Apakah yang menarik perhatian anda apabila pemerintah Singapura mengumumkan pada 22 Oktober bahawa ia telah menyekat 10 laman web yang dikaitkan dengan pelaku-pelaku asing?
Sekali imbas, laman tersebut kelihatan tidak berkaitan – masing-masing dengan domain (alamat unik), reka bentuk dan pelbagai kandungan hariannya sendiri.
Tetapi selepas melihat kenyataan pemerintah dan laporan The Straits Times, beberapa pola dengan cepat menjadi jelas.
Sebagai contoh, walaupun laman itu berusaha untuk kelihatan berbeza, tujuh daripada laman tersebut berkemungkinan sebahagian daripada rangkaian yang sama – nampaknya dikaitkan oleh tangan halimunan yang sama.
Tujuh portal ini berkongsi kandungan daripada agensi berita yang sama dan diberi perisa tempatan.
Kesemua 10 laman web cuba menyamar sebagai laman milik orang Singapura, dengan nama seperti zaobaodaily.com meniru akhbar berbahasa Cina terbesar Republik ini, atau Alamak.io, dengan istilah Singlish yang popular sebagai nama domainnya untuk menjadikannya seolah-olah dikendalikan oleh penduduk tempatan.
Kebanyakan artikel juga tidak mempunyai nama penulis.
Kemudian terdapat persamaan yang menonjol yang tidak dinyatakan dengan jelas oleh pihak berkuasa, tetapi mustahil untuk diabaikan: Laman web ini mempunyai kecondongan yang jelas.
Alamak.io, misalnya, menyiarkan lima ulasan oleh Duta Besar Russia, Encik Nikolay Kudashev, yang kemudiannya dikongsi di akaun media sosial kedutaan Moscow di Singapura dan Asean – menjadikan kecondongannya menyokong Russia agak jelas.
Sembilan yang lain, melalui kandungan mereka yang disusun atur dan mesej pro-Beijing yang secara halus dimasukkan ke dalam laporan yang kelihatan biasa-biasa, mencadangkan penglibatan China.
Boleh difahami mengapa pemerintah tidak menamakan China atau Russia secara langsung, membiarkan kita yang lain – rakyat, media, ahli akademik dan masyarakat sivil – membuat kesimpulan kita sendiri daripada petunjuk yang diberikan.
Pendekatan ini bukanlah sesuatu yang baru di Singapura.
Sejak campur tangan asing menjadi semakin ketara pada 2010-an, pemerintah secara konsisten mengelak daripada menamakan negara terbabit, walaupun sudah jelas siapa mereka.
Cubalah pertimbangkan perbahasan Parlimen mengenai Akta Campur Tangan Asing (Langkah Tindak Balas) atau Fica pada Oktober 2021.
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, menjelaskan mengapa Singapura mengelak daripada menamakan pelaku negara secara terbuka.
Harga geopolitik yang perlu dibayar jika ingin bersemuka secara langsung dengan kuasa-kuasa besar ekoran kempen maklumat yang bermusuhan adalah terlalu tinggi.
Encik Shanmugam memetik kes Huang Jing, seorang ahli akademik terkemuka yang status Penduduk Tetapnya telah dibatalkan kerana bekerja dengan pemerintah asing untuk mempengaruhi dasar luar Singapura dan pendapat umum.
Pihak berkuasa Singapura tidak pernah menyatakan dia bekerja untuk negara mana, tetapi pandangan luas mengenai ulasan itu ialah pelaku asing yang dimaksudkan ialah China.
“Apabila kami meminta Huang Jing pergi, kami tidak menyatakan untuk siapa dia bekerja. Mengapa?” kata Encik Shanmugam.
“Dasar luar dan implikasi ke atas keselamatan negara adalah terlalu serius. Amerika Syarikat boleh menamakan mana-mana negara yang dikehendakinya. Tetapi kita tidak mempunyai kuasa menetapkan harga dalam perniagaan hubungan antarabangsa ini.”
Ini menjelaskan mengapa pemerintah Singapura tidak menamakan secara terang-terangan pelaku di sebalik kejadian campur tangan asing yang lain seperti serangan siber SingHealth pada 2018 di mana maklumat perubatan 1.5 juta pesakit, termasuk Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong, telah dicuri.
Walaupun situasi dengan laman web yang disekat sudah berubah – kali ini, tindakan itu bersifat langkah awal – alasan di sebalik tidak menyatakan nama pelaku tetap sama.
Namun, adalah penting bagi mereka di luar pemerintah membantu menarik perhatian orang ramai kepada siapakah yang mungkin merupakan pelaku asing itu.
Dengan cara ini, orang ramai boleh mengemudi landskap maklumat dengan lebih baik dan mengenal pasti agenda yang didorong oleh sumber tertentu.
Selain mengenal pasti siapa yang berkemungkinan berada di sebalik laman web tersebut, adalah sama pentingnya bagi rakyat Singapura memahami cara mereka beroperasi.
Dua penyelidik, Encik Benjamin Ang dan Cik Dymples Leong daripada Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), dalam ulasan yang diterbitkan selepas pengumuman pemerintah itu, menarik perhatian kepada betapa liciknya laman web itu.
Pada zahirnya, laman-laman itu kelihatan memaparkan berita bukan kontroversi tentang gaya hidup dan hiburan.
Pendekatan ini memberi perlindungan kepada mereka, jadi apabila pelaku asing akhirnya menggunakan platform tersebut untuk mengetengahkan maklumat yang salah atau kandungan yang sejajar dengan kepentingan mereka, laman web tersebut sudah kelihatan boleh dipercayai.
Seperti yang dinyatakan oleh penyelidik itu: “Kehadiran berita yang tidak menimbulkan kontroversi memberi mereka perlindungan yang mereka perlukan – penampilan keaslian atau kebolehpercayaan.”
Risiko lain ialah bagaimana laman web itu sering mengitar semula berita yang sama, terutama daripada agensi berita yang boleh mengelirukan mereka “yang tidak berhati-hati” hingga menganggap maklumat itu adalah fakta benar atau sudah disahkan.
Pengulangan ini mencipta apa yang dikenali sebagai kesan kebenaran palsu, di mana “pendedahan berulang kali kepada maklumat yang sama meningkatkan kemungkinannya untuk dianggap benar, walaupun ia tidak”, tegas Encik Ang dan Cik Leong.
Walaupun 10 laman web itu belum lagi melancarkan kempen maklumat bermusuhan dan pihak berkuasa berkata siasatan menunjukkan rakyat Singapura tidak berada di belakang laman-laman itu, kewujudan mereka hanya menimbulkan ancaman keselamatan negara kerana mereka boleh diaktifkan pada bila-bila masa untuk mempengaruhi pendapat awam tempatan dengan propaganda.
Seperti yang dinyatakan oleh penyelidik RSIS itu, “rangkaian dan laman sedemikian adalah seperti simpanan peluru digital yang boleh digunakan apabila tiba masanya”.
Dengan pilihan raya umum yang akan diadakan dalam tempoh 12 bulan akan datang, adalah lebih penting tindakan awal diambil.
Dalam Perang Dingin baru ini – dengan Amerika dan sekutunya berhadapan dengan Russia, China, dan negara seperti Iran dan Korea Utara – kempen maklumat yang bermusuhan bukan hanya terdapat sekali-sekala; ia adalah perkara tetap dalam landskap media kita.
Tindakan kawal selia di bawah Fica atau penyekatan laman web baru-baru ini di bawah Akta Penyiaran hanyalah sebahagian daripada langkah rumit itu.
Seperti yang ditegaskan oleh pakar, apa yang lebih penting ialah mempertajam celik maklumat rakyat Singapura.
Cabaran sebenar terletak pada mengenal pasti cara maklumat salah tersebar.
Harapannya ialah episod terbaru ini – dan perbualan yang telah dicetuskan – akan membuka lebih banyak mata tentang betapa mudahnya tapak web yang kelihatan tidak berbahaya boleh menjadi alat untuk ‘pencucian’ maklumat.
Strategi ini beroperasi dalam spektrum.
Pada peringkat paling rendah, ia bermula dengan laman web tanpa sumber yang betul dan bergred rendah – seperti 10 yang disekat baru-baru ini – yang tidak berbeza daripada akaun palsu di platform seperti Facebook, Instagram atau X dan menyamar sebagai wartawan atau aktivis.
Kemudian terdapat pempengaruh – orang yang mencampuradukkan kandungan harian dengan maklumat yang salah dan menyisipkan propaganda seperti yang diarahkan oleh dalang-dalang mereka.
Tetapi piawai keemasan sebenar ‘pencucian’ maklumat adalah apabila maklumat yang salah menyelinap masuk ke dalam saluran media yang sudah mantap dan dipercayai.
Wartawan, sama ada secara sukarela atau di bawah tekanan daripada proksi negara, boleh menguatkan naratif ini.
Beberapa saluran media, yang condong kepada Beijing misalnya, malah mempunyai ahli polemik dalaman – penulis ruangan yang tugas sepenuh masanya adalah untuk menyampaikan naratif rasmi.
Suara-suara ini tanpa henti mempertahankan rekod hak asasi manusia China di Xinjiang, menyerang negara Barat dan mempromosikan pendirian Beijing dalam isu seperti Laut China Selatan.
Dengan rakyat Singapura yang mempunyai salah satu kadar penembusan Internet tertinggi di dunia, dan akses kepada pelbagai sumber media, sudah tentu kita terdedah kepada pelbagai pandangan.
Kepelbagaian itu boleh menjadi perkara yang baik.
Tetapi apabila pelaku asing secara aktif cuba memutarbelitkan pendapat umum untuk memenuhi kepentingan mereka sendiri dan bukannya kepentingan kita, adalah sangat penting untuk kita menjadi lebih arif tentang apa yang kita baca, terutamanya dengan apa yang kita kongsi dalam kumpulan sembang tertutup atau di media sosial.
Penulis ialah Timbalan Editor Pandangan akhbar The Straits Times. Rencana ini kali pertama diterbitkan di ST pada 29 Oktober.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg