hubungan penting sektor masjid dalam masyarakat.
Berkongsi kepada BH, beliau berkata:
“Dengan adanya pelbagai wadah media massa yang disediakan, kami berharap dapat memberi gambaran yang lebih jelas dan terkini tentang perkembangan sektor masjid kita dan pelbagai program dan perkhidmatan yang kami sediakan untuk memenuhi keperluan kehidupan beragama masyarakat Islam.”
Beliau juga berharap usaha itu dapat mengukuhkan lagi hubungan antara masjid dengan masyarakat, meningkatkan kesedaran tentang peranan masjid dalam menghadapi isu-isu dan perubahan berkaitan sosio-agama, serta mendorong lebih ramai anggota masyarakat untuk menyertai kegiatan-kegiatan yang dianjurkan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg