Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

MENJELANG HARI RAYA

Nak selesa Raya? Tempah khidmat apa saja

Hanya tinggal kurang seminggu sebelum kita menyambut ketibaan Syawal. Ramai yang sibuk membuat persiapan minit-minit terakhir - daripada mendapatkan khidmat pembersihan rumah, mencuci kereta, mahupun menyewa kereta. Ini merupakan beberapa khidmat penting yang sering mendapat permintaan tinggi, dengan beberapa penyedia perkhidmatan berkata mereka melihat peningkatan ketara dalam bilangan pelanggan sejak beberapa minggu kebelakangan ini. BERITA MINGGU (BM) melaporkan.
Apr 16, 2023 | 05:42 AM



KESIBUKAN menyambut Hari Raya Aidilfitri semakin terasa dengan ramai yang mahu serba-serbi baru, cantik dan menawan.



Bagi mengurangkan 'kacau-bilau' dan tekanan berbuat sesuatu pada saat terakhir, ada yang mengambil langkah membuat tempahan awal bagi khidmat yang diperlukan, seperti kerja-kerja membersih dan mengemas rumah.



Permintaan untuk perkhidmatan sedemikian, yang menjadi semakin popular, telah menyaksikan peningkatan yang tinggi menjelang sambutan Hari Raya, meskipun bayaran bagi tugas ini turut meningkat.



Syarikat penyewaan kereta dan perkongsian kereta di sini juga melihat perniagaan yang kian rancak sepanjang tempoh ini, walaupun pengguna perlu membayar lebih berbanding tahun lalu.



Sedang harga sijil hak memiliki kenderaan (COE) yang melambung, sebilangan pengguna masih berhasrat mendapatkan pengangkutan sendiri, menjelang Hari Raya.



Menurut beberapa syarikat yang menawarkan kereta sewa yang dihubungi Berita Minggu (BM), perkhidmatan yang mereka tawarkan mendapat permintaan tinggi. Malah ada yang telah menempah kereta sewa beberapa hari sebelum 22 April, iaitu hari pertama Syawal.



Pengasas dan pengarah urusan syarikat pembersihan rumah, Sureclean, Encik Alvin Tan, berkata perkhidmatan mereka telah ditempah sepenuhnya sejak awal April.



Pihaknya masih menerima tempahan dan permintaan untuk tugas pembersihan rumah selepas minggu pertama Hari Raya.



Bagi memenuhi permintaan musim Raya yang tinggi ini, syarikat Sureclean telah membuat beberapa perubahan bagi memastikan mereka dapat memenuhi permintaan pelanggan.



"Sebelum April, kami merombak pasukan kami dan meningkatkan kekuatan kakitangan kami sebanyak 15 peratus untuk menampung peningkatan permintaan sebelum Hari Raya.



"Namun kami tidak menaikkan bayaran untuk perkhidmatan pembersihan rumah yang kami tawarkan bagi tempoh ini," kata Encik Tan.



Beliau percaya bahawa lebih ramai rakyat Singapura semakin terbuka untuk mendapatkan khidmat syarikat pembersihan profesional, terutama untuk menjimatkan masa dan atas sebab kemudahan.



"Dengan syarikat pembersihan, pelanggan dapat memilih masa dan tarikh yang paling sesuai untuk mereka dan apabila kru pembersihan tiba di rumah mereka, keseluruhan proses boleh diselesaikan dalam masa beberapa jam, bergantung pada skala.



"Dengan cara ini, pengguna boleh meluangkan lebih banyak masa untuk keluarga dan urusan peribadi, sambil menghilangkan kerumitan perlu melakukan kerja sendiri," tambahnya.



Pasangan adik-beradik Encik Fazlie dan Encik Faeezal Mahadi yang mengasaskan syarikat 'Abang2 Cleaning Service', turut melihat tempahan yang menggalakkan sepanjang tempoh ini.



Encik Fazlie berkata memandangkan permintaan tinggi, mereka mendapatkan bantuan daripada keluarga mereka untuk membersihkan rumah pelanggan serta membuka lebih banyak slot tempahan.



"Bagi tempoh sebelum Hari Raya ini, tempahan kami meningkat sekitar 60-70 peratus berbanding hari-hari biasa. Dalam masa sehari ini, kadang-kala kami akan melaksanakan kerja pembersihan sehingga tiga rumah," kongsinya.



Walaupun, hanya tinggal kurang seminggu sebelum Hari Raya, Encik Fazlie berkata mereka masih mendapat permintaan, namun menurutnya, mereka hanya akan menerima jika mempunyai kemampuan tenaga kerja.



Menyusuli kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), syarikat seperti Urban Company Singapore berkata ia mengekalkan harga yang sama seperti tahun lepas.



"Kami sebenarnya mengekalkan harga yang sama seperti tahun lepas, jadi tiada kenaikan harga di pihak kami walaupun terdapat peningkatan dalam harga pengangkutan, bekalan dan GST.



"Pihak kami telah menyerap kos-kos ini kerana kami ingin memastikan pelanggan kami mendapat nilai terbaik bersama kami," kata Encik Yeo Joon Ming, Ketua Pemasaran UC.



Seperti perkhidmatan pembersihan rumah, sektor automotif juga menyaksikan peningkatan ketara dalam permintaan bukan sahaja dari segi penyewaan kenderaan tetapi juga pembelian kereta, terutama kereta terpakai. Ini meskipun harga sewa dan harga kereta meningkat.



Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Kumpulan, ComfortDelGro Corporation Limited, Cik Tammy Tan, berkata tahun ini ComfortDelGro Rent-A-Car telah melihat peningkatan sebanyak 50 peratus dalam permintaan menjelang tempoh Hari Raya, dengan pertanyaan sudahpun diterima seawal tiga bulan lalu.



"Ini berkemungkinan disebabkan oleh penyambungan semula aktiviti sosial selepas sekatan Covid-19 ditarik balik," jelasnya.



Firma perkongsian kereta GetGo turut menyifatkan peningkatan ini disebabkan pelonggaran sekatan Covid-19.



Menjawab pertanyaan BM, syarikat itu berkata pada 2023, mereka telah melihat lebih ramai pengguna menempah kereta GetGo.



"Kenderaan elektrik kami adalah antara kenderaan yang paling kerap ditempah dalam armada kami. Model kenderaan elektrik yang lebih baru, serta MPV yang lebih besar, amat popular semasa tempoh percutian perayaan.



"Secara amnya, kebanyakan kereta biasanya ditempah semasa tempoh cuti perayaan. Kami telah melihat keadaan yang sama semasa tempoh Tahun Baru Cina tahun ini dan cuti Krismas tahun lalu.



"Kami gembira berpeluang memperkasa rakyat Singapura dengan kebebasan untuk memandu tanpa beban pemilikan kereta, supaya mereka boleh berhubung dengan orang yang paling penting, terutamanya semasa musim perayaan," kata syarikat itu.



Menurut GetGo lebih 95 peratus daripada kenderaan miliknya telah ditempah untuk hujung minggu pertama perayaan Hari Raya, dan mereka menjangka semua kenderaan mereka yang tersedia akan ditempah sepenuhnya dalam tempoh terdekat ini.



Meskipun menyewa kenderaan menjadi pilihan ramai, terdapat juga segelintir yang membuat keputusan untuk mendapatkan kenderaan sendiri menjelang Hari Raya.



Pengasas syarikat kereta Gynacarlogist, Encik Farehan Hussein, misalnya, berkata syarikatnya telah menyaksikan jualan meningkat sebanyak 300 peratus sepanjang tempoh Ramadan.



Beliau berkata: "Ramadan ini menyaksikan trend pembelian kereta daripada masyarakat kita. Dengan sempadan dibuka sepenuhnya, lebih ramai keluarga meluangkan masa untuk melancong ke luar negara dan dengan itu mereka telah mendapatkan kereta untuk kegunaan sendiri.



"Harga COE yang tinggi juga bermakna orang ramai mengelak daripada membeli kereta baru dan sebaliknya mendapatkan kereta terpakai buat masa ini," ujar Encik Farehan.




APA KATA PENYEDIA PERKHIDMATAN, PENIAGA



"Ramadan ini menyaksikan trend pembelian kereta daripada masyarakat kita. Dengan sempadan dibuka sepenuhnya, lebih ramai keluarga meluangkan masa untuk melancong ke luar negara dan dengan itu mereka telah mendapatkan kereta untuk kegunaan sendiri.
Harga COE yang tinggi juga bermakna orang ramai mengelak daripada membeli kereta baru dan sebaliknya mendapatkan kereta terpakai buat masa ini.''
- Encik Farehan Hussein, pengasas syarikat kereta Gynacarlogist.



"Bagi tempoh sebelum Hari Raya ini, tempahan kami meningkat sekitar 60-70 peratus, berbanding hari-hari biasa. Dalam masa sehari ini, kadang-kala kami akan melaksanakan kerja pembersihan sehingga tiga rumah.''
- Encik Fazlie Mahadi, dan adiknya, Encik Faeezal, pengasas syarikat 'Abang2 Cleaning Service'.



"Sebelum April, kami merombak pasukan kami dan meningkatkan kekuatan kakitangan kami sebanyak 15 peratus untuk menampung peningkatan permintaan sebelum Hari Raya.
Namun kami tidak menaikkan bayaran untuk perkhidmatan pembersihan rumah yang kami tawarkan bagi tempoh ini.''
- Encik Alvin Tan, pengasas dan pengarah urusan syarikat pembersihan rumah, Sureclean.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >