Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Pasaran bot mewah buka pintu rezeki bagi karyawan, usahawan setempat

Jun 30, 2023 | 05:30 AM



Permintaan bagi khidmat dan urus niaga berkaitan bot and kapal layar mewah di sini kian meningkat sekali gus mendorong beberapa usahawan setempat meneroka peluang niaga dalam sektor yang kecil namun menawarkan pulangan lumayan.

Trend pemilikan bot mewah juga kelihatan meningkat dengan beberapa jenama bot mewah terpaksa menangguh kiriman bot-bot baru.

Profil pemilik bot mewah di sini lazimnya terdiri daripada ketua syarikat berbilang negara dan usahawan bernilai bersih yang tinggi. 

Broker kapal layar mewah dari firma Asia Marine Yacht Services, Encik Suhaimi Badri, berkata sebilangan pemilik yang mahu membeli bot mewah baru misalnya perlu menunggu sehingga dua tahun sebelum boleh mendapatkan bot mereka.

“Antara faktor ialah permintaan yang meningkat dan isu kegenjotan rantaian bekalan yang menjejas pelbagai industri di serata dunia,” kata Encik Suhaimi ketika ditemui baru-baru ini.

Ekoran kesukaran mendapatkan bot baru, Encik Suhaimi berkata pasaran jual beli bot terpakai juga kian rancak.

Beliau mendapati daftar bot mewah terpakai yang disenaraikan untuk bertukar tangan telah meningkat sekitar 20 peratus berbanding sebelum pandemik.

Beliau berkata: “Terdapat peningkatan yang ketara sejak pemerintah menyokong penubuhan dana pelaburan keluarga di negara ini.

“Satu petanda pemilikan bot sedang meningkat ialah terdapat kekurangan ruang meletak bot dan kapal persiaran di marina setempat. Bahkan kami perhatikan masa menunggu untuk mendapatkan ruang dermaga khususnya bagi bot persiaran yang lebih besar adalah sekurang-kurangnya 12 bulan.”

Sektor bot mewah bukan sekadar merangkumi urusan jual beli bot bahkan menjana perniagaan dalam khidmat menyimpan bot di marina, khidmat penyenggaraan dan khidmat pemindahan bot. Ini membuka peluang bagi kapten bot, anak kapal dan penyenggara bot yang berpengalaman.

Tidak kurang juga permintaan bagi aksesori kapal layar dan bot mewah seperti peluncur air elektrik Lift Foil,” kata Encik Suhaimi.

Seorang karyawan industri kelautan, Encik Kharthik P, memerhatikan pasaran kapal persiaran sejagat dijangka terus berkembang pada tahun-tahun akan datang dan ini mungkin mendorong kenaikan dalam kegiatan pemindahan kapal layar di Singapura. 

“Ini kerana  lebih ramai pemilik kapal layar mahu memindahkan bot layar mereka ke rantau ini dan dari Asia ke kawasan lain. Kami perhatikan aspek logistik bagi bot mewah di sini semakin terbangun, ” kata Encik Karthik yang juga ketua projek dan tuntutan kelautan, Unispec Group.

Beliau menambah, sedang permintaan bagi khidmat pemindahan kapal layar di Singapura berkembang pesat, industri itu mungkin menjadi lebih berdaya saing.

“Syarikat perlu membezakan diri mereka dengan menawarkan khidmat bermutu tinggi, harga bersaing dan huraian yang inovatif,” kata beliau.

Usahawan seperti Encik Wan Ismail pula melihat potensi yang baik dan sedang meneroka peluang perniagaan dalam sektor bot mewah.

Pemilik firma hiasan dalaman, Fatema Design Studio memerhatikan terdapat kenaikan dalam bilangan warga yang selesa tinggal di atas bot dan memerlukan hiasan dalaman bagi bot mereka.

Beliau dan seorang rakan niaga baru-baru ini telah membeli sebuah bot rumah (houseboat) dan mengubah suai bot itu dengan sentuhan hiasan moden mewah. Matlamat mereka adalah untuk menjual semula bot tersebut. 

“Saya melihat sektor bot mewah ini sebagai lanjutan industri reka hiasan dalaman,” kata beliau.

Populariti gaya hidup di atas bot mewah juga telah mendorong khidmat sewa bot mewah.

Tinjauan Berita Harian (BH) menunjukkan iklan sewa bot mewah separuh hari atau sehari semakin meningkat. Kini ada sekurang-kurangnya 21 syarikat yang menawarkan khidmat sewa bot berbanding hanya segelintir beberapa tahun dahulu.


Ada syarikat seperti Trident Marine Asia misalnya menawarkan khidmat sewa bot yang boleh dipandu sendiri. Ada pula seperti Aquamarine Yacht menyediakan khidmat kapten dan kru bot untuk membawa pelanggan belayar ke pulau berdekatan seperti Pulau Lazarus.

Kapten bot layar, Encik Mohamed Nurasyranni Kosrom, dari syarikat khidmat sewa bot mewah, Aquamarine Yacht mendapati permintaan bagi khidmat sedemikian telah meningkat sejak beliau menyertai industri itu sembilan tahun lalu.

“Pada masa kini, orang ramai lebih maklum tentang khidmat sewa bot layar, dan mereka kini lebih cenderung menyewa bot berbanding sembilan tahun lalu. 

“Secara purata, saya keluar untuk mengemudi bot untuk pelanggan kira-kira empat hingga lima pelayaran seminggu, manakala pada masa lalu, ada hanya dua tiga tiga pelayaran seminggu. Tempoh paling sibuk biasanya pada bulan Mac, cuti sekolah Jun dan akhir tahun,” kata beliau.

Antara cabaran dalam industri ini ialah kesan cuaca misalnya pada musim hujan permintaan bagi khidmat sewa bot boleh terjejas.

Pengamat industri juga memerhatikan, bilangan bot persiaran di Singapura mungkin terus berubah dari semasa ke semasa disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk keadaan ekonomi, perubahan peraturan dan faktor lain yang boleh menjejaskan permintaan dan ketersediaan bot sedemikian. – ADLI YASHIR KUCHIT




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >