Galeri Nasional Singapura membuka tirai, pada 2 Disember – bahagian pertama pameran jangka panjang barunya dengan pameran, ‘Kisah Singapura: Laluan dan Lencongan dalam Seni‘ atau ‘Singapore Stories: Pathways and Detours’ di Galeri DBS Singapura yang telah diubah suai.
Karya agung dan karya seni baru daripada Koleksi Nasional akan dipamerkan bersama karya pinjaman koleksi persendirian dan institusi.
Pameran menampilkan lebih 200 karya seni dan artifak terbagi kepada empat ruang.
Ia meneliti cara artis mencipta seni sambil menangani tema seperti penjajahan, perubahan pembandaran dan globalisasi.
Ia mengetengahkan naratif biasa dengan perspektif segar, menggalakkan pengunjung untuk mempertimbangkan cara baru melihat seni dan menghidupkan semula imaginasi orang ramai melalui kisah yang disingkap karya itu sendiri.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Galeri Nasional Singapura, Encik Eugene Tan, berkata:
“Galeri ini mencapai perkembangan bererti dengan ulang tahunnya yang ke-10 pada 2025.
“Tarikh ini juga menandakan satu dekad sejak kami melancarkan, ‘Siapa Nama Kamu? Seni di Singapura sejak Abad ke-19’, yang memperkenalkan seni moden dan kontemporari Singapura kepada penduduk tempatan dan antarabangsa.
“Pameran baru kami, ‘Singapore Stories: Pathways and Detours in Art’, dibina di atas asas untuk mengembangkan naratif dan memperdalam penghargaan orang ramai terhadap seni, artis dan warisan seni Singapura.
“Pratonton ini menawarkan sekilas gambaran tentang pameran jangka panjang kami yang akan datang, yang akan berkembang untuk mengisi keseluruhan tahap kedua pada bahagian Galeri City Hall pada Julai 2025 – tepat pada masanya untuk sambutan ulang tahun ke-60 Singapura.”
1. Pasaran Tropika: Mempamerkan cerita Singapura pada abad ke-19 apabila Singapura dianggap sebagai tempat yang menjanjikan, dengan peluang sebagai hab perdagangan dan pertukaran budaya oleh pedagang dan buruh yang telah mengembara ke sini yang menubuhkan pelabuhan perdagangan di pulau ini pada 1819.
2. Masyarakat dan Diri: Menceritakan Singapura jelang awal abad ke-20, kemunculan cara baru memaparkan masyarakat dan individu di Singapura. Artis tempatan menggabungkan unsur lukisan dan fotografi untuk menghasilkan potret ekspresif bagi merakamkan orang biasa dan juga tokoh terkemuka.
Pada 1930-an, filem panjang muncul sebagai salah satu lagi ruang buat pengarah, pereka set dan grafik, pelakon dan pemuzik berkumpul bagi menceritakan kehidupan masyarakat.
Dalam satu sudut, pengunjung boleh duduk di kerusi pawagam yang telah dipulih dan menyelami petikan daripada beberapa filem P. Ramlee yang paling digemari, seperti Pendekar Bujang Lapok (1959).
Filem sedemikian, dengan nada komedinya, menghiburkan penonton sambil meneroka tema antara dua darjat, persepsi masyarakat serta pertembungan antara tradisi dengan kemodenan.
Ia menawarkan ulasan tentang perbandaran, kemiskinan dan hubungan.
3. Membayangkan Negara atau ‘Imagining Nation’: Bahagian ini membicangkan tentang identiti seni Singapura.
Ia mengetengahkan karya yang meneroka tema jati kekitaan semasa tempoh perubahan Singapura pada 1930, 1950-an dan 1960-an – ketika Singapura bergelut dengan persoalan identiti, penentuan nasib sendiri dan visi kalangan artis kepada pencarian identiti kebangsaan.
Bahagian ini banyak mempamerkan karya menarik karyawan yang mungkin diabaikan.
Karyawan itu membentuk karya Singapura moden seperti, S. Mahdar, Mohammed Salehuddin, Idris Mohd Ali, Georgette Chen, Liu Kang, Lim Cheng Hoe, Chua Mia tee dan ramai lagi.
4. Mencari Hubungan: Bahagian akhir membincangkan bagaimana artis tempatan sering keluar negara untuk mencari sumber inspirasi baru.
Perjalanan mereka itu berfungsi membina jalinan dengan budaya serantau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg